Kuala Lumpur, 5 Mac 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah menerbitkan satu laporan yang menggariskan kelemahan struktur berterusan dalam kerangka pelantikan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) Malaysia.
Bertajuk Siapakah Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Persekutuan Malaysia? Reformasi Lantikan Politik kepada Lantikan Awam, kajian ini mendapati bahawa pelantikan politik terus mendominasi Lembaga Pengarah dalam kalangan BBP. Laporan ini menekankan bahawa sistem pelantikan sedia ada masih memberikan kuasa budi bicara yang luas kepada ahli politik kanan serta mengutamakan hubungan berbanding kebolehcekapan, sekaligus melemahkan prestasi dan kebertanggungjawaban BBP serta menghakis kepercayaan awam.
BBP ialah agensi kerajaan yang mengurus fungsi awam khusus, daripada pengurusan wang pencen sehingga pengawalseliaan industri yang memberi kesan kepada jutaan rakyat Malaysia. Badan-badan ini sepatutnya beroperasi secara bebas dan kekal bertanggungjawab demi kepentingan awam. Namun, IDEAS mendapati bahawa peraturan pelantikan Lembaga Pengarah dibuat adalah tidak jelas dan tidak konsisten, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai ketelusan dan merit.
Antara dapatan utama laporan ialah:
- Daripada 135 BBP yang diteliti di bawah inisiatif Pantau Kuasa oleh IDEAS, 78% jawatan pengerusi tidak mempunyai kriteria kelayakan yang ditetapkan secara jelas, manakala peruntukan tadbir urus pelantikan adalah tidak seragam dan berpecah-pecah. Malaysia ketika ini tidak mempunyai satu undang-undang menyeluruh yang menyeragamkan prosedur pelantikan, perlindungan kebebasan institusi atau syarat kelayakan yang jelas bagi pengarah, dan hanya sedikit jawatan yang mensyaratkan pengetahuan khusus serta relevan.
- Di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim, walaupun terdapat harapan akan perubahan, sehingga Oktober 2025, sebanyak 238 pelantikan politik telah dibuat ke dalam lembaga pengarah BBP dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Langkah pentadbiran terkini (termasuk Pekeliling 5/2024, Seksyen 3.3.3) masih belum menangani kelemahan tadbir urus secara sistemik. Langkah-langkah ini lebih memformalkan kuasa budi bicara berbanding mengehadkannya. Pelantikan jawatan pengerusi, yang mempunyai pengaruh besar dalam lembaga pengarah, masih tertakluk kepada kelulusan menteri.
- Pengaruh politik dalam lembaga pengarah menjejaskan kebebasan, melemahkan kebertanggungjawaban serta meningkatkan risiko konflik kepentingan, rasuah dan campur tangan politik. Kawalan menteri terhadap pelantikan membuka ruang kepada pelantikan individu yang cenderung mematuhi arahan langsung berbanding memenuhi tanggungjawab mereka terhadap BBP dan rakyat yang diwakili. Ketiadaan mekanisme saringan bebas atau piawaian merit yang seragam turut menghakis keupayaan dan integriti lembaga pengarah.
“IDEAS terus memperjuangkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan meritokrasi yang lebih baik dalam pelantikan awam. Laporan ini mengukuhkan pendirian tersebut dengan mengetengahkan peluang untuk Malaysia mengadaptasi amalan terbaik daripada demokrasi setara,” kata Priya Kaur Sachdev, Eksekutif Penyelidik IDEAS dan penulis utama laporan.
Bagi memperkukuh integriti institusi, laporan ini mencadangkan:
- Menetapkan kriteria kelayakan yang jelas dan berasaskan merit serta piawaian komposisi lembaga yang seimbang bagi semua BBP.
- Mewujudkan jawatankuasa saringan awal yang bebas untuk menilai kelayakan dan mengurus konflik kepentingan.
- Menggabungkan panel penasihat dan pemantauan Parlimen dalam proses pelantikan, termasuk tempoh bertenang yang bersesuaian bagi individu yang mempunyai pengaruh politik.
- Mengkanunkan prosedur pelantikan yang telus ke dalam undang-undang bagi memastikan keseragaman, kebolehkuatkuasaan dan pendedahan awam.
Seiring dengan penerbitan laporan ini, IDEAS turut melancarkan sebuah dokumentari pendek bertajuk Who’s Who & So and So, yang meneroka hubungan antara kuasa dan pelantikan politik dalam institusi awam Malaysia. Dokumentari tersebut menampilkan wawancara bersama pakar tadbir urus dan wakil masyarakat sivil yang berkongsi pandangan tentang bagaimana amalan pelantikan mempengaruhi kebebasan institusi, kebertanggungjawaban dan kepercayaan awam.
“Reformasi pentadbiran secara berperingkat tidak mencukupi sekiranya kuasa budi bicara berstruktur masih kekal. Untuk memulihkan kepercayaan awam, kita perlu beralih daripada pelantikan politik kepada pelantikan awam yang berteraskan peraturan jelas, semak dan imbang institusi serta kebertanggungjawaban Parlimen,” kata Aira Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
— TAMAT —
Kertas laporan lengkap boleh dimuat turun di laman web IDEAS
- Layari pantaukuasa.com untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelantikan politik di Malaysia
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my
