IDEAS: Belanjawan 2027 Kekalkan Disiplin Fiskal Tetapi Kurang Reformasi Struktur

IDEAS: Belanjawan 2027 Kekalkan Disiplin Fiskal Tetapi Kurang Reformasi Struktur

Kuala Lumpur, 10 Oktober 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan komitmen berterusan dalam Belanjawan 2027 terhadap pengukuhan fiskal dan langkah untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup, termasuk peruntukan untuk membaik pulih sekolah daif, bantuan kepada warga emas dan isi rumah yang terjejas akibat bencana, serta insentif bagi pelaburan hijau. Walau bagaimanapun, meskipun langkah ini menangani keperluan mendesak, Belanjawan ini masih belum memenuhi keperluan reformasi yang lebih mendalam bagi memperkukuh daya tahan fiskal dan daya saing ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang.

Kemampanan Fiskal dan Kebertanggungjawaban Awam

IDEAS menyambut baik unjuran pengurangan defisit fiskal daripada 3.6% daripada KDNK pada tahun 2026 kepada 3.3% pada tahun 2027. Walau bagaimanapun, perbelanjaan pembangunan diunjurkan meningkat hanya sebanyak 2.5% kepada RM83 bilion, berbanding pertumbuhan perbelanjaan mengurus sebanyak 3.8%. Pengukuhan fiskal tidak seharusnya dilaksanakan dengan mengorbankan pelaburan awam yang produktif.

Belanjawan 2027 tidak banyak membantu memperluas asas hasil Malaysia, dengan nisbah cukai kepada KDNK kekal pada 12.8% dan hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan menurun kepada 16.4% daripada KDNK. Kebergantungan berterusan terhadap pendapatan petroleum dan unjuran dividen PETRONAS sebanyak RM32 bilion mengukuhkan lagi keperluan untuk melaksanakan reformasi cukai yang menyeluruh serta mewujudkan kerangka dividen yang telus, yang mengimbangi keperluan hasil kerajaan dengan kemampanan jangka panjang PETRONAS.

Peruntukan subsidi bahan api sebanyak RM40 bilion yang dilaporkan bagi tahun 2026 turut menggariskan keperluan untuk menyediakan bantuan yang lebih bersasar dan responsif terhadap perubahan harga bahan api dunia, dengan penjimatan yang diperoleh disalurkan semula kepada isi rumah yang paling memerlukan.

IDEAS mengalu-alukan peningkatan pendedahan maklumat perolehan di bawah Akta Perolehan Kerajaan serta cadangan Rang Undang-Undang Entiti Milik Kerajaan. Walau bagaimanapun, pelaburan oleh syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan kerajaan wajar dilaporkan secara berasingan daripada perbelanjaan Kerajaan Persekutuan agar Parlimen dan orang awam mendapat gambaran yang lebih jelas tentang kedudukan fiskal kerajaan.

Daya Saing Ekonomi dan Peralihan Hijau

IDEAS mengalu-alukan langkah untuk menyokong industri semikonduktor, syarikat bersaiz sederhana dan pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Inisiatif ini seharusnya diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, pekerjaan bergaji lebih tinggi, tenaga kerja tempatan yang lebih berkemahiran serta rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh. IDEAS turut menggesa ketelusan yang lebih tinggi dalam pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu (New Incentive Framework, NIF), termasuk kemas kini berkala tentang kemajuan pelaksanaannya dan sama ada insentif pelaburan benar-benar memberikan manfaat yang bermakna kepada ekonomi Malaysia.

Pelanjutan insentif cukai hijau serta bantuan tambahan bagi pemuliharaan biodiversiti dan mitigasi banjir juga merupakan langkah yang positif. Walau bagaimanapun, ketiadaan garis masa terkini bagi pelaksanaan cukai karbon menimbulkan ketidakpastian kepada perniagaan yang sedang merancang peralihan ke arah ekonomi rendah karbon. Malaysia memerlukan kerangka penyahkarbonan yang boleh dijangka, pelaporan pelaburan hijau yang telus serta komitmen yang lebih kukuh terhadap tenaga boleh baharu dan daya tahan iklim.

Perlindungan Sosial dan Pengukuhan Perkhidmatan Asas

IDEAS mengalu-alukan beberapa langkah untuk memperkukuh perkhidmatan asas dan perlindungan sosial, termasuk peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan sekolah, peruntukan berasingan sebanyak RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 buah sekolah daif, peningkatan bantuan kepada warga emas, rancangan untuk menawarkan jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak sepanjang tahun 2027, serta pelancaran skim insurans perubatan MediAsas.

Walau bagaimanapun, peningkatan sederhana perbelanjaan kesihatan sebanyak 2.6% menimbulkan persoalan sama ada peruntukan ini mampu mengimbangi peningkatan kos perubatan dan kekurangan tenaga kerja. Pelaburan berterusan dalam sektor kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial amat penting bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat Malaysia. Kerajaan juga perlu memperjelas perancangan pembiayaan dan pelaksanaan bagi cadangan pindaan Akta Orang Asli serta proses Dokumen Pendaftaran Pelarian.

Hubungan antara Persekutuan dan Negeri serta Pembangunan Saksama

IDEAS mengalu-alukan peningkatan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak bagi tahun 2027, masing-masing berjumlah RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion. Namun, kemajuan yang berterusan memerlukan lebih daripada sekadar peningkatan peruntukan dalam satu tahun. Kerajaan perlu mewujudkan formula yang adil, telus dan boleh dijangka bagi pemindahan fiskal Persekutuan serta pemberian khas, yang dirangka melalui rundingan bermakna dengan kedua-dua kerajaan negeri. Pendekatan ini akan memberikan kepastian yang lebih tinggi mengenai pembiayaan pada masa hadapan serta memastikan peruntukan lebih mencerminkan keperluan pembangunan negeri.

Reformasi Institusi dan Daya Tahan Demokrasi

Reformasi institusi kekal penting bagi memperkukuh kebertanggungjawaban awam serta mekanisme semak dan imbang demokrasi. Belanjawan 2027 bagaimanapun tidak memberikan kejelasan yang mencukupi mengenai garis masa pelaksanaan reformasi yang masih tertangguh, termasuk perundangan pendanaan politik, had tempoh jawatan Perdana Menteri, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta reformasi pilihan raya. IDEAS menggesa Kerajaan supaya menterjemahkan komitmen ini kepada tindakan perundangan yang konkrit.

Kemajuan ke arah autonomi Parlimen dan cadangan kajian mengenai penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia merupakan perkembangan yang dialu-alukan. Usaha ini perlu disokong oleh proses yang telus, perundingan awam yang bermakna dan pemantauan Parlimen yang lebih kukuh.

Kesimpulan

Belanjawan 2027 menangani tekanan jangka pendek tetapi masih belum menyelesaikan cabaran struktur utama. IDEAS menggesa Kerajaan supaya memperluas asas hasil negara, meningkatkan ketelusan perbelanjaan, memastikan insentif pelaburan menghasilkan impak yang boleh diukur, memperkukuh perkhidmatan asas dan mempercepat pelaksanaan reformasi institusi yang kritikal. Memperkukuh daya tahan fiskal, meningkatkan kebertanggungjawaban institusi dan melabur dalam keupayaan ekonomi serta sosial jangka panjang merupakan langkah penting untuk menterjemahkan aspirasi Belanjawan 2027 kepada kemajuan yang berterusan.

— TAMAT —

Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search