Kuala Lumpur, 3 November 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa Kerajaan MADANI supaya menghentikan amalan mensyaratkan pemberian Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) dengan sokongan politik. Dana awam seharusnya dimanfaatkan oleh semua penduduk di sesuatu kawasan pilihan raya, tanpa mengira fahaman politik wakil rakyat yang dipilih.
Perjanjian Sokongan Kepercayaan dan Belanjawan (Confidence and Supply Agreement, CSA) yang ditandatangani pada 29 Oktober 2026 memperuntukkan RM3 juta bagi setiap kawasan pilihan raya kepada Ahli Parlimen yang menandatanganinya sebagai balasan atas sokongan terhadap Belanjawan 2027 dan beberapa reformasi institusi. Walaupun CSA mungkin dapat menyumbang kepada kestabilan Parlimen, peruntukan CDF tidak seharusnya dikaitkan dengan komitmen politik.
Amalan semasa memberikan Ahli Parlimen kerajaan capaian kepada peruntukan CDF secara automatik, manakala Ahli Parlimen pembangkang perlu berunding untuk mendapatkan peruntukan yang sama. Keadaan ini mewujudkan layanan dua darjat antara wakil rakyat yang dipilih. Penduduk di sesuatu kawasan pilihan raya tidak seharusnya menerima layanan kelas kedua hanya kerana Ahli Parlimen mereka berada di pihak pembangkang.
IDEAS turut mempersoalkan waktu perjanjian ini dimeterai, memandangkan beberapa pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang semakin hampir. CDF tidak seharusnya dijadikan alat untuk mendapatkan sokongan politik atau mengukuhkan kedudukan politik kerajaan.
IDEAS mengulangi gesaan, seperti yang digariskan dalam Laporan Tahunan dan Kertas Cadangan Dasar Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP), serta Kertas Pendirian dan Rang Undang-Undang CDF yang diperjuangkan oleh IDEAS bersama BERSIH, agar peruntukan CDF diinstitusikan melalui perundangan. Kerangka tersebut hendaklah berpandukan tiga prinsip utama seperti berikut:
- Capaian sama rata: Semua wakil rakyat yang dipilih harus menerima peruntukan CDF tanpa mengira fahaman politik.
- Peruntukan berasaskan formula: Jumlah peruntukan harus mengambil kira saiz populasi dan keperluan pembangunan kawasan pilihan raya.
- Ketelusan dalam pengagihan dan pelaporan: Garis panduan CDF, butiran peruntukan dan laporan perbelanjaan hendaklah tersedia untuk capaian awam serta terbuka kepada penelitian Parlimen.
Dalam jangka masa panjang, pengagihan CDF harus diuruskan melalui kerangka institusi yang telus. Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) harus mengenal pasti keperluan setempat, manakala agensi kerajaan atau kerajaan tempatan yang dipilih bertanggungjawab menyelia pengagihan dana bagi tujuan pembangunan komuniti dan bantuan kepada golongan rentan.
“Tuntasnya, reformasi CDF seharusnya menjadi antara perkara paling mudah untuk dilaksanakan oleh pentadbiran ini, memandangkan ia merupakan sebahagian daripada janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH). Menjelang pilihan raya umum akan datang, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berpeluang melaksanakan reformasi yang telah diperjuangkannya sendiri selama bertahun-tahun. Langkah ini akan membuktikan komitmen pentadbirannya terhadap reformasi institusi, sekali gus memperkukuh imej beliau sebagai seorang pemimpin reformis,” kata Aira Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
— TAMAT —
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Politik kebencian ancam demonstrasi dunia