IDEAS menggesa pembangkang membentuk kabinet bayangan dan memberikan tumpuan kepada dasar-dasar demi kebaikan Malaysia

IDEAS menggesa pembangkang membentuk kabinet bayangan dan memberikan tumpuan kepada dasar-dasar demi kebaikan Malaysia

Kuala Lumpur, 19 Disember 2020 – Ketidaktentuan politik yang berlangsung selama beberapa bulan telah menyebabkan perpecahan serta ketidakstabilan yang semakin meningkat di pihak kerajaan dan pembangkang. Sesi Belanjawan yang berlangsung baru baru ini telah membuktikan bahawa Perdana Menteri hanya mempunyai majoriti sebanyak 3 orang Ahli Parlimen, menunjukkan sebuah kerajaan yang rapuh dan terdedah kepada pembelotan. Sementara itu, kegagalan pihak pembangkang untuk bersatu dan usaha berterusan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendapatkan jumlah  yang diperlukan untuk merebut jawatan Perdana Menteri telah meninggalkan ruang yang kecil untuk mereka mencadangkan pembaharuan yang tulen. Agar pihak pembangkang dapat berfungsi dengan berkesan, IDEAS menggesa mereka untuk mengalihkan tumpuan kepada penyelesaian berpandukan dasar terhadap pelbagai masalah yang dihadapi Malaysia serta membentuk kabinet bayangan yang berfungsi.

Dalam kabinet bayangan ini, perlu ada sekurang-kurangnya seorang Ahli Parlimen pembangkang membayangi setiap kementerian dan cadangan-cadangan balas yang konkrit harus dibangunkan, sebagai contoh, satu Belanjawan Bayangan. Tambahan pula, pembangkang perlu sentiasa membangunkan idea-idea dasar untuk menangani pengangguran, menghidupkan semula ekonomi, meningkatkan tadbir urus baik dan pengawalan COVID-19. “Tahun ini merupakan kali pertama dalam beberapa tahun belakangan ini PH sebagai Pembangkang tidak membentangkan satu Belanjawan Bayangan. Hanya apabila Pembangkang mencadangkan idea-idea dasar yang konkrit yang akan meningkatkan kesejahteraan rakyat baru mereka akan memenangi kembali kepercayaan masyarakat awam. Walaupun perbezaan merupakan satu ciri demokrasi pelbagai parti, hanya dengan perbezaan yang produktif, berpandukan dasar dan memberikan penyelesaian kepada rakyat, kredibiliti pihak Pembangkang akan terbukti. Pihak Pembangkang sendiri merupakan satu institusi yang memberikan semak dan imbang kepada keputusan-keputusan pihak kerajaan, dan amat penting pada ketika ini untuk mereka memainkan peranan tersebut”, ulas Aira Azhari, Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus.

Dalam jangka masa panjang, majoriti tipis yang dimiliki kerajaan perlu diuji menerusi pilihan raya umum. Ketika kes COVID-19 berterusan meningkat, tumpuan juga perlu diberikan kepada cara pilihan raya dapat dijalankan dengan selamat dan mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai (SOP). “Kemungkinan pilihan raya akan dijalankan merupakan satu isyarat jelas kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta semua pemegang taruh untuk bersedia melakukan pengundian ketika wabak, sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara demokrasi yang lain. Majoriti tipis pihak kerajaan hanya akan memanjangkan ketidakstabilan yang kita sedang hadapi, justeru mandat perlu dipulangkan kepada rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan mereka yang seterusnya”, kata Aira mengakhiri ulasannya.

— END —

For media enquiries, email aira@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search