IDEAS: Peralihan Hijau Malaysia Harus Hasilkan Perkembangan, Peluang Pekerjaan dan Keterangkuman

IDEAS: Peralihan Hijau Malaysia Harus Hasilkan Perkembangan, Peluang Pekerjaan dan Keterangkuman

Kuala Lumpur, 10 September 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menegaskan bahawa peralihan hijau Malaysia tidak seharusnya dilihat sebagai pilihan antara daya saing ekonomi, perlindungan alam sekitar dan keterangkuman sosial.

Dalam kertas laporan dasar terbaharu, Malaysia Ke Arah Ekonomi Berdaya Saing, Terangkum dan Hijau: Penggubalan Dasar untuk Mewujudkan Pekerjaan dan Industri Mampan, yang ditulis oleh Dr Stewart Nixon, Afiqah Zulkifli, Jazreen Harith Jefri, Sharmila Suntherasegarun, Nimitraa Youganesparan dan Durrah Sharifah Ahmad Azlan, IDEAS menggesa pendekatan penggubalan dasar yang lebih bersepadu dengan mengambil kira ketiga-tiga objektif ini secara bersama, daripada peringkat reka bentuk dasar hingga pelaksanaan dan penilaian.

“Komitmen IDEAS adalah untuk menggalakkan reformasi dasar berasaskan bukti yang menyokong tadbir urus baik dan reformasi ekonomi yang mampan untuk semua rakyat Malaysia. Peralihan hijau membawa cabaran dan peluang. Penggubal dasar perlu memastikan tindakan iklim turut menyokong peluang ekonomi, melindungi komuniti rentan dan membolehkan perniagaan kecil mengambil bahagian dalam peralihan ini. Laporan ini menyediakan instrumen praktikal kepada pembuat keputusan bagi membantu mencapai objektif ini secara bersama,” kata Aira Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.

Laporan ini menekankan keperluan objektif iklim, ekonomi dan sosial dipertimbangkan secara bersama dalam penggubalan dasar. Menangani objektif ini secara berasingan boleh menyukarkan usaha untuk mengenal pasti pertimbangan kompromi, menjangka kesan yang tidak diingini dan memastikan manfaat peralihan hijau sampai kepada komuniti rentan serta perniagaan yang lebih kecil.

Reka bentuk dasar yang baik perlu disokong oleh pelaksanaan dan pemantauan yang berkesan. Tanpa mekanisme yang jelas untuk menilai hasil, mengenal pasti pihak yang mungkin terjejas dan menyesuaikan dasar apabila diperlukan, dasar hijau yang dirangka dengan niat yang baik mungkin menimbulkan kesan yang tidak diingini atau menyebabkan sesetengah kumpulan ketinggalan.

Laporan ini memperkenalkan satu set instrumen praktikal untuk membantu menilai dan menangani cabaran ini agar dapat menyokong penggubal dasar, termasuk:

  1. Kad Skor dan Senarai Semak Kesihatan Daya Saing–Hijau–Keterangkuman (Competitiveness–Green–Inclusion, CGI): Mekanisme saringan jangkaan awal (ex ante) untuk menilai sama ada dasar sedia ada dan dasar yang dicadangkan mengandungi peruntukan reka bentuk yang jelas berkaitan daya saing, keterangkuman dan aspek hijau.
  2. Petunjuk Bersepadu: Memperkenalkan Indeks Daya Saing, Keterangkuman dan Nyahkarbon (Competitiveness, Inclusion and Decarbonisation Index, CIDI) untuk menjejaki penyatuan hasil daya saing hijau terangkum.
  3. Instrumen Analisis Pertimbangan Kompromi: Mengenal pasti dan menerangkan potensi penggunaan instrumen sokongan pembuatan keputusan, termasuk Analisis Keputusan Pelbagai Kriteria (Multi-Criteria Decision Analysis, MCDA), Analisis Kos-Faedah Lanjutan (Extended Cost-Benefit Analysis, ECBA), pemodelan Keseimbangan Am Boleh Kira (Computable General Equilibrium, CGE), penilaian kitar hayat dan pemetaan kerentanan ruang, untuk mengukur pertimbangan kompromi dan menguji andaian awal.
  4. Set Instrumen Dasar: Meneliti ciri dasar industri hijau yang baik dan menyediakan panduan tentang bagaimana insentif fiskal, piawaian, perolehan awam, sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D), langkah berkaitan kemahiran dan peralihan, serta penetapan harga karbon boleh disusun secara berperingkat dan dibentuk.<
  5. Pemetaan Prosedur dan Pemegang Taruh: Menyediakan pendekatan praktikal untuk memperjelas tanggungjawab institusi, menghapuskan pengasingan dalaman antara agensi dan menyelaraskan insentif syarikat berkaitan kerajaan (GLC), firma swasta, pekerja dan masyarakat sivil.

“Malaysia perlu membina masa depan yang makmur dari segi ekonomi, terangkum dari segi sosial dan mesra alam sekitar. Matlamat ini saling berkait rapat dan mesti ditangani melalui pendekatan yang bersepadu. Laporan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan IDEAS untuk menyokong penggubal dasar dalam menangani landskap dasar pembangunan mampan yang semakin dinamik dan kompleks,” kata Dr Stewart Nixon, Pengarah Penyelidikan IDEAS dan penulis bersama laporan.

Pembangunan mampan tidak seharusnya dinilai berdasarkan pertumbuhan KDNK semata-mata, dan tindakan iklim juga tidak seharusnya dilihat sebagai kekangan campur tolak (zero-sum) terhadap produktiviti industri atau kesaksamaan sosial. Pendekatan yang lebih bersepadu dapat membantu Malaysia memenuhi tuntutan ekonomi global yang semakin menghijau, di samping menyokong industri bernilai tinggi, pekerjaan berkualiti dan pertumbuhan yang lebih terangkum.

Muat turun laporan penuh di laman web IDEAS.

— TAMAT —

Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search