Kuala Lumpur, 17 Oktober 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) hari ini menerbitkan laporan terbaharunya, Kerjasama Strategik Malaysia dan Jerman dalam Mengharungi Perubahan Geostrategi Tenaga, yang meneliti peluang bagi Malaysia dan Jerman untuk memperkukuh kerjasama dalam aspek keterjaminan tenaga di tengah-tengah perubahan dinamik tenaga, perdagangan dan kewangan dunia.
Diterbitkan bersempena dengan Liberalism Conference 2026, acara utama tahunan IDEAS, laporan ini meneliti pengalaman kedua-dua negara bagi mengenal pasti pengajaran dan peluang kerjasama dalam dasar tenaga. Kajian ini ditulis bersama oleh Pengarah Penyelidikan IDEAS, Dr Stewart Nixon, dan Malte Küper, Ahli Ekonomi Kanan di Institut Ekonomi Jerman. Kajian ini meneliti perubahan geostrategi tenaga serta mempertimbangkan bagaimana Malaysia dan Jerman dapat bekerjasama sebagai peserta dalam pasaran dunia yang saling berhubung.
Malaysia dan Jerman kini berdepan persekitaran yang semakin mencabar, tidak menentu dan sukar diramalkan dalam membuat pilihan berkaitan tenaga. Gangguan besar terhadap pergerakan kapal tangki di Selat Hormuz menambah tekanan kepada sektor tenaga yang masih terkesan akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Tindakan paksaan ketenteraan dan ekonomi oleh Amerika Syarikat telah menjadi faktor yang menggugat kestabilan, manakala penguasaan China yang semakin meningkat dalam pembuatan teknologi hijau dan mineral kritikal mewujudkan bentuk kebergantungan tenaga yang berbeza. Pembuat dasar terpaksa menangani kejutan tenaga yang berulang, persaingan geopolitik dan tuntutan peralihan tenaga bersih dalam keadaan krisis yang berterusan. Keadaan ini berisiko menyebabkan mereka berulang kali menangani gejala jangka pendek, dan bukannya melabur dalam usaha kesiapsiagaan serta strategi daya tahan yang menyeluruh. Akibatnya, kejutan yang berlaku membawa kesan ekonomi, politik dan sosial yang lebih buruk daripada yang sepatutnya.
Laporan ini membantu mengalihkan tumpuan pembuat dasar melalui langkah-langkah berikut:
- Meneliti kepentingan perubahan dasar tenaga Amerika Syarikat yang semakin ketara serta penguasaan China dalam sektor tenaga boleh baharu, dalam konteks perkembangan tenaga dan geopolitik yang lebih luas;
- Menilai pengalaman Malaysia dan Jerman bagi meneliti kesan perubahan ini, perbezaan tafsiran terhadapnya serta tindak balas dasar yang diambil oleh kedua-dua negara; dan
- Menggariskan pengajaran utama serta mengenal pasti bidang yang membolehkan Malaysia dan Jerman memperluas kerjasama.
“Risiko tenaga bukan sahaja bergantung pada pembekal, tetapi juga pada keupayaan infrastruktur untuk membolehkan keanjalan penggunaan sumber tenaga yang berbeza. Analisis kebergantungan perlu menilai kebolehdagangan sumber tenaga, bukan sekadar melihat bahagian import. Pengalaman Jerman dan Malaysia juga menunjukkan bahawa tindak balas terhadap krisis tenaga perlu dihadkan tempohnya dengan lebih jelas, disasarkan secara tepat dan disertakan dengan reformasi struktur,” tegas Malte Küper.
Laporan ini mengemukakan beberapa pengajaran bersama untuk memperkukuh dasar domestik serta mengenal pasti pelbagai peluang bagi membentuk kerjasama dua hala dan pelbagai hala demi meningkatkan keterjaminan tenaga, termasuk usaha untuk:
- Membangunkan strategi nasional yang lebih jelas berhubung risiko tenaga, daya tahan serta timbal balik risiko dan manfaat, dengan merangkumi langkah kesiapsiagaan dan tindak balas, di samping risikan pasaran yang lebih mendalam serta keupayaan menjangka perkembangan strategik;
- Memperkukuh kerjasama dua hala dan pelbagai hala ke arah perjanjian yang mengikat dan memberikan manfaat bersama, bagi memudahkan kesiapsiagaan bersama serta usaha kolektif untuk menangani kejutan;
- Mengakui bahawa tindak balas terhadap kejutan yang berteraskan penyerapan kesan melalui subsidi tidak bersasar menelan kos yang tidak mampan, selain melemahkan insentif untuk membuat pilihan yang lebih berdaya tahan;
- Memahami dan melindungi negara daripada kebergantungan sedia ada serta yang baharu dengan lebih baik, termasuk gangguan terhadap aliran bahan api fosil merentas sempadan dan rantaian bekalan teknologi serta produk tenaga boleh baharu yang menyokong pengeluaran tenaga domestik; dan
- Mempercepat pemasangan kemudahan tenaga boleh baharu bagi mengurangkan risiko dan kesan gangguan seperti krisis Asia Barat, dengan mengambil kira batasan kepelbagaian sumber tenaga dan pengeluaran domestik.
“Ketiadaan analisis risikan berasaskan pasaran, rantaian bekalan dan senario yang lebih mendalam oleh penggubal dasar susulan kejutan akibat konflik antara Rusia dan Ukraine, krisis Asia Barat serta gangguan perdagangan dan pandemik yang lain sejak kebelakangan ini amat membimbangkan. Keadaan ini menyebabkan Malaysia lebih terdedah dari segi ekonomi kepada kejutan pada masa hadapan berbanding jika langkah sewajarnya telah diambil. Malaysia tidak boleh terus bergantung pada subsidi yang tidak mampan dan tidak bersasar, yang memberikan kelegaan sementara tetapi mengekalkan status quo yang tidak mungkin kembali seperti sediakala. Malaysia perlu bekerjasama dengan rakan seperti Jerman untuk membangunkan strategi yang lebih jelas, usaha kesiapsiagaan yang diselaraskan serta mekanisme dasar bagi menyasarkan bantuan dengan lebih berkesan,” kata Dr Stewart Nixon.
Muat turun kertas laporan ini di laman web IDEAS.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Malaysia needs a sustainable budget, not a sugar hit