Kuala Lumpur, 27 Ogos 2025: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menzahirkan kerisauan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang dicadangkan baru-baru ini atas sebab pendekatan yang kurang lengkap bagi membolehkan peruntukan awam digunakan secara adil, telus dan bertanggungjawab.
Walaupun kami mengalu-alukan tindakan untuk menggubal proses perolehan susulan kerbergantungan terhadap surat pekeliling pentadbiran pada tahun-tahun sebelumnya, perundangan ini masih terdapat jurang yang serius. Ia tidak memenuhi piawaian ketelusan dan pemantauan seperti yang digariskan di dalam United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).
Salah satu kebimbangan utama adalah kuasa budi bicara yang diberikan kepada menteri. Seksyen 2 (2) memberikan pengecualian sepenuhnya kepada menteri kewangan dalam perihal “peruntukan one-off” kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun. “Memandangkan projek infrastruktur utama sering menggunakan Syarikat Berkaitan Kerajaan, terutamanya di peringkat negeri, ini merupakan satu kelompongan yang serius,” kata Alissa Rode, pengurus kanan penyelidikan di IDEAS.
Menteri Kewangan juga dibenarkan untuk menentukan kaedah perolehan selain daripada perolehan berdaya saing (Seksyen 28 (2)). Seksyen ini tidak berbeza dengan sistem sedia ada yang terbuka kepada pengaruh menteri. Ini juga bermaksud menteri mempunyai kuasa mutlak dalam membuat keputusan jika badan perolehan tidak dapat membuat keputusan sebulat suara (Seksyen 12(8)).
Pihak berkuasa tunggal dalam membuat keputusan perolehan berjumlah RM50 juta dan selanjutnya adalah Menteri Kewangan atau Ketua Menteri untuk peringkat negeri. Walaupun menteri harus mengambil saranan daripada badan perolehan, beliau juga dibenarkan untuk “membuat keputusan yang sesuai berdasarkan budi bicara” (Seksyen 13(3)). “Perundangan ini mempolitikkan proses perolehan dan meningkatkan risiko salahguna kuasa dalam memutuskan sebarang perbelanjaan kritikal, memandangkan RUU ini membenarkan kelemahan yang sedia ada,” menurut Alissa.
Satu lagi jurang kritikal yang terdapat dalam akta ini ialah faktor ketelusan. Terdapat juga faedah-faedah sampingan termasuk membuka prosiding Tribunal Rayuan kepada orang awam untuk melihat proses pengendalian perolehan kerajaan. “Ketiadaan proses ketelusan yang wajib melemahkan asas perancangan RUU ini. Apabila peruntukan awam yang berbilion diatasi sebarang risiko, undang-undang perlu mewajibkan penerbitan semua tender, keputusan penganugerahan serta perubahan kepada kontrak,” menurut Alissa lagi.
IDEAS turut bimbang kerana RUU ini menamakan Kementerian Kewangan sebagai penguatkuasa siasatan untuk memantau perolehan sedangkan ia juga memainkan peranan sebagai ketua pengoperasian dan pengawal selia dasar perolehan secara asasnya. Jika dilihat daripada model negara-negara lain, peranan penyiasatan dan pemerhatian diberikan kepada badan-badan bebas yang tidak mengendalikan proses perolehan itu. Ini sepatutnya menjadi pejabat ombudsman masa depan atau Ketua Audit Negara.
“Malaysia bukan sahaja mesti mengaplikasikan bentuk piawaian perolehan antarabangsa, tetapi juga kandungannya, dengan memastikan kriteria yang tegas berbanding perolehan secara kompetitif serta pengawasan yang bebas. Tanpa pindaan serius terhadap RUU ini, kegagalan yang serupa dalam perolehan akan terus tercetus,” kata Alissa.
“RUU ini berisiko mengekalkan kelemahan yang sama yang menyebabkan skandal seperti Littoral Combat Ship (LCS), Jabatan Air Sabah, Scorpene, dan PKFZ. Malaysia berhak mendapat undang-undang perolehan yang menegakkan tadbir urus bersih, menjamin nilai wang, dan mengukuhkan keyakinan orang awam. Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk merujuk RUU ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Kewangan dan Ekonomi untuk semakan lanjut.
Proses semakan juga harus merangkumi libat urus dengan organisasi masyarakat sivil (CSO) bagi memastikan RUU mencerminkan amalan terbaik dan kepentingan awam. Ini bukan kali pertama RUU berkepentingan awam dibentangkan tanpa masa yang mencukupi untuk input bermakna daripada CSO dan pakar dalam bidang tersebut. Libat urus bersama pemegang taruh mengenai dasar-dasar umum adalah tidak mencukupi. RUU yang telah lengkap didraf memerlukan masa untuk dikaji dan diberikan maklum balas. Selain RUU ini, perlu ada penambahbaikan ketara dalam keseluruhan proses penggubalan undang-undang di Malaysia demi manfaat semua rakyat Malaysia,” kata Aira Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my