IDEAS: Negeri-Negeri Harus Menghentikan Perluasan ADUN Lantikan dan Meneruskan Reformasi Pilihan Raya untuk Memperkukuh Demokrasi Berperwakilan

IDEAS: Negeri-Negeri Harus Menghentikan Perluasan ADUN Lantikan dan Meneruskan Reformasi Pilihan Raya untuk Memperkukuh Demokrasi Berperwakilan

Kuala Lumpur, 7 Ogos 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menzahirkan kebimbangan serius terhadap peningkatan penggunaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dengan hak mengundi. Pelantikan ADUN sering dikemukakan sebagai mekanisme untuk meningkatkan representasi dan membawa kepakaran ke dalam badan perundangan. Namun, amalan ini berpotensi menjejaskan legitimasi demokrasi apabila individu yang tidak dipilih oleh rakyat diberikan kuasa perundangan yang setara dengan wakil yang dipilih melalui pilihan raya.

IDEAS menggesa kerajaan negeri supaya mempertimbangkan semula pengembangan berterusan amalan lantikan ADUN dan, sekiranya wajar, mengkaji semula peruntukan perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri sedia ada yang membenarkan pelantikan sedemikian. Sekiranya matlamatnya adalah untuk memperkukuh representasi atau meningkatkan kualiti perbahasan legislatif, kerajaan negeri seharusnya mencapai matlamat tersebut melalui reformasi sistem pilihan raya dan proses pemilihan calon, bukannya dengan menambah bilangan ahli legislatif yang tidak memperoleh mandat daripada rakyat.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa negeri telah meminda perlembagaan masing-masing bagi membolehkan pelantikan ADUN yang mempunyai hak mengundi. Sabah telah mengekalkan amalan  ini sejak tahun 1963, diikuti oleh Pahang pada tahun 2020, Terengganu pada tahun 2023, serta Johor dan Melaka pada tahun 2026. Perkembangan ini memerlukan pertimbangan yang teliti terhadap implikasi perlembagaan dan kesannya terhadap demokrasi berperwakilan.

“Ahli Parlimen dan ADUN yang dipilih memperoleh keabsahan demokratik (democratic legitimacy) secara langsung daripada pengundi melalui pilihan raya yang bebas dan adil. Mereka diamanahkan dengan kuasa untuk membahas, meneliti dan menggubal undang-undang kerana mereka bertanggungjawab secara terus kepada pengundi, yang akhirnya menentukan sama ada mereka boleh terus memegang jawatan sebagai wakil rakyat”, kata Aira Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.

“ADUN yang dilantik, bagaimanapun, menggunakan kuasa perundangan yang sama tanpa mendapat mandat pilihan raya. Ini mewujudkan perbezaan asas dalam kesahihan demokrasi dan menimbulkan persoalan penting tentang akauntabiliti, kerajaan perwakilan dan keyakinan orang ramai terhadap institusi legislatif negeri,” tambah Aira.

Walaupun kewujudan ADUN lantikan sering dihujahkan sebagai satu mekanisme untuk meningkatkan representasi atau memperkenalkan kepakaran tertentu ke dalam badan perundangan, matlamat tersebut tidak seharusnya dicapai dengan mengorbankan prinsip demokrasi berperwakilan. Tanpa perlindungan perlembagaan yang sewajarnya, proses pelantikan berpotensi digunakan untuk mengukuhkan kedudukan parti atau pakatan yang memerintah melalui penambahan ADUN lantikan yang mempunyai hak mengundi, dan bukannya meningkatkan kepelbagaian representasi atau menambah baik kualiti perbahasan legislatif.

IDEAS berpandangan bahawa sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipilih secara demokratik tidak memerlukan pelantikan ADUN yang mempunyai hak mengundi. Walau bagaimanapun, sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan amalan tersebut, beberapa perlindungan institusi perlu diwujudkan bagi memastikan pelantikan tersebut tidak menjejaskan prinsip demokrasi berperwakilan serta akauntabiliti kepada rakyat. Sehubungan itu, IDEAS mengesyorkan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan langkah-langkah berikut:

  1. Mengehadkan peranan ADUN yang dilantik kepada penyertaan dalam perbahasan, penelitian dasar dan menyumbang kepada perbincangan perundangan tanpa hak mengundi;
  2. Menetapkan kriteria pelantikan yang jelas dan berasaskan keperluan representasi. Keutamaan wajar diberikan kepada kumpulan yang masih kurang diwakili dalam DUN, termasuk wanita, Orang Asli, orang kurang upaya (OKU).
  3. Membenarkan pelantikan individu yang mempunyai kepakaran profesional sekiranya pelantikan tersebut dapat menyumbang kepada penelitian dasar dan peningkatan kualiti perbahasan legislatif; dan
  4. Memastikan proses pelantikan dilaksanakan secara telus, berasaskan peraturan yang jelas dengan justifikasi bertulis yang boleh diakses oleh orang awam bagi setiap pelantikan.

Akhirnya, pelantikan ADUN tidak seharusnya menggantikan reformasi demokrasi dan institusi yang kukuh. Sekiranya kerajaan negeri ingin meningkatkan keterangkuman representasi dan kualiti perbahasan perundangan, penyelesaian yang lebih mampan ialah memperkukuh proses pilihan raya itu sendiri. Parti-parti politik perlu menambah baik proses pemilihan calon dan diberi insentif untuk mencalonkan lebih ramai wanita, Orang Asli, orang kurang upaya (OKU) dan komuniti lain yang kurang diwakili sebagai calon pilihan raya. Perwakilan inklusif tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang enteng tetapi termaktub sebagai keutamaan asas dalam strategi pemilihan calon semua parti politik.

— TAMAT —

Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search