Penerbitan ini mengandungi dua bahagian utama seperti yang berikut:
Bahagian Pertama: Laporan Tahunan KDPP
Bahagian ini memberikan penerangan terperinci mengenai KDPP, sebuah inisiatif penting dalam landskap tadbir urus demokrasi di Malaysia. KDPP ditubuhkan sebagai kaukus pertama dalam sejarah negara yang menghimpunkan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merentas pelbagai negeri dan parti politik.
Sehingga kini, kaukus ini dianggotai oleh sepuluh orang wakil rakyat dari Perak, Selangor, Kelantan, Pahang dan Johor, yang bersatu merentasi spektrum politik demi mencapai matlamat demokrasi bersama. Laporan ini turut menyenaraikan pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan oleh IDEAS dan Bersih sepanjang penubuhan KDPP.
Bahagian Kedua: Kertas Cadangan Dasar
Bagi memperkukuh sistem semak dan imbang serta meningkatkan keberkesanan institusi demokrasi di peringkat negeri, kertas pendirian ini menggariskan kelemahan sedia ada dan mengemukakan cadangan reformasi yang boleh dilaksanakan. Hujah serta dapatan awal yang dibentangkan dalam dokumen ini disandarkan kepada hasil penyelidikan dari pelbagai sumber, termasuk laporan Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (Malaysia Open Budget Index, MyOBI), sesi libat urus bersama ahli-ahli KDPP dan pejabat Yang Dipertua Dewan Negeri, serta pandangan yang diperoleh melalui Siri Bengkel Demokrasi.
Walau bagaimanapun, dapatan yang dibentangkan dalam kertas cadangan dasar ini masih dalam peringkat awal dan bertujuan untuk membentuk asas kepada cadangan reformasi yang lebih menyeluruh. KDPP berhasrat untuk menerbitkan kajian yang lebih mendalam dan komprehensif mengenai isu-isu ini pada masa hadapan. Sementara itu, kertas cadangan dasar ini diharap dapat menjadi instrumen advokasi yang berguna kepada KDPP dan organisasi lain dalam usaha memperjuangkan amalan demokrasi yang lebih kukuh di peringkat negeri di Malaysia.
