Kuala Lumpur, 3 April 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengambil maklum komitmen berterusan kerajaan terhadap reformasi institusi di bawah Kerangka Akauntabiliti MADANI Fasa II, yang meliputi tempoh dari Mei hingga Ogos 2026.
IDEAS menyambut baik inisiatif yang diumumkan, termasuk cadangan Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia, perundangan Kebebasan Maklumat, pindaan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia serta penambahbaikan perlindungan pemberi maklumat. Hal ini merupakan langkah penting dan perlu ke arah memperkukuh kebertanggungjawaban, ketelusan dan kedaulatan undang-undang.
Namun, usaha ini secara asasnya menjadi lemah dengan ketiadaan berterusan reformasi pendanaan politik. Pendanaan politik bukanlah isu sampingan. Ia adalah teras kepada integriti tadbir urus demokrasi. Tanpa peraturan jelas yang mengawal sumbangan politik, perbelanjaan kempen dan pendedahan, reformasi institusi berisiko digugat oleh ketidakjelasan berterusan dalam cara kuasa politik didanai dan dilaksanakan.
Walaupun terdapat komitmen awam yang berulang oleh kerajaan, reformasi pendanaan politik masih tidak dimasukkan dalam fasa semasa kerangka tersebut. Masih belum ada garis masa perundangan yang jelas, draf rang undang-undang, mahupun petunjuk tentang bila ia akan dibentangkan. Corak komitmen tanpa pelaksanaan ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap pergerakan dan kedalaman agenda reformasi kerajaan.
“Fasa II mencerminkan pergerakan dalam reformasi institusi yang telah lama tertangguh, khususnya berkaitan kebertanggungjawaban dan kedaulatan undang-undang. Namun, pengabaian yang ketara terhadap Rang Undang-Undang Pendanaan Politik tidak boleh pandang enteng. Walaupun kerangka ini menyediakan garis masa sehingga Ogos 2026, dengan empat bulan lagi berbaki untuk tahun ini, apakah jaminan yang kita ada bahawa rang undang-undang ini akan dibentangkan pada ketika itu?” soal Aira Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
“IDEAS telah secara konsisten terlibat dalam sesi libat urus, perbincangan dasar dan usaha advokasi berkaitan reformasi pendanaan politik, serta telah menerima pelbagai jaminan lisan mengenai pengenalannya. Kami juga telah menyertai kajian persepsi awam mengenai Pendanaan Politik di Malaysia yang diterajui oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan dibiayai oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), yang menghasilkan gesaan awam agar rang undang-undang tersebut dibentangkan. Kami bimbang terdapat jurang antara komitmen yang dinyatakan dan pelaksanaan dasar yang sebenar,” tambah Aira.
Tidak kurang penting juga ialah keperluan untuk meningkatkan penyertaan awam dalam proses reformasi. Walaupun terdapat usaha untuk melibatkan pihak berkepentingan dalam beberapa langkah yang dicadangkan, persoalan masih timbul sama ada penglibatan ini cukup meluas, terangkum dan berterusan. Memandangkan kesannya yang besar terhadap hak dan tadbir urus, adalah penting agar proses perundingan awam, termasuk terhadap draf perundangan, dilaksanakan secara bermakna dan membolehkan input substantif daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Reformasi institusi tidak boleh dilakukan secara terpilih. Kerangka kebertanggungjawaban yang berwibawa memerlukan keazaman politik untuk melaksanakan reformasi walaupun berdepan cabaran. Reformasi pendanaan politik merupakan tonggak asas kepada kerangka tersebut. Tanpanya, usaha reformasi yang lebih luas oleh kerajaan berisiko kehilangan kewibawaan dan impak.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Global order stands on the brink