IDEAS Seru Belas Ihsan dan Pelaksanaan Kerangka DPP Secara Telus di Sebalik Peningkatan Sentimen Antipelarian 

IDEAS Seru Belas Ihsan dan Pelaksanaan Kerangka DPP Secara Telus di Sebalik Peningkatan Sentimen Antipelarian 

Kuala Lumpur, 20 Jun 2026: Peningkatan retorik kebencian yang ditujukan kepada pelarian Rohingya di Malaysia, khususnya di media sosial, mutakhir ini amat membimbangkan. Walaupun terdapat kewajaran perbincangan mengenai dasar dan pengurusan pelarian, kebimbangan tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalalkan bahasa yang bersifat perkauman, xenofobik atau yang merendahkan martabat manusia.

Sempena Hari Pelarian Sedunia hari ini, kita diingatkan tentang realiti yang dihadapi oleh pelarian di Malaysia dan di seluruh dunia. Pelarian sering kali terperangkap dalam situasi ketidakpastian yang berpanjangan, bukan atas pilihan sendiri, tetapi kerana kepulangan ke negara asal boleh mengancam nyawa dan kesejahteraan mereka. Realiti ini seharusnya mengingatkan kita tentang tahap kerentanan yang amat tinggi dalam kalangan pelarian di Malaysia, khususnya komuniti Rohingya yang merupakan kumpulan pelarian terbesar di negara ini.

Malaysia kekal antara sebilangan kecil negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang masih belum meratifikasi Konvensyen 1951 Berkaitan Status Pelarian dan Protokol 1967. Akibatnya, pelarian di Malaysia terus berada dalam persekitaran dasar yang tiada ketetapan dari segi undang-undang, perlindungan yang terhad, serta akses yang terbatas kepada pekerjaan formal dan perkhidmatan awam.

Pengumuman terkini Kementerian Dalam Negeri mengenai pelaksanaan Kerangka Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) menandakan satu perkembangan penting dalam pendekatan negara terhadap pengurusan pelarian. Kerangka ini membuka peluang untuk mewujudkan sistem pendaftaran dan pengurusan pelarian yang lebih tersusun dan telus. Namun begitu, masih terdapat persoalan penting mengenai hak, tanggungjawab dan perlindungan yang akan dinikmati oleh pelarian yang berdaftar, serta bagaimana kerangka ini akan berinteraksi dengan mekanisme sokongan sedia ada.

Pelaksanaan kerangka DPP ini tidak seharusnya dilihat sebagai satu urusan pentadbiran semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan peluang untuk membangunkan pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap sistem pengurusan pelarian yang dapat mengimbangi pertimbangan kemanusiaan, keyakinan awam dan kepentingan sosioekonomi jangka panjang Malaysia.

Kajian IDEAS pada tahun 2019 menganggarkan bahawa pemberian akses pekerjaan yang sah kepada pelarian berpotensi menyumbang lebih daripada RM3 bilion setahun kepada ekonomi Malaysia. Kajian tersebut turut mendapati bahawa akses yang lebih baik kepada pendidikan boleh meningkatkan sumbangan ekonomi jangka panjang pelarian secara signifikan, di samping menghasilkan manfaat yang lebih luas kepada perniagaan, tenaga kerja dan kewangan awam.

Walau bagaimanapun, manfaat tersebut tidak akan terhasil secara automatik melalui reformasi dasar semata-mata. Pelaksanaan yang berkesan, penglibatan masyarakat dan pembahagian tanggungjawab institusi yang jelas adalah amat penting. Penggubal dasar tidak boleh sekadar mewujudkan satu kerangka dan mengharapkan majikan, pihak berkuasa tempatan dan organisasi masyarakat sivil menguruskan cabaran integrasi secara bersendirian. Hasil yang mampan memerlukan penyelarasan, kebertanggungjawaban dan komitmen jangka panjang daripada semua pihak berkepentingan.

Bagi menyokong pelaksanaan yang berkesan, IDEAS mengesyorkan agar Kerajaan:

  1. Menjelaskan peraturan dan garis panduan pelaksanaan di bawah kerangka DPP, termasuk kriteria kelayakan serta akses kepada pekerjaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam yang lain.
  2. Mewujudkan kerangka pengurusan pelarian yang telus dan bertanggungjawab dengan struktur tadbir urus yang jelas, perlindungan terhadap data peribadi dan biometrik, serta pelaporan awam secara berkala bagi memperkukuh ketelusan dan kebertanggungjawaban.
  3. Memastikan penggajian pelarian mematuhi piawaian buruh, perlindungan di tempat kerja, keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta mekanisme perlindungan sosial yang bersesuaian.
  4. Memperkukuh kerjasama dengan kerajaan tempatan, organisasi masyarakat sivil, kumpulan komuniti dan badan antarabangsa bagi menggalakkan keharmonian sosial serta mengurangkan penyebaran maklumat palsu.
  5. Membangunkan pelan hala tuju untuk memperluas akses kepada pendidikan formal dan pembangunan kemahiran bagi kanak-kanak dan belia pelarian, dengan mengambil kira bahawa penyertaan ekonomi dan integrasi jangka panjang bukan sahaja bergantung kepada akses pekerjaan, tetapi juga pembangunan modal insan.

“Ketelusan yang lebih tinggi membolehkan satu perbincangan jujur mengenai kos, kekangan dan kompromi yang terlibat dalam pengurusan migrasi dan pemindahan paksa. Apabila perdebatan awam dipacu oleh andaian dan bukannya bukti, penggubal dasar akan berdepan kesukaran yang lebih besar untuk merangka penyelesaian yang berkesan dan mampan. Dasar yang baik bermula dengan maklumat yang tepat, kerangka tadbir urus yang jelas dan pemahaman yang realistik tentang kapasiti negara. Keyakinan awam lebih mudah dipupuk apabila dasar dilaksanakan secara telus, tanggungjawab diterangkan dengan jelas dan masyarakat memahami bagaimana keputusan dibuat. Pendekatan yang mampan memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, majikan, masyarakat sivil, organisasi antarabangsa serta komuniti tempatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari.

IDEAS menyeru supaya perikemanusiaan dan kesusilaan tetap diamalkan oleh setiap rakyat Malaysia. Kita tidak boleh membiarkan ketakutan, prasangka atau maklumat palsu menghakis komitmen bersama kita dalam memartabatkan maruah insan. Kayu ukur sebenar sebuah masyarakat yang adil dan makmur bukan sahaja terletak pada bagaimana ia menangani cabaran yang dihadapi, tetapi juga pada bagaimana ia melayani golongan yang paling rentan.

— TAMAT —

Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search