Kuala Lumpur, 14 November 2025: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) hari ini melancarkan laporan terbaharunya bertajuk Laporan Integrasi ASEAN 2025: Cabaran dan Peluang Perdagangan PMKS ASEAN — Pandangan daripada Industri Makanan dan Minuman di bawah Inisiatif Kemakmuran ASEAN (ASEAN Prosperity Initiative, API). Laporan ini membina daripada laporan tahun lalu yang mula meneliti cabaran kawal selia bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di ASEAN, dengan fokus kali ini diberikan kepada sektor makanan dan minuman (F&B) untuk menilai bagaimana halangan kawal selia dan prosedur mempengaruhi penyertaan PMKS dalam perdagangan serantau.
Sektor F&B merupakan penyumbang besar kepada keluaran industri dan pekerjaan ASEAN, namun hanya 23.1 peratus daripada perdagangan sektor ini berlaku dalam rantau ASEAN walaupun kedudukan geografinya berdekatan. Laporan ini mendapati bahawa peraturan yang kompleks dan tidak seragam, daripada pelabelan pemakanan kepada pensijilan halal dan ujian produk, sering menimbulkan keperluan yang terpecah-pecah dan bertindih. Piawaian ini penting untuk melindungi kesihatan awam dan keselamatan pengguna, namun kerumitannya serta pelaksanaan yang tidak sekata telah meningkatkan kos dan memperlahankan proses kelulusan. Bagi PMKS yang beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil, halangan ini menyukarkan mereka untuk berniaga merentasi sempadan, menyebabkan ramai yang memilih untuk menumpukan kepada pasaran tempatan atau berniaga melalui saluran tidak formal.
“Perdagangan dalam ASEAN masih lebih banyak dibentuk oleh kawal selia yang berpecah-pecah berbanding penyelarasan,” kata Sharmila Suntherasegarun, Penolong Pengurus Penyelidikan di IDEAS dan penulis utama laporan tersebut. “Pengawalseliaan makanan penting untuk kualiti dan keselamatan pengguna, namun kekurangan keseragaman dan koordinasi antara negara telah menjadi penghalang kepada PMKS. Apabila setiap negara menggunakan peraturan pelabelan, ujian dan pensijilan yang berbeza, perniagaan kecil terpaksa menanggung kos yang meningkat dan kelewatan yang panjang hanya untuk menembusi pasaran negara jiran. Peraturan yang lebih pintar dan sejajar, disokong oleh sistem digital, amat penting bagi membantu PMKS berniaga merentasi sempadan dengan keyakinan dan keadilan.”
Berdasarkan libat urus industri di Malaysia dan Thailand, laporan ini menekankan tiga tindakan utama yang perlu diambil:
- Menyelaraskan pelabelan pemakanan dan memperkukuh panduan serantau mengenai sistem maklumat makanan. Panduan ASEAN yang baharu merupakan langkah positif, namun keseragaman di antara negara anggota ASEAN masih terhad.
- Memperluas pemudahan perdagangan digital dan kebolehkesanan dengan memperluas sistem pensijilan keselamatan makanan digital melalui Tetingkap Tunggal ASEAN (ASEAN Single Window, ASW) serta meningkatkan saling kebolehoperasian dengan sistem rakan kongsi global. Hal ini perlu dilengkapkan dengan pelabelan digital/QR dan ciri kebolehkesanan yang lebih maju untuk memudahkan pengesanan produk merentasi sempadan, mengurangkan pertindihan dan membendung perdagangan haram.
- Memperkukuh kesalinghubungan logistik dan koordinasi sempadan bagi menangani jurang dalam kapasiti rantaian sejuk, keperluan saiz penghantaran dan ambang pengecualian (de minimis), serta prosedur pelepasan yang tidak menentu.
“Integrasi bukan sekadar tentang meningkatkan jumlah perdagangan,” kata Dr Stewart Nixon, Timbalan Pengarah Penyelidikan di IDEAS. “Ia juga mengenai keterangkuman, memastikan perniagaan kecil, termasuk perniagaan yang diketuai wanita, mampu bersaing dan berkembang dalam ekonomi ASEAN yang sedang berubah. Ketika perdagangan dunia berdepan ketidaktentuan akibat perubahan rantaian bekalan dan peningkatan kos pematuhan, ASEAN harus memberi keutamaan kepada peraturan yang lebih jelas, pelaksanaan yang lebih lancar dan kesalinghubungan digital yang lebih kukuh. Langkah ini akan menjadikan perdagangan lebih terjangka, adil dan mudah diakses.”
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Will KL have an elected mayor?