Politik kebencian ancam demonstrasi dunia

Politik kebencian ancam demonstrasi dunia

Ditulis oleh YAM Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Presiden Pengasas, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Apabila landskap geopolitik dunia semakin memberikan kesan besar terhadap peperangan, keamanan, perdagangan dan perjanjian serta pakatan alam sekitar mengakibatkan norma budaya, kepentingan pilihan raya di seluruh dunia turut meningkat.

Ketika menetap di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS) sepanjang awal tahun 2000-an, saya menyaksikan bagaimana demokrasi matang turut terdedah kepada golongan provokator yang menghasut dan memecahbelahkan masyarakat berasaskan kaum, agama dan budaya.

Makna ‘kiri’ dan ‘kanan’ turut berubah dengan penambahan awalan seperti ‘ekstrem’ dan ‘radikal’ yang digunakan dalam usaha memburukkan pihak lawan dengan melabel mereka sebagai komunis atau fasis. Amat mengecewakan apabila pilihan raya seolah-olah menjadi medan menentukan pihak lebih berkesan menyebarkan kebencian dan bukannya pihak lebih baik dalam melaksanakan tadbir urus baik serta menyampaikan perkhidmatan awam.

Sebaliknya, ianya amat memberangsangkan apabila melihat keputusan pilihan raya menunjukkan masyarakat masih mengambil berat tadbir urus baik dan penyampaian perkhidmatan awam dan pada akhirnya masih melihat kemajuan umat manusia sebagai satu usaha bersama, bukannya sesuatu hanya diperuntukkan untuk kelompok mereka sendiri.

Namun, penilaian sedemikian sememangnya tidak dapat lari daripada kecenderungan peribadi serta keperluan membezakan antara perkara benar dengan maklumat palsu dibantu kecerdasan buatan (AI) dan dibiayai secara berniat jahat. Kita juga memerlukan kesedaran kendiri yang tinggi untuk mengingati bahawa kita perlu mengambil kira ruang gema terbentuk di sekeliling kita. Bagaimanapun, penting untuk kita meletakkan keputusan pilihan raya dalam konteks perkembangan trend dunia. Keputusan tersebut akan memberikan kesan kepada kita.

Di Amerika Selatan, pilihan raya presiden kini dikaitkan dengan ‘Doktrin Donroe’ yang menjangkakan kerajaan negara lain menyelaraskan pendirian mereka dengan keutamaan ekonomi dan politik AS. Sekatan dan pengaruh perdagangan boleh digunakan untuk mencapai matlamat ini.

Dalam kes Venezuela pula, pasukan operasi khas dihantar untuk menangkap Presiden Nicolas Maduro. Sejak Delcy Rodríguez mengambil alih jawatan presiden sementara, ‘perjanjian minyak terbesar dalam sejarah dunia’ memberikan entiti AS akses kepada rizab minyak amat besar.

Brazil sepatutnya menyertai senarai negara dipimpin pemimpin mesra AS selepas keputusan pusingan pertama pilihan raya presidennya menunjukkan Flávio Bolsonaro mendahului. Namun, dalam perubahan keputusan yang belum pernah berlaku sebelum ini, Presiden Lula berusia 81 tahun memenangi pilihan raya dengan 51.8 peratus undi.

Presiden Lula digemari ramai di Malaysia kerana gayanya yang mesra ketika melawat Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN. Namun, kemenangannya turut membawa implikasi geopolitik apabila China menarik nafas lega kerana rakan dagang terbesarnya di Amerika Latin tidak akan mengubah haluan secara drastik.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pengundi Eropah memberikan gambaran bercampur-campur kepada dunia. Golongan autoritarian populis kadangkala memperoleh kejayaan, khususnya apabila isu imigresen dan pelarian dikaitkan dengan tanggapan tamadun Eropah sedang kehilangan identitinya.

Sudah tentu, perbezaan setempat tetap penting. Budaya, warisan politik, sistem pilihan raya dan kualiti calon individu menjadikan usaha untuk membuat kesimpulan umum pengundi di sesebuah negara Eropah berdasarkan pengalaman negara Eropah yang lain sesuatu yang sukar.

Namun begitu, perkembangan minggu ini di Serbia amat signifikan apabila gabungan antirasuah tanpa kepimpinan tunggal, Student List menewaskan parti Presiden Vucic berhaluan kanan populis dengan majoriti selesa. Sepanjang bulan ini juga, protes mahasiswa termasuk generasi Z merebak ke seluruh Eropah dengan isu kekurangan pembiayaan pendidikan dan kos perumahan menjadi tumpuan.

Rakaman video menunjukkan kemusnahan bangunan bersejarah dan kegiatan penjarahan kedai mungkin kelihatan membingungkan. Namun, protes tersebut sememangnya memaksa kerajaan mengambil tuntutan mereka dengan serius.

Protes mahasiswa turut menjadi duri dalam daging bagi kerajaan India tahun ini. Cockroach Janta Party yang namanya menerima pakai penghinaan oleh Ketua Hakim Negara dan melakukan parodi terhadap nama parti pemerintah, Bharatiya Janata Party telah mengetuai protes di seluruh negara berhubung ketidakteraturan dalam peperiksaan kemasukan ke institusi perubatan.

Protes tersebut membawa kepada peletakan jawatan Menteri Pendidikan. Manifesto mereka turut merangkumi menangani isu tatakelakuan Parlimen, penafian hak mengundi, perwakilan politik wanita dan pemusatan media.

Sesungguhnya, usaha menggerakkan golongan muda untuk bertindak merupakan sesuatu yang wajar diberikan perhatian oleh kerajaan di seluruh dunia.

Protes mahasiswa pernah menjadi ciri penting politik Malaysia sepanjang dekad 1960-an dan 1970-an dan sekali lagi ketika gerakan Reformasi. Namun, sejak itu, perundangan telah secara berkesan membendung aktivisme secara meluas. Mahasiswa yang saya temui di universiti awam kelihatan berpuas hati dengan keseimbangan antara tuntutan akademik dengan peluang untuk menyuarakan pandangan mereka.

Malangnya, ada kalanya tercetus ketegangan yang tidak perlu. Kritikan terhadap bekas Perdana Menteri dalam dialog mahasiswa sepatutnya tidak menjadi isu kontroversi sama sekali, namun Ummi Umairah Bakhit berdepan dengan buli siber dan gangguan.

Politik Malaysia jauh berbeza daripada keadaan di Amerika Selatan atau Eropah, manakala pilihan raya di Israel pula merupakan satu lagi kes khusus yang sedang berkembang ketika saya menulis rencana ini. Isu yang akan diberikan keutamaan oleh pengundi di Melaka, Sarawak dan akhirnya dalam pilihan raya umum peringkat nasional tentunya berbeza-beza.

Namun, terdapat satu persamaan asas yang membimbangkan, iaitu usaha menyemarakkan kebencian dan perpecahan, bukannya harapan dan perpaduan, demi meraih undi. Dengan bantuan masyarakat sivil dan rakan daripada semua generasi, saya berdoa pemimpin politik kita mampu melangkaui politik kebencian dan perpecahan sedemikian.

This article was featured in the Sinar Harian, 31 October 2026

The views expressed in this article are solely those of the authors and do not necessarily represent the views or positions of IDEAS Malaysia. All opinions are the author’s own

Share this post

Related Post

Search