KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2023 — SELARAS dengan pilihanraya negeri yang akan berlangsung pada Sabtu ini, Institut untuk Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru semua pihak yang terlibat dalam proses demokrasi ini, termasuklah pengundi, calon dan parti untuk bersama-sama memastikan pengundian dilakukan secara bersih, aman dan berhemah.
IDEAS juga menyeru agar semua calon, ahli parti, jentera dan para penyokong untuk mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang berunsur kebencian terhadap komuniti lain terutamanya dalam hal ehwal agama dan kaum. Kami juga berharap agar aset dan peruntukan milik kerajaan tidak dijadikan sumber kewangan untuk membiayai perbelanjaan kempen pada hari terakhir kempen dan pada hari mengundi.
“Kami mengambil maklum beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli-ahli politik yang berbaur perkauman atau xenofobia sama ada secara terang-terangan ataupun sebaliknya. Kenyataan-kenyataan seperti ini sangat berbahaya dan boleh mencetuskan kebencian sesama masyarakat di negara ini.
Kenyataan seperti ini sangat tidak bertanggungjawab dan tidak patut dihebahkan semata-mata untuk meraih kemenangan dalam pilihanraya. Selain itu, dengan mewujudkan retorik permusuhan antara dua pihak, menjadikan golongan-golongan tertentu sebagai kambing hitam dan menaikkan naratif ’siapa menang, dia berkuasa’ (zero sum game) jelas sekali bertentangan dengan asas perlembagaan negara.
Kelakuan tidak bertanggungjawab ini juga akan meninggalkan kesan jangka masa panjang yang akan menjejaskan keamanan dalam masyarakat secara kekal sekiranya kita tidak berhati-hati,” menurut Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
“Menurut Seksyen 4A di Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara 5 tahun atau saman tidak kurang dari RM10,000 atau
kedua-duanya sekiranya mereka terbukti bersalah mengeluarkan kenyataan yang bersifat jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara kaum sepanjang sesi pilihanraya. Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi undang-undang ini semasa tempoh kempen,” kata Dr Yeoh lagi.
Sambungnya lagi, “proses demokrasi di Malaysia dapat diselaraskan jika kita mengamalkan persaingan politik yang adil antara pihak kerajaan dan pembangkang. Biasanya, pihak kerajaan mendapat kelebihan dalam proses pengundian oleh kerana sumber peruntukan yang dapat diterima. Namun, ini tidak bermakna mereka patut mengambil kesempatan semasa tempoh pilihanraya dengan menggunakan peruntukan tersebut walhal pihak pembangkang sama sekali tidak menerima sebarang peruntukan.
IDEAS mengucapkan selamat maju jaya kepada para pengundi di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dalam membuat pemilihan calon-calon yang layak menjadi wakil suara kepada rakyat.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Sri Murniati Yusuf
Deputy Research Director
T: +603 2070 8881/8882 | E: unie@ideas.org.my
Syazwan Zainal
Assistant Manager, Research
T: +603 2070 8881/8882 | E: syazwan@ideas.org.my