Kuala Lumpur, 19 Mac 2024: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) sangat bimbang dengan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang akan memberi kesan buruk kepada kanak-kanak tidak bernegara, terutamanya kanak-kanak terdampar. Kami berpendapat bahawa kerajaan sepatutnya memisahkan cadangan pindaan tersebut dan meneruskan dengan dua pindaan yang akan memberi hak sama rata kepada ibu yang berwarganegara Malaysia untuk menurunkan kewarganegaraan secara automatik kepada anak mereka yang lahir di luar negara. Lebih banyak masa juga harus diberi kepada Ahli Parlimen untuk membahas kandungan draf pindaan sebelum pengundian.
Paling membimbangkan adalah justifikasi yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri secara berulang kali bagi pindaan ini, yang termasuk melindungi keselamatan negara dan bahawa kewarganegaraan adalah satu keistimewaan. “Saya ingin menekankan bahawa menggunakan keselamatan negara sebagai justifikasi untuk pindaan regresif ini ibarat menghalakan tumpuan daripada isu sebenar dan merupakan satu usaha yang jelas untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kemudaratan terhadap kanak-kanak tidak bernegara. Berkeras menyatakan bahawa kewarganegaraan adalah satu keistimewaan juga menutup pintu bagi golongan yang sudah rentan dalam masyarakat untuk mencapai hak asasi yang sepatutnya tersedia untuk setiap manusia. Selain itu, Kementerian sehingga kini gagal memberikan sebarang data untuk membuktikan bahawa keadaan semasa kanak-kanak tidak bernegara merupakan ancaman keselamatan negara, walaupun diminta berulang kali oleh organisasi masyarakat sivil (CSO),” kata Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
Penting untuk mengakui bahawa jalan yang jelas untuk mendapat kewarganegaraan bermakna orang tidak bernegara – yang tidak memilih untuk berada dalam keadaan tersebut – berpeluang menikmati masa hadapan di mana mereka mempunyai capaian terhadap pendidikan awam, perbankan, perkhidmatan kesihatan, dan pekerjaan. “Pindaan yang dicadangkan ini akan memburukkan lagi situasi semasa, meningkatkan jumlah kanak-kanak tidak bernegara dan mewujudkan generasi individu tidak bernegara yang tiada capaian terhadap hak asasi, menyekat keupayaan mereka untuk mencari rezeki, dan seterusnya meningkatkan risiko terdedah kepada eksploitasi dan pemerdagangan manusia. Menurut Laporan Pemerdagangan Manusia 2023 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, dasar pendaftaran kelahiran Malaysia telah mengakibatkan lebih daripada kira-kira 500,000 individu – termasuk kanak-kanak – tidak bernegara dan oleh itu tidak dapat mencapai beberapa perkhidmatan kerajaan, termasuk pekerjaan yang sah dan persekolahan awam, dan lebih terdedah kepada risiko pemerdagangan manusia. Jelas, inilah isu yang mengancam keselamatan kita,” ulas Dr Yeoh.
Selain sudut kemanusiaan, adalah penting juga untuk mempertimbangkan kos ekonomi ketiadanegaraan. Dapatan daripada satu kajian yang dijalankan oleh pejabat Ahli Parlimen Subang pada tahun 2019 menunjukkan kerugian tahunan dianggarkan sebanyak RM 6 bilion disebabkan penolakan kewarganegaraan terhadap kira-kira 300,000 individu yang dilahirkan di Malaysia atau dilahirkan oleh ibu bapa warganegara Malaysia. Pengiraan ini berdasarkan anggapan bahawa separuh daripada populasi tidak bernegara berada dalam umur bekerja, menyebabkan 150,000 individu mengalami peluang pekerjaan yang tidak sama rata dan hanya mencapai separuh nilai produktiviti tahunan purata sebanyak RM 81,039. Kerugian ini disebabkan penolakan peluang pekerjaan yang sama rata dan sumbangan produktif kepada ekonomi oleh individu tidak bernegara. Laporan itu juga menekankan keperluan mendesak untuk tindakan tegas ke atas penyelesaian isu kewarganegaraan, menekankan bahawa menyelesaikan kes-kes ini boleh memberikan manfaat ekonomi, sosial, dan kesihatan yang besar tanpa menanggung kos pentadbiran tambahan.
“Pindaan zalim ini adalah serangan langsung terhadap Perlembagaan Persekutuan dan satu penghinaan kepada nilai-nilai asas negara kita. Jika pindaan ini diluluskan, Malaysia akan menjadi satu-satunya negara di dunia dalam tempoh satu dekad yang melucutkan perlindungan dan hak kanak-kanak,” ujar Tunku Zain al-’Abidin ibni Tuanku Muhriz, Presiden Pengasas IDEAS.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my