IDEAS Gesa Pemindahan Fiskal Persekutuan-Negeri yang Lebih Telus, Boleh Diramal dan Berasaskan Peraturan 

IDEAS Gesa Pemindahan Fiskal Persekutuan-Negeri yang Lebih Telus, Boleh Diramal dan Berasaskan Peraturan 

Kuala Lumpur, 25 Jun 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) hari ini melancarkan sebuah kertas kajian dasar baharu bertajuk Tadbir Urus Pemindahan Fiskal di Malaysia: Adakah Ia Berasaskan Peraturan, Boleh Diramal dan Telus? yang menekankan keperluan agar semua pemindahan fiskal antara kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai asas perundangan yang kukuh, formula peruntukan yang jelas, serta maklumatnya didedahkan secara tekal dan mudah dicapai dalam dokumen belanjawan Persekutuan dan negeri.

Laporan ini dilancarkan bersempena dengan Persidangan Tanggungjawab Fiskal IDEAS 2026, yang dianjurkan dengan sokongan Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia. Persidangan ini menghimpunkan penggubal dasar, penyelidik, pakar dan wakil masyarakat sivil untuk membincangkan kepentingan tadbir urus fiskal yang bertanggungjawab serta pengurusan kewangan awam yang mampan di Malaysia.

Acara ini turut menampilkan ucaptama oleh Timbalan Menteri Kewangan, YB Liew Chin Tong, yang berkongsi pandangan mengenai kepentingan tadbir urus fiskal yang bertanggungjawab dalam memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong pembangunan jangka panjang, dan memastikan kerjasama yang berkesan antara pelbagai peringkat kerajaan.

Laporan ini ditulis oleh Sri Murniati Yusuf, Felo Kanan IDEAS, meneliti sama ada sistem pemindahan fiskal Malaysia beroperasi berdasarkan peraturan yang jelas, menyediakan pembiayaan yang boleh diramal kepada kerajaan negeri, serta memenuhi piawaian ketelusan yang diterima umum.

Kajian ini mendapati bahawa sistem pemindahan fiskal Malaysia masih belum sepenuhnya berasaskan peraturan, mempunyai tahap kebolehramalan yang rendah bagi kerajaan negeri, dan hanya sebahagiannya telus. Walaupun beberapa bentuk pemindahan fiskal berasaskan peruntukan Perlembagaan yang jelas, terdapat juga pemindahan yang tidak mempunyai asas perundangan yang kukuh, garis panduan yang tersedia kepada umum atau formula peruntukan yang telus. Dalam sesetengah keadaan, pemindahan fiskal tidak disalurkan mengikut formula yang dinyatakan, sekali gus mewujudkan ketidakpastian dan menimbulkan persoalan mengenai ketekalan serta keadilan.

Laporan ini juga mendapati bahawa jumlah peruntukan pemindahan fiskal boleh berubah dengan ketara dari tahun ke tahun, termasuk perbezaan besar antara jumlah yang diunjurkan dan jumlah sebenar yang disalurkan. Akibatnya, kerajaan negeri sering berdepan kesukaran dalam merancang perbelanjaan dan mengurus kewangan mereka disebabkan ketidakpastian berkaitan hasil daripada pemindahan fiskal tersebut.

Selain itu, rekod pemindahan fiskal yang merentasi pelbagai dokumen belanjawan Persekutuan dan negeri menyukarkan penentuan jumlah sebenar sokongan Persekutuan kepada negeri. Keadaan ini mengehadkan ketelusan, penelitian awam dan kebertanggungjawaban.

“Pemindahan fiskal memainkan peranan yang amat penting dalam menyokong kerajaan negeri dan memastikan penyampaian perkhidmatan awam. Namun, keberkesanan pemindahan fiskal ini bukan sahaja bergantung kepada jumlah yang diperuntukkan, tetapi juga sama ada ia ditadbir melalui peraturan yang jelas, pengurusan yang boleh diramal serta mekanisme pelaporan yang telus. Memperkukuh dimensi tadbir urus ini adalah penting untuk membina kepercayaan dan menambah baik hubungan fiskal antara kerajaan,” kata Sri Murniati.

Bagi memperkukuh tadbir urus pemindahan fiskal, laporan ini mengesyorkan:

  1. Memperkukuh kerangka perundangan, formula dan garis panduan bagi pemindahan fiskal dengan memastikan:
    • Semua pemindahan fiskal berasaskan peruntukan Perlembagaan atau undang-undang yang jelas;
    • Semua pemindahan fiskal disokong oleh garis panduan yang jelas dan tersedia kepada umum; dan
    • Semua pemindahan fiskal mempunyai kriteria kelayakan yang ditakrifkan dengan baik serta formula pengiraan yang telus.
  2. Menubuhkan sebuah sekretariat teknikal atau jawatankuasa khusus di bawah Majlis Kewangan Negara bagi memudah cara penglibatan berterusan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, menyokong pelaksanaan dasar serta menangani cabaran operasi dalam pentadbiran pemindahan fiskal.
  3. Meningkatkan ketelusan dan kebolehbandingan maklumat fiskal melalui penyelarasan pelaporan dan pendedahan data pemindahan fiskal merentasi dokumen belanjawan Persekutuan dan negeri.

“Kesatuan Eropah berbesar hati dapat menyokong kajian ini dan menyumbang kepada perbahasan mengenai usaha memperkukuh tadbir urus fiskal, meningkatkan ketelusan, serta memastikan institusi awam yang berkesan. Kami percaya bahawa kajian berkualiti tinggi seperti ini merupakan satu pelaburan untuk masa depan bersama, yang membolehkan perkongsian amalan terbaik serta mengenal pasti kepentingan bersama. Pembinaan institusi yang berdaya tahan akan menyokong pertumbuhan yang mampan — satu kepentingan bersama bagi Kesatuan Eropah dan Malaysia serta asas penting kepada hubungan kerjasama yang semakin erat antara kedua-dua pihak,” kata Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Rafael Daerr.

Muat turun laporan di pautan ini

— TAMAT —

Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search