Ditulis oleh Aira Azhari, beliau merupakan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)
Tempoh hari, saya berpeluang menghadiri sebuah sesi wacana bersama seorang ahli politik dari salah sebuah parti Islam di Indonesia. Acara tersebut dianjurkan oleh sebuah badan pemikir kerajaan, di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur. Latar kepada wacana tersebut ialah perkembangan terkini politik Islam di Indonesia di bawah pentadbiran Presiden Jokowi. Ketika sesi soal jawab bersama ahli politik tersebut, seorang wanita (yang merupakan ahli salah satu parti politik yang kini sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan) bertanya tentang komitmen Indonesia terhadap meningkatkan penglibatan dan perwakilan wanita dalam politik. Jawapan yang diberi oleh beliau pada saya kurang memuaskan. Ahli politik tersebut memetik nama Sri Mulyani Indrawati (Menteri Kewangan) dan Retno Marsudi (Menteri Luar Negeri) sebagai bukti bahawa Indonesia komited dalam mengarusperdanakan penglibatan wanita dalam politik. Beliau juga menekankan betapa pentingnya peranan kedua-dua wanita tersebut dan bagaimana mereka disegani penjawat awam dan masyarakat secara umumnya.
Mengapa saya kurang berpuas hati dengan jawapan panjang lebar ini? Jangan salah faham. Sudah tentu saya memandang tinggi kepada wanita-wanita hebat di atas. Namun, tidak wajar untuk menggunakan Sri Mulyani dan Retno Marsudi sebagai contoh betapa terbukanya Indonesia kepada kepimipinan wanita. Indonesia mempraktikkan sistem pemilihan langsung Presiden, di mana Presiden, setelah memenangi undi terbanyak, berhak memilih sesiapa sahaja untuk menganggotai Kabinet beliau. Presiden Indonesia tidak terbatas kepada ahli-ahli Dewan Perwakilan Rakyat ketika memilih anggota jemaah menteri beliau, dan ini sedikit sebanyak menjadi sebab mengapa wanita seperti Sri Mulyani (bekas Ketua Pegawai Operasi dan Pengurus Kanan, Bank Dunia) dan Retno Marsudi (bekas Duta Besar Indonesia ke Netherlands, Norway dan Iceland) dapat dilantik sebagai Menteri. Presiden Indonesia boleh memilih calon Menteri daripada kalangan profesional, ahli politik, usahawan, dan juga tentera (Presiden Terpilih, Prabowo, merupakan bekas pegawai tinggi Tentera Nasional Indonesia dan Menteri Pertahanan). Nama-nama seperti Nadiem Makarim (Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi, pengasas Gojek), Erick Thohir (Menteri Badan Usaha Milik Negara dan usahawan terkenal) dan Mahfud MD (bekas Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan dan Ketua Mahkamah Konstitusi) menunjukkan adanya kepelbagaian dalam kabinet Indonesia yang dilihat memberangsangkan.
Di Malaysia pula, sistem demokrasi berparlimen ala Westminster yang kita amalkan bermakna Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, melantik Menteri daripada kalangan ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Maka, jika Menteri tersebut seorang ahli Dewan Rakyat, beliau merupakan Ahli Parlimen yang memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya. Mana-mana individu yang ingin menjadi Menteri di Malaysia mempunyai dua cara untuk mencapai cita-cita tersebut – sama ada memenangi pilihan raya dan menjadi Ahli Dewan Rakyat, atau menjadi Senator Dewan Negara melalui lantikan Yang di-Pertuan Agong. Cara pertama merupakan cara paling lazim untuk seseorang dilantik menjadi Menteri, manakala cara lantikan Senator pula lebih jarang dilakukan. Justeru, persoalan yang wajar untuk dikupas oleh pemerhati politik di Malaysia bukanlah mengapa kita tidak punya menteri wanita yang berkaliber, tetapi adakah wanita berkaliber mahu dan mampu untuk terjun ke dalam dunia politik? Mahukah mereka meninggalkan kerjaya mereka, menjadi ahli parti, diangkat sebagai calon, berkempen, menang pilihan raya kemudian bergelumang dalam proses politik yang rumit untuk dipilih sebagai menteri?
Sebenarnya, sukar. Ruang yang wujud untuk wanita melibatkan diri dalam politik adalah sempit, dan lebih susah untuk wanita mengisi tampuk pimpinan tertinggi parti. Tidak wajar untuk kita mengharap seorang wanita yang telah bekerja keras untuk mendapat pengiktirafan tertinggi dalam kerjayanya, yang tentu sekali dipadankan dengan gaji yang lumayan, untuk mengambil risiko sepak terajang dunia politik. Lihat sahaja betapa sukarnya untuk seorang wanita naik ke puncak tertinggi pimpinan parti (barangkali ada sesetengah parti tidak membenarkan jawatan Presiden dipegang oleh seorang wanita), yang menyukarkan juga wanita diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya. Dalam sistem politik kita, lazimnya individu yang berjawatan dalam parti akan diberi keutamaan untuk menjadi calon. Jika wanita sudah susah mendapat tempat dalam kalangan pimpinan parti, maka tipislah harapan untuk mereka menjadi wakil rakyat.
Tambahan pula, wanita juga terbeban dengan peranan gender yang masih meletakkan tanggungjawab penjagaan anak dan rumahtangga di bahu mereka. Realiti dunia politik yang menuntut ahli politik bekerja tidak tentu masa, bermesyuarat hingga lewat malam dan sentiasa on call menyukarkan lagi penyertaan wanita yang diharap menjadi ibu dan isteri yang sempurna kepada anak-anak dan suami. Dalam sebuah audio siar terkenal baru-baru ini, seorang pemimpin wanita Perikatan Nasional berkongsi bagaimana suami beliau memainkan peranan sebagai “ibu” kepada anak-anak mereka, dan betapa bertuahnya beliau kerana memiliki suami yang sungguh memahami tuntutan kerjanya sebagai seorang wakil rakyat. Beliau mengakui bahawa kerjaya politiknya mampu berkembang subur kerana suaminya tidak berkira dengan hal rumahtangga. Tentu sekali hal ini satu perkembangan yang positif, namun saya tertanya-tanya, bagaimana untuk menormalisasikan perkongsian tanggungjawab menjaga anak dan mengurus rumahtangga supaya ia tidak lagi dilihat sebagai sebuah pencapaian yang harus dibanggakan, tetapi satu yang wajar diharap daripada seorang suami?
Pepatah Inggeris menyebut it takes a village to raise a child. Sama juga dengan pemimpin wanita. Ekosistem yang menyokong serta membolehkan wanita terlibat dalam kehidupan awam harus melangkaui slogan dan janji semata-mata. Tanggungjawab bersama di antara suami dan isteri harus menjadi norma dan bukan sesuatu yang menghairankan. Ibu bapa pula memainkan peranan penting dalam membesarkan anak perempuan mereka dengan keyakinan dah kemandirian yang teguh bahawa wanita boleh meraih kejayaan setinggi mana sekalipun. Sedarlah bahawa pemimpin wanita yang cemerlang bukan muncul secara langit.
This article first appeared on www.bharian.com.my at September 21, 2024.
Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian IDEAS Malaysia.