Menggapai cahaya, meninggalkan kegelapan

Menggapai cahaya, meninggalkan kegelapan

Ditulis oleh YAM Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Presiden Pengasas, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Sejak penulisan terakhir saya mengenai kesan pilihan raya domestik terhadap landskap antarabangsa, kepentingan pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) di peringkat dunia telah pun mengatasi pilihan raya yang saya sebutkan sebelum ini.

Kemenangan besar Parti Demokrat ke atas Parti Republikan (yang disifatkan oleh Gabenor Florida, Ron DeSantis, sebagai ‘peristiwa yang mengancam kelangsungan hidup’) telah mencetuskan penjualan saham kecerdasan buatan (AI) di Nasdaq, susulan kebimbangan terhadap kemungkinan pengawalseliaan AI yang lebih ketat.

Bagi Nvidia pula, penurunan harga saham susulan berlaku selepas pendedahan mengenai hubungan sulit Ketua Pegawai Eksekutifnya dengan seorang individu yang didakwa sebagai perisik China.

Keputusan pilihan raya tersebut turut memberi kesan terhadap dasar AS berhubung Rusia dan Ukraine serta Iran (khususnya berkaitan Selat Hormuz) dan Israel, sebuah negara yang kini menerima sokongan pada tahap paling rendah dalam kalangan pengundi Amerika.

Presiden Donald Trump telah pun mengisytiharkan bahawa bantuan AS kepada Israel sebanyak AS$4 bilion akan ditamatkan pada tahun ini. Walaupun kenyataan itu kedengaran lebih dramatik daripada keadaan sebenarnya, hakikat bahawa perkara tersebut perlu ditekankan kepada pengundi Amerika membawa makna yang besar.

Beberapa orang calon Demokrat berjaya memenangi kerusi di kawasan yang tidak memilih calon Demokrat selama berdekad-dekad. Di Mississippi, Scott Colom menjadi senator Demokrat pertama dari negeri itu sejak tahun 1982, serta senator berkulit hitam pertama sejak tahun 1875.

Sementara itu, di Michigan, Abdulrahman Mohamad El-Sayed, bekas ahli epidemiologi dan ahli akademik, menjadi individu Muslim pertama yang dipilih ke Senat AS, sekali gus melengkapi fenomena populariti Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani.

Sorotan kempen El-Sayed kerap muncul dalam suapan media sosial saya, khususnya jawapan balasnya terhadap seorang individu Islamofobia yang memintanya supaya ‘menyatakan penolakan terhadap Ikhwanul Muslimin’, serta mesej kempen berkesan yang disampaikan datuk dan nenek tirinya yang beragama Kristian.

Kemenangannya mencetuskan keterujaan dalam kalangan pemerhati Muslim di seluruh dunia, ironinya termasuk di negara-negara majoriti Muslim yang langsung tidak memberikan hak kepada rakyatnya untuk mengundi pemimpin mereka.

Malaysia secara konsisten berada dalam kelompok negara paling demokratik dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Jawatan datuk bandar dan senator turut wujud di negara kita, namun datuk bandar sentiasa dilantik, manakala senator pula sama ada dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atau dipilih secara tidak langsung oleh Dewan Undangan Negeri. Kedua-dua jawatan ini juga mempunyai kuasa yang jauh lebih terhad berbanding rakan sejawat mereka di Amerika Syarikat.

Namun, sekiranya Mamdani atau El-Sayed dicalonkan dalam mana-mana pilihan raya di Malaysia, hampir mustahil untuk meletakkan pendirian dasar mereka dalam mana-mana parti politik kerana landskap politik kedua-dua negara begitu berbeza.

Oleh itu, meskipun kita lazimnya teruja apabila melihat seseorang yang ‘seperti kita’ mencapai kejayaan di negara yang jauh, keadaan ini turut memperlihatkan perbezaan yang ketara antara landskap politik kita.

Sungguhpun begitu, kita juga mempunyai tradisi perpaduan tersendiri yang tulen dan amat kita hargai.

Di Sutra House, sebuah lokasi yang begitu indah, saya baru-baru ini berpeluang menonton Genggaman, sebuah persembahan tari yang mengagumkan, menampilkan gabungan penari daripada Sutra Foundation, DiDance dan Dua Space Dance Theatre.

Persembahan itu berlangsung selepas saya menikmati sebuah pameran seni yang cukup menggembirakan, dengan setiap karya menampilkan kucing. Sejak itu, saya asyik teringat akan metafora yang dipaparkan melalui persembahan tersebut: bagaimana rakyat Malaysia mampu menggabungkan keunikan tradisi masing-masing di atas satu pentas, lalu bergerak bersama-sama dengan penuh tujuan dan keindahan.

Di Pusat Jagaan Autisme IDEAS di Port Dickson, jerebu telah reda hasil perubahan arah angin yang kebetulan berlaku. Sekumpulan kanak-kanak daripada pelbagai kaum yang begitu bersemangat telah bersedia untuk mempelajari tradisi Deepavali. Saya sendiri tidak pernah menyedari bahawa terdapat begitu banyak kandungan animasi dalam bahasa Melayu yang menerangkan kisah Dewi Lakshmi dan Dewa Ganesha!

Ketika menghasilkan kolam, kanak-kanak lelaki Melayu dan Cina yang berpakaian kurta memberi laluan kepada pasangan adik-beradik perempuan kembar berbangsa India untuk menaburkan manik-manik berwarna-warni pada corak geometri melengkung sebelum mereka turut melakukan perkara sama.

Namun, apabila tiba masanya untuk membuat kaara sippi (atau kuih siput), semua kanak-kanak segera menyertai aktiviti itu dengan penuh keterujaan. Kanak-kanak dalam spektrum autisme ini mampu menghargai tradisi budaya rakan sekelas mereka dengan cara yang gagal dilakukan oleh ramai orang dewasa berjawatan tinggi di Malaysia.

Dari negeri yang mempunyai peratusan penduduk berketurunan India paling tinggi, saya terbang pula ke negeri yang mempunyai antara peratusan terendah iaitu dari Negeri Sembilan dengan kira-kira 15 peratus kepada Sabah dengan sekitar 0.5 peratus. Kota Kinabalu masih dihiasi dengan diya, toran dan kolam. Ketika berada di Rumah Sri Gaya, saya bertanya kepada tuan rumah tentang jumlah rakyat Sabah yang menyambut Deepavali.

Beliau menjawab bahawa jumlahnya hanya mencecah beberapa ribu orang. Jawapan itu mengingatkan saya bahawa kepelbagaian etnik di setiap negeri pada hari ini berbeza-beza, hasil warisan sejarah migrasi, geografi dan dasar penjajahan yang berlainan.

Namun begitu, acara Ketua Menteri yang seterusnya adalah khusus untuk meraikan perayaan tersebut, membuktikan bahawa semangat meraikan seluruh lapisan masyarakat Malaysia masih subur di Borneo.

“Bayangkan, jika ahli politik di Semenanjung menunjukkan minat yang sama terhadap kepelbagaian kumpulan etnik di Sabah,” keluh seorang rakan saya kemudiannya.

“Kamu sering mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak ialah cerminan Malaysia yang ‘sebenar’, tetapi kamu juga perlu berusaha untuk memahaminya.”

Saya tidak mempunyai sebarang hujah untuk menyangkal kata-katanya dan saya sendiri tidak mungkin dapat mengungkapkannya dengan lebih baik.

This article was featured in the Sinar Harian, 14 November 2026

The views expressed in this article are solely those of the authors and do not necessarily represent the views or positions of IDEAS Malaysia. All opinions are the author’s own

Share this post

Related Post

Search