Belanjawan berdaya tahan

Belanjawan berdaya tahan

Ditulis oleh YAM Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Presiden Pengasas, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Seperti biasa, rakan-rakan sekerja saya di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah menghasilkan analisis tentang Belanjawan 2027 – sama ada perbelanjaan daripada peruntukan kerajaan, perbelanjaan yang akan ditanggung orang awam atau reformasi yang dijanjikan.

Belanjawan ini secara meluas dianggap oleh para jurubank, pelabur, diplomat dan pengulas sebagai ‘belanjawan pilihan raya’, memandangkan kita tahu bahawa Pilihan Raya Umum perlu diadakan selewat-lewatnya pada awal tahun 2028.

Secara ringkasnya, Belanjawan 2027 memberikan beberapa sebab untuk kita bersikap optimistik secara berhati-hati. Belanjawan ini mengekalkan hala tuju ke arah pengukuhan fiskal, sambil menyediakan sokongan kepada isi rumah, perkhidmatan asas dan industri strategik. Namun begitu, persoalan yang lebih penting ialah sama ada Malaysia sedang menangani kelemahan struktur yang akan menentukan masa hadapan ekonominya.

Unjuran pengurangan defisit fiskal, daripada 3.6 peratus KDNK pada tahun 2026 kepada 3.3 peratus pada tahun 2027, merupakan perkembangan yang dialu-alukan. Begitu juga dengan peruntukan untuk sekolah daif, bantuan kepada warga emas dan isi rumah yang terjejas akibat bencana, serta langkah untuk menyokong sektor pembuatan semikonduktor, pendigitalan dan pelaburan hijau.

Semua ini merupakan tindak balas yang wajar terhadap keperluan mendesak. Bagaimanapun, ujian sebenar adalah sama ada wang awam dapat menghasilkan peningkatan yang berkekalan dari segi produktiviti, peluang dan kualiti hidup.

Dalam hal ini, terdapat beberapa persoalan yang sepatutnya dapat dijawab dengan lebih baik. Perbelanjaan pembangunan diunjurkan meningkat hanya sebanyak 2.5 peratus, berbanding 3.8 peratus untuk perbelanjaan mengurus.

Sementara itu, nisbah cukai kepada KDNK kekal tidak berubah pada 12.8 peratus, menyebabkan kerajaan terus bergantung kepada pendapatan berkaitan petroleum dan unjuran dividen sebanyak RM32 bilion daripada PETRONAS.

Ketika negara pengeluar minyak utama sedang mempelbagaikan ekonomi masing-masing, kita sememangnya tidak boleh bergantung pada hasil minyak selama-lamanya untuk membiayai aspirasi negara.

Asas hasil yang lebih luas, pelaporan fiskal yang lebih telus dan subsidi yang lebih bersasar diperlukan sekiranya kita mahu mengimbangi disiplin fiskal dengan pelaburan berterusan dalam masa depan negara.

Ketegangan sama turut dapat dilihat dalam dasar ekonomi dan sosial. Sokongan kepada industri strategik sememangnya dialu-alukan, tetapi insentif yang diberi mestilah menghasilkan peningkatan yang boleh diukur dari segi kemahiran tenaga kerja tempatan, rantaian bekalan domestik dan peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik.

Pelaburan hijau wajar digalakkan, namun perniagaan juga memerlukan kejelasan tentang cukai karbon dan garis masa penyahkarbonan. Peruntukan tambahan untuk pendidikan dan penjagaan kesihatan amat penting, begitu juga usaha memastikan perkhidmatan barisan hadapan mempunyai sumber dan tenaga kerja yang mencukupi untuk menyampaikan perkhidmatan.

Peningkatan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak merupakan perkembangan positif, tetapi formula pemindahan fiskal Persekutuan yang boleh dijangka dan saksama akan menyediakan asas yang lebih kukuh bagi pembangunan jangka panjang.

Begitu juga, komitmen terhadap autonomi Parlimen dan reformasi institusi mesti diterjemahkan kepada tindakan konkrit dalam aspek pendanaan politik, reformasi pilihan raya, kebebasan pendakwaan dan pembatasan kuasa eksekutif. Sememangnya, semua ini merupakan perkara yang diberikan tumpuan oleh IDEAS secara berasingan.

Analisis kami merumuskan bahawa: “Belanjawan 2027 menangani tekanan jangka pendek tetapi membiarkan cabaran struktur utama tanpa penyelesaian. IDEAS menggesa Kerajaan untuk memperluas asas hasil negara, meningkatkan ketelusan perbelanjaan, memastikan insentif pelaburan menghasilkan keberhasilan yang boleh diukur, memperkukuh perkhidmatan asas dan mempercepat reformasi institusi yang kritikal. Memperkukuh daya tahan fiskal, meningkatkan kebertanggungjawaban institusi dan melabur dalam keupayaan ekonomi dan sosial jangka panjang merupakan langkah penting untuk menterjemahkan aspirasi Belanjawan 2027 kepada kemajuan yang berkekalan.”

Saya berasa bangga akan pasukan saya apabila ahli akademik, ahli ekonomi dan wartawan mendekati saya di pelbagai acara yang dihadiri untuk mengucapkan tahniah atas analisis IDEAS.

Namun begitu, kita juga perlu mendengar pandangan daripada pihak lain. Ketika menghadiri satu jamuan tengah hari bersama sekumpulan penggiat seni, jurugambar dan penari, terdapat satu keluhan khusus yang disuarakan: “Peruntukan untuk seni tidak mencukupi! Memang peruntukan untuk seni tidak pernah cukup!”

Semua pihak mengalu-alukan dasar pengecualian penuh cukai hiburan bagi tiket tayangan filem tempatan dan persembahan teater di Wilayah Persekutuan, meskipun kerajaan negeri juga perlu mengambil langkah sama.

Namun, selain langkah tersebut, terdapat kekecewaan terhadap jumlah peruntukan yang disediakan dan rasa hampa kerana dasar mudah yang dilaksanakan di negara jiran, seperti pas kebudayaan Singapura yang memberikan subsidi kepada rakyat untuk menikmati persembahan dan pameran, tidak dicontohi.

Sistem baucar sedemikian dapat meredakan sebahagian kritikan bahawa kerajaan mempunyai kuasa menentukan secara khusus apa yang dianggap sebagai ‘budaya’. Geran besar untuk muzium dan projek kebudayaan harus terus disediakan, (dengan ketelusan mengenai penerima peruntukan serta sebab pemberiannya), namun, ruang membuat pilihan membolehkan rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada kandungan seni yang mereka sendiri hargai, sekali gus menggalakkan perkembangan bakat tempatan secara organik, seiring kemunculan pantas bintang media sosial.

Apabila saya sendiri semakin terlibat dalam bidang seni, dengan pendedahan yang lebih luas kepada penerbitan filem dan muzik di samping sokongan berterusan saya terhadap pendidikan muzik klasik dan seni perkusi, saya sentiasa berasa kagum dengan bakat yang terdapat dalam pelbagai organisasi seni yang diterajui pihak kerajaan mahupun sektor swasta.

Saya memuji usaha dalam Belanjawan ini untuk memperkukuh daya tahan ekonomi dan institusi negara. Namun, saya berharap agar kita dapat menyediakan lebih banyak ruang untuk mengangkat martabat, memberikan inspirasi dan membentuk jati diri individu serta identiti nasional melalui seni, ketika suka dan lebih-lebih lagi, ketika duka.

This article was featured in the Sinar Harian, 17 Oktober 2026.

Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian IDEAS Malaysia.

Share this post

Related Post

Search