Kuala Lumpur, 3 Disember 2022: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menzahirkan kegusaran terhadap pengumuman terbaharu oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai barisan Kabinet. Satu pengumuman yang amat dinantikan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa, keputusan untuk melantik Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke jawatan Timbalan Perdana Menteri di sebalik pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah amat membingungkan. IDEAS juga menyeru pengasingan peranan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana tiada pengawasan terhadap portfolio paling penting dalam Kabinet.
“Walaupun mencapai kestabilan, pelantikan Zahid Hamidi sebagai TPM yang memegang portfolio strategik memberi isyarat salah daripada kerajaan yang berikrar untuk mematuhi prinsip tadbir urus yang baik. Walaupun tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan melalui semua proses rayuan sudah memadai untuk mengekalkan kerusi di Parlimen, ahli-ahli Kabinet yang dilantik perlu mempunyai standard yang lebih tinggi. Hal ini penting untuk memastikan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan hari ini,” ulas Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
“Kedua, pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan tidak selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik yang telah diisytiharkan Perdana Menteri Anwar sebagai agenda teras kerajaan perpaduan. Komitmen untuk mengasingkan portfolio juga telah dibuat dengan jelas dalam manifesto pilihan raya PH sebelum ini,” kata Dr Yeoh. “Skandal rasuah 1MDB sebahagiannya dipermudahkan dengan membenarkan seorang individu memegang dua jawatan penting Kabinet ini secara serentak. Tiga pentadbiran sebelum ini telah cuba mengubah tradisi ini dengan melaksanakan pengasingan kuasa antara jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Walaupun secara politik sukar untuk menamakan Menteri Kewangan dalam kerajaan perpaduan, peranan perlu diasingkan untuk proses semak dan imbang. Kami mencadangkan Perdana Menteri harus komited untuk mencari seorang Menteri Kewangan yang sesuai; seseorang yang boleh melaksanakan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab. Menteri Kewangan juga perlu mengawasi pembaharuan fiskal seperti melaksanakan Akta Tanggungjawab Fiskal yang tergendala sejak sekian lama,” kata Dr Yeoh lagi.
Perdana Menteri telah menunaikan sebahagian daripada janjinya semasa sidang media yang diadakan pada 24 November untuk mewujudkan Kabinet yang lebih kecil. Kami juga melihat perwakilan wanita, belia dan wilayah yang lebih baik dalam barisan Kabinet semasa. Hal ini dicerminkan menerusi lima jawatan menteri dengan lima ahli politik wanita, empat ahli politik belia, dan enam wakil Borneo termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri. Bagaimanapun, kami amat berharap agar Perdana Menteri tidak mengikuti langkah pentadbiran sebelum ini yang melantik timbalan menteri dan duta khas bertaraf menteri untuk memuaskan hati pelbagai pihak dan menjadikan saiz Kabinet terlalu besar.
Namun begitu, kami ingin mengucapkan tahniah kepada semua menteri yang telah diberi tanggungjawab dan peluang pada hari ini untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat. Sudah tiba masanya untuk melaksanakan manifesto pilihan raya yang dijanjikan oleh gabungan mereka kepada pengundi. Walaupun setiap gabungan menekankan aspek dasar yang berbeza dalam manifesto masing-masing, kebanyakannya berkongsi matlamat yang sama: untuk meringankan beban rakyat dan mempercepat pembaharuan institusi. IDEAS pastinya berharap pembaharuan institusi utama yang disebut oleh BN dan PH ketika tempoh berkempen seperti janji untuk menggubal Undang-undang Pendanaan Politik dan pengasingan kuasa antara peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara akan dilaksanakan dengan pantas. “Sehubungan dengan itu, kami berharap akan dapat menjalin hubungan rapat dengan Menteri Undang-undang yang baru dilantik serta semoga beliau akan melaksanakan pembaharuan ini secara agresif dalam masa terdekat. Selain itu, kami juga berharap untuk meneruskan hubungan dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan berkenaan isu-isu yang diperjuangkan oleh IDEAS mengenai pembaharuani perolehan awam, belanjawan, ekonomi, perdagangan, kesihatan dan pendidikan,” kata Dr Yeoh.
Kami juga menyeru Perikatan Nasional untuk memainkan peranannya sebagai pembangkang yang berkesan dan adil kepada kerajaan sedia ada. Mereka harus melaksanakan rancangan mereka untuk membentuk Kabinet Bayangan tidak lama lagi untuk terlibat secara konstruktif dalam pembuatan dasar. Dengan membentuk Kabinet Bayangan dan memberikan kritikan yang membina terhadap dasar-dasar kerajaan, Perikatan Nasional akan berjasa besar kepada negara bukan sahaja melalui menyediakan mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan, tetapi juga dengan mengalihkan naratif awam semasa daripada propaganda politik yang memecahbelahkan.
IDEAS menggesa semua pihak yang melobi pelantikan politik ke dalam kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun persekutuan (FSB) untuk meneruskan semangat pengorbanan dan kemurahan hati dalam memastikan kerajaan perpaduan yang stabil. Kejayaan kerajaan ini bergantung kepada tanggungjawab kolektif setiap ahli Parlimen daripada parti-parti utama yang telah membentuk kerajaan. Negara memerlukan kestabilan politik dan juga komitmen terhadap prinsip. Oleh itu, sebarang pelantikan di bawah pentadbiran ini pada masa hadapan seharusnya dapat menangani kedua-dua keperluan secara sama rata dengan mengambil kira semua alternatif yang tersedia.
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Halmie Azrie Abdul Halim, Eksekutif, Demokrasi dan Tadbir Urus
T: +603 2070 8881/8882 | E: halmie@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar, IDEAS Malaysia
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my