Ditulis oleh Zuhdi Farhan, Eksekutif Kanan, Advokasi dan Program di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)
Pengenalan Akta Pendanaan Politik di Malaysia merupakan satu reformasi penting yang berpotensi mengubah landskap politik negara. Setelah beberapa tahun organisasi masyarakat sivil mendesak pelaksanaan suatu pengawalseliaan pendanaan politik, akhirnya Malaysia kini berada di persimpangan penting yang berpotensi mengukuhkan demokrasi dan politik negara. Dengan menetapkan peraturan yang jelas tentang sumber dan penggunaan dana politik, akta ini akan mendatangkan pelbagai manfaat kepada parti politik dan masyarakat secara keseluruhan.
Salah satu kelebihan utama Akta Pendanaan Politik ialah mempromosikan ketelusan dalam aktiviti pendanaan politik. Pada ketika ini, Malaysia masih kekurangan suatu undang-undang khusus yang mengawal selia sumbangan politik. Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 hanya mempunyai satu peruntukan yang memantau perbelanjaan calon pilihan raya secara individu. Ketiadaan proses kawal selia ini boleh membawa kepada sumbangan kewangan dan bukan kewangan yang tidak didedahkan serta mewujudkan potensi pengaruh tidak wajar berleluasa. Dengan mewajibkan pendedahan menyeluruh mengenai sumbangan dan perbelanjaan politik, akta ini memastikan orang ramai dan badan pemantau dimaklumkan tentang aktiviti kewangan entiti politik. Ketelusan sebegini penting untuk memastikan kebertanggungjawaban dan mencegah amalan rasuah.
Akta ini juga berhasrat untuk memperkenalkan mekanisme pembiayaan awam kepada parti politik. Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada penderma persendirian dan mempromosikan persaingan yang lebih adil antara parti politik. Apabila pengagihan dana awam didasarkan kepada kriteria tertentu seperti nisbah undian yang diterima dalam pilihan raya umum, parti kecil atau parti baharu akan mempunyai peluang yang lebih saksama untuk menyertai pentas politik, sekaligus memperkaya landskap demokrasi Malaysia.
Pendanaan politik yang tidak dikawal boleh membuka ruang kepada rasuah, di mana individu atau syarikat kaya memberikan sumbangan besar sebagai imbal balas untuk dasar atau kontrak yang menguntungkan mereka. Dengan menetapkan had yang jelas terhadap sumbangan dan melaksanakan keperluan pelaporan yang ketat, akta ini dapat mengurangkan risiko keputusan politik dipengaruhi oleh kepentingan individu atau penyumbang tertentu, memastikan keputusan dibuat demi kepentingan rakyat.
Selain itu, penggubalan Akta Pendanaan Politik akan memperkukuh kepercayaan awam terhadap institusi demokrasi Malaysia. Apabila rakyat berasa yakin bahawa parti politik beroperasi secara telus dan bertanggungjawab dalam urusan kewangan mereka, keyakinan terhadap proses pilihan raya dan tadbir urus juga akan bertambah kukuh. Kepercayaan ini amat penting untuk menggalakkan penyertaan aktif rakyat dan membentuk budaya politik yang berasaskan integriti.
Sehingga tahun 2012, 180 buah negara telahpun melaksanakan pelbagai bentuk pengawalseliaan pendanaan politik. Pelaksanaan akta ini akan meletakkan Malaysia sebaris dengan amalan terbaik antarabangsa dalam peraturan pendanaan politik. Banyak demokrasi di dunia telah menetapkan undang-undang untuk mengawasi sumbangan dan perbelanjaan politik, menunjukkan bahawa rangka kerja sedemikian penting untuk proses pilihan raya yang adil dan telus. Dengan menerima pakai perundangan yang serupa, Malaysia akan menunjukkan komitmen untuk menegakkan prinsip demokrasi dan memerangi rasuah di peringkat dunia.
Sementelah, ketelusan dalam pendanaan politik boleh meningkatkan penglibatan masyarakat awam. Apabila rakyat mempunyai capaian kepada maklumat penting mengenai sumber dan penggunaan dana politik, mereka akan lebih cenderung untuk terlibat dalam wacana politik, menyertai pilihan raya, dan memastikan wakil rakyat yang dipilih kekal bertanggungjawab terhadap keperluan dan kebimbangan pengundi serta masyarakat.
Dengan mengawal aliran wang ke dalam politik, akta ini akan menggalakkan parti politik mengamalkan kaedah pengumpulan dana yang lebih mampan dan beretika. Perubahan ini boleh mengurangkan kos keseluruhan kempen politik, menjadikan arena politik lebih mudah dicapai oleh individu dan kumpulan yang sebelum ini terpinggir akibat kekangan kewangan. Keterangkuman ini penting untuk memastikan kewujudan demokrasi yang benar-benar mewakili kepelbagaian suara rakyat.
Penggubalan Akta Pendanaan Politik di Malaysia adalah satu langkah penting ke arah mempertingkat integriti dan keberkesanan sistem politik negara. Dengan mempromosikan ketelusan, memastikan kebertanggungjawaban, mengimbangi persaingan politik, dan mengurangkan rasuah, akta ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada parti politik tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan. Ketika Malaysia terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh tadbir urus demokratik, pelaksanaan reformasi pendanaan politik yang menyeluruh akan menjadi asas penting untuk membina landskap politik yang lebih telus, adil, dan terangkum.
This article was also featured on bharian.com.my on March 8, 2025
Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian IDEAS Malaysia.