Kuala Lumpur, 8 September 2026: Konvensyen Pendanaan Politik 2026, yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dengan sokongan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menandakan kesinambungan kerjasama dalam menggerakkan reformasi pendanaan politik.
Sesi libat urus yang dijalankan oleh BHEUU dan kajian persepsi oleh UIAM menunjukkan terdapat desakan daripada pakar, organisasi masyarakat sivil (CSO) dan orang awam agar undang-undang pendanaan politik digubal sebelum PRU16.
IDEAS, sebagai Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik dan penggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik yang dikemukakan oleh KRPPM ini, mengakui bahawa terdapat persetujuan yang meluas mengenai elemen utama yang diperlukan bagi perundangan pendanaan politik yang kukuh, sebagaimana yang dizahirkan dalam RUU tersebut dan dapatan kedua-dua laporan. Elemen ini termasuk satu senarai jelas penderma yang dilarang, had sumbangan dengan had maksimum atau ambang yang ditetapkan, pelaporan yang menyeluruh, penubuhan sebuah badan pemantauan bebas, serta pendedahan maklumat pembiayaan politik kepada umum secara mandatori.
Walau bagaimanapun, masih terdapat perbezaan pandangan mengenai pendekatan terbaik bagi pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang yang dicadangkan. Secara khususnya, sama ada pembiayaan awam perlu diberikan kepada parti politik serta mengenai pelantikan, kebebasan dan mandat badan kawal selia dan pemantauan.
Pembiayaan Awam
Persepsi awam terhadap pembiayaan awam untuk parti politik adalah bercampur. Kira-kira separuh daripada responden masih ragu-ragu terhadap penggunaan dana kerajaan untuk membiayai parti politik.
Namun, pembiayaan awam lebih wajar berbanding amalan pencarian rente pihak swasta sebagai satu cara untuk menyokong integriti demokrasi. Ia dapat mengurangkan kebergantungan parti politik terhadap penderma swasta, di samping menyediakan asas untuk memperkukuh kerangka ketelusan dan kebertanggungjawaban yang lebih luas di bawah Akta Pendanaan Politik. Dengan lebih dua pertiga negara di seluruh dunia melaksanakan sekurang-kurangnya satu bentuk peruntukan pembiayaan awam kepada parti politik, Malaysia tidak kekurangan pengalaman antarabangsa yang boleh dijadikan rujukan dalam merangka model yang bersesuaian.
Badan Kawal Selia dan Pemantauan
Terdapat persetujuan mengenai keperluan untuk mewujudkan sebuah badan pemantauan yang bebas bagi mengawal selia pendanaan politik demi kepentingan awam. Namun, perincian berkaitan komposisi serta tadbir urus proses pelantikannya masih lagi dibincangkan.
Mana-mana badan kawal selia atau pemantauan mestilah benar-benar bebas dan diberikan kuasa serta fungsi yang bersesuaian bagi memastikan penguatkuasaan yang berkesan, khususnya dalam mengawal selia bidang yang sensitif seperti pendanaan politik. Institusi yang terdedah kepada tekanan politik, khususnya apabila pelantikan dilakukan oleh badan Eksekutif semata-mata dengan pemantauan yang terhad daripada badan Legislatif, berisiko menjejaskan keyakinan awam, seperti yang dapat dilihat dalam beberapa kes berprofil tinggi pada masa ini.
Cadangan daripada RUU Pendanaan Politik oleh KRPPM mengenai Pendanaan Politik
RUU ini mengemukakan cadangan konkrit ketika reformasi pendanaan politik memasuki fasa seterusnya:
- Peruntukan pembiayaan awam kepada parti politik berdasarkan jumlah undi yang diperoleh oleh parti politik yang layak dalam pilihan raya mencadangkan agar RM120 juta pembiayaan awam diagihkan kepada parti politik berdasarkan peratusan undi diperoleh dalam pilihan raya. Selain itu, RM10 juta akan diagihkan secara berkadar berdasarkan bilangan wakil rakyat wanita daripada parti politik yang layak.
- Penubuhan Suruhanjaya Pendanaan Politik dan Jawatankuasa Parlimen mengenai Pendanaan Politik. Suruhanjaya ini akan memainkan peranan pengawalseliaan, manakala Jawatankuasa Parlimen akan mempunyai kuasa pemantauan terhadap Suruhanjaya. Pelantikan anggota Suruhanjaya akan dibuat melalui proses pencalonan oleh Jawatankuasa Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong. Memandangkan Jawatankuasa Parlimen ini akan terdiri daripada Ahli Parlimen daripada pelbagai parti yang berbeza dan mencerminkan komposisi Dewan Rakyat, ia akan menyediakan mekanisme semak dan imbang yang kukuh terhadap Suruhanjaya.
“Pada akhirnya, dapatan laporan yang disebutkan dan perbincangan di konvensyen ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menyedari keperluan mendesak untuk mengawal selia pendanaan politik. Reformasi pendanaan politik telah dibincangkan secara meluas, namun ia masih belum diterjemahkan kepada perundangan. Kami menggesa kerajaan supaya bergerak melangkaui perbincangan dan segera menggubal Akta Pendanaan Politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-16,” kata Aira Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
Layari laman web IDEAS untuk memuat turun dokumen lengkap RUU Pendanaan Politik.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Wadah kebersamaan