IDEAS: Hentikan Taktik Pemerasan dan Ugutan Terhadap Penyelaras #Lawan

IDEAS: Hentikan Taktik Pemerasan dan Ugutan Terhadap Penyelaras #Lawan

Kuala Lumpur, 2 Ogos 2021: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk menghentikan taktik pemerasan dan ugutan terhadap penyelaras protes #Lawan yang berlangsung pada 31 Julai 2021.

“Protes #Lawan ini adalah satu manifestasi kepada sebuah demokrasi yang normal di Malaysia. Hak untuk menyuarakan bantahan merupakan hak asasi dalam mana-mana sistem demokrasi. Protes #Lawan berlangsung dalam keadaan aman, mematuhi tatacara pengendalian piawai (SOP) serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Pihak polis tidak seharusnya menakut-nakutkan penunjuk perasaan yang berkumpul secara aman dan perlu sentiasa menjunjung hak rakyat yang terkandung di dalam perlembagaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh.

IDEAS melihat tindakan menyoal siasat para aktivis sebagai satu taktik pemerasan yang jelas memberi tekanan kepada rakyat Malaysia untuk mengamalkan kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun seperti yang dijamin oleh perlembagaan. Penangkapan, soal siasat dan penahanan semalaman yang dikenakan kepada seorang aktivis muda, Sarah Irdina pada 29 Julai 2021 khususnya, juga merupakan satu taktik pemerasan yang ternyata tidak munasabah.

“Rakyat diberikan jaminan kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun di dalam Perlembagaan Persekutuan. Pemerasan sebegini menunjukkan seolah-olah pihak berkuasa memberi mesej bahawa kita kembali ke satu era dimana bantahan rakyat tidak akan dibenarkan sama sekali di negara kita. IDEAS menjangkakan, pengesan indeks demokrasi dunia akan meramalkan Malaysia kembali ke zaman autoritarianisme. Apa yang kami khuatir perkembangan sebegini akan menjadi sesuatu yang sukar untuk diubah pada masa hadapan. Ini akan menjejaskan peluang pelaburan dan perniagaan dalam negara yang bergantung kepada kemampanan institusi yang mantap dan demokratik,” simpul Yeoh.

— TAMAT —

Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Zokhri Idris, Ph.D, Pengarah, Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: zokhri@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search