IDEAS: Malaysia Perlu Perkukuh Laluan Pendidikan untuk Bentuk Tenaga Kerja Pertanian Masa Hadapan

IDEAS: Malaysia Perlu Perkukuh Laluan Pendidikan untuk Bentuk Tenaga Kerja Pertanian Masa Hadapan

Kuala Lumpur, 30 Julai 2026: Institut Demokrasi dan hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) hari ini melancarkan laporan terbaharunya bertajuk Suara Belia, Pilihan Masa Depan: Perbandingan Aspirasi, Persepsi dan Pilihan Kerjaya dalam Sektor Pertanian Merentas Laluan Pendidikan di Malaysia. Laporan yang ditulis oleh Priya Kaur, Prof Dr M. Niaz Asadullah, Dr Stewart Nixon dan Naveen Mahasen ini mendapati bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta pendedahan awal kepada bidang pertanian di sekolah, merupakan pemacu utama minat golongan muda Malaysia terhadap kerjaya dalam sektor pertanian. Pelajar TVET lebih cenderung mempertimbangkan kerjaya dalam bidang pertanian berbanding pelajar bukan TVET, namun mereka tidak lebih cenderung berbanding rakan sebaya bukan TVET untuk menceburi pekerjaan agroteknologi moden. Keadaan ini menunjukkan wujudnya jurang antara aspirasi Malaysia untuk memodenkan sektor pertanian dengan aspirasi tenaga kerja masa hadapannya.

Berdasarkan tinjauan di seluruh negara yang melibatkan 14,305 orang pelajar berusia 15 hingga 16 tahun daripada 88 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Kolej Vokasional (KV), kajian ini meneliti bagaimana laluan pendidikan mempengaruhi persepsi golongan muda terhadap sektor pertanian serta kesediaan mereka untuk membina kerjaya dalam sektor tersebut.

Dapatan kajian ini hadir pada waktu yang penting ketika Malaysia giat melaksanakan agenda transformasi sektor pertanian menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), program Digital AgTech, serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Kesemua inisiatif ini bertujuan untuk membangunkan sektor pertanian yang lebih produktif, inovatif dan berdaya tahan.

Laporan ini mengenal pasti empat dapatan utama:

  • TVET meningkatkan minat terhadap pertanian, tetapi bukan agroteknologi. Pelajar TVET didapati lebih cenderung berbanding pelajar bukan TVET untuk memilih kerjaya dalam sektor pertanian. Namun, mereka tidak menunjukkan kecenderungan yang lebih tinggi untuk menceburi pekerjaan dalam bidang agroteknologi, menunjukkan bahawa TVET masih cenderung mengarahkan pelajar kepada kerjaya pertanian tradisional berbanding kerjaya pertanian berasaskan teknologi.
  • Pendedahan awal memainkan peranan penting. Mempelajari mata pelajaran berkaitan pertanian merupakan antara faktor paling kuat yang mendorong minat terhadap kerjaya dalam sektor pertanian, sama ada dalam kalangan pelajar TVET mahupun bukan TVET. Dapatan ini menekankan kepentingan pendedahan melalui kurikulum dalam membentuk aspirasi kerjaya.
  • Kemahiran, bukan sekadar gaji, mempengaruhi pilihan kerjaya. Gaji yang lebih tinggi merupakan insentif utama untuk memilih kerjaya dalam sektor pertanian, namun pelajar TVET didapati lebih menghargai peluang latihan dan pembangunan kemahiran.
  • Golongan muda melihat peluang di luar pertanian tradisional. Majoriti pelajar, termasuk mereka yang berasal daripada keluarga yang terlibat dalam sektor pertanian, bercita-cita untuk bekerja dalam sektor ekonomi yang berbeza daripada ibu bapa mereka. Dapatan ini menegaskan keperluan untuk menampilkan sektor pertanian sebagai kerjaya moden, inovatif dan menarik kepada generasi baharu.

“Transformasi sektor pertanian Malaysia bukan sahaja bergantung kepada kemajuan teknologi, malah kepada sejauh mana golongan muda melihat pertanian sebagai satu kerjaya yang moden, inovatif dan memberi ganjaran. Memperkukuh laluan pendidikan, memperluas pendedahan kepada industri serta melengkapkan golongan muda dengan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan masa hadapan akan menjadi kunci dalam membina bakat yang diperlukan untuk mentransformasikan sektor pertanian Malaysia,” kata Dr Stewart Nixon, Pengarah Penyelidikan IDEAS dan salah seorang penulis laporan.

Muat turun laporan penuh di laman web IDEAS

— TAMAT —

Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search