Sabtu, 21 Ogos 2021, Kuala Lumpur – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengucapkan tahniah kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan. Pelantikan YAB Perdana Menteri adalah selaras dengan Artikel 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan, berikutan proses konsultasi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama Ahli Parlimen. Selari dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, undi percaya harus dibentangkan di Parlimen dengan kadar yang segera bagi membuktikan keabsahan kedudukan Perdana Menteri.
Sejajar dengan pelantikan ini, IDEAS menyeru kerajaan baharu agar segera menyelesaikan masalah kesihatan awam dan ekonomi yang kian meruncing di Malaysia. IDEAS berharap, dibawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri, pihak kerajaan akan meneruskan inisiatif utama kebangsaan, termasuklah Pelan Pemulihan Negara dan juga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Keutamaan khusus harus diberikan kepada sistem kesihatan awam, berikutan peningkatan kes jangkitan baharu COVID-19 seluruh negara. IDEAS, melalui kenyataan bersama telah menyarankan cadangan untuk menyelesaikan krisis pandemik ini. Kenyataan bersama tersebut boleh diperolehi di sini.
Memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, “Walaupun ketegangan politik negara dapat ditenangkan berikutan pelantikan Perdana Menteri yang kesembilan, IDEAS mengingatkan bahawa perikatan di pihak kerajaan masih belum kukuh sepenuhnya. Memandangkan YAB Perdana Menteri memperoleh majoriti yang tipis, beliau perlu mengukuhkan keyakinan pentadbiran terhadap kedudukan beliau.”
Untuk itu, pihak kerajaan harus bersungguh-sungguh dalam melaksanakan perubahan seperti yang diusulkan oleh mantan Perdana Menteri. Ini termasuklah cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, pelaksanaan UNDI18, pengagihan peruntukan yang sama terhadap semua Ahli Parlimen, penambahbaikan Parlimen, pertambahan dana COVID-19 kepada RM65 billion, dan memperuntukkan wakil Pembangkang di dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Ujar Tricia Yeoh, “Pihak kerajaan yang baharu harus meneruskan gerak kerja yang sedia ada. Sementara menyelesaikan krisis kesihatan awam melalui program vaksin kebangsaan, krisis ekonomi juga harus dipulihkan. Belakangan ini, kedudukan ekonomi Malaysia semakin merudum, dan kestabilan politik amat diperlukan untuk memulihkan daya saing, produktiviti dan inovasi negara di peringkat antarabangsa. Kita harus menggunakan “whole-of-society approach” dengan melibatkan kerjasama daripada badan-badan pemikir, masyarakat sivil, jaringan professional dan organisasi antarabangsa. Perubahan dan penambahbaikan institusi penting untuk membina keyakinan pelabur luar. IDEAS mengucapkan selamat maju jaya kepada YAB Perdana Menteri kesembilan dalam mengemudi negara kelak.”
—TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Zokhri Idris, Ph.D, Pengarah, Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: zokhri@ideas.org.my