Kuala Lumpur, 22 Mac 2023: Beberapa pelantikan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) baru-baru ini telah mengundang kritikan pelbagai pihak. Pelantikan yang disifatkan sebagai “lantikan politik” ini, harus diteliti kerana sifatnya yang mudah terdedah kepada dakwaan konflik kepentingan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Walau bagaimanapun, Malaysia tidak mempunyai rangka kerja sewajarnya yang dapat menggambarkan dengan jelas kriteria, parameter dan prosedur yang mesti dipatuhi apabila melantik individu ke jawatan agensi kerajaan dan GLC. Akibatnya, “lantikan politik” menjadi satu frasa yang tidak mempunyai definisi yang jelas dan natijahnya, membuka potensi penyalahgunaan kuasa.
Semasa pentadbiran pertama Pakatan Harapan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Pelantikan Jawatan Utama Perkhidmatan Awam telah ditubuhkan, yang merupakan satu langkah baik untuk memperkenalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban. Walau bagaimanapun, PSC ini tidak digunakan dengan betul, dan lantikan politik yang meragukan kepada GLC tetap diteruskan. “Apa yang Malaysia perlukan ialah garis panduan bersepadu yang menjunjung kepentingan awam dengan memastikan kesaksamaan, kecekapan, kebertanggungjawaban dan kepelbagaian. Garis panduan ini boleh dirangka berdasarkan dua dokumen penting United Kingdom mengenai pelantikan, iaitu Governance Code on Public Appointments dan Code of Conduct for Board Members of Public Bodies,” ulas Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
“Bagi GLC, kita boleh merujuk kepada Buku Hijau mengenai Meningkatkan Keberkesanan Lembaga Pengarah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Putrajaya pada tahun 2006. Sebagai contoh, beberapa kriteria yang lebih ketat ini harus diguna pakai iaitu ahli lembaga pengarah mesti memiliki pengetahuan, kemahiran dan penetapan minda yang betul. Selain itu, kriteria penilaian pengarah individu dan Lembaga Pengarah secara kolektif hendaklah telus, disesuaikan dengan keperluan tertentu syarikat, dan dikaitkan secara jelas dengan akibat bagi kegagalan mencapai prestasi yang ditetapkan,” tambah Dr Yeoh.
Memberi komitmen lisan kepada merit sahaja tidak memadai, kerana perlu ada proses pengambilan dan pelantikan yang sangat telus. Di UK, pertandingan pelantikan awam diiklankan kepada orang ramai dengan kriteria pemilihan serta dengan kuasa budi bicara menteri yang terhad tertakluk kepada nasihat panel bebas. Peranan utama yang penting akan melalui pendengaran awam pra-pelantikan oleh Jawatankuasa Pilihan dan senarai calonnya akan diterbitkan, membolehkan orang ramai terlibat dalam pelantikan peranan yang penting kepada orang ramai. Laporan tahunan mengenai pematuhan kepada kod dan prinsip yang berkaitan, serta kemajuan masa nyata proses pemilihan juga didedahkan kepada orang ramai.
“Perkara paling penting semasa membuat keputusan mengenai pelantikan utama perkhidmatan awam ini adalah konsisten. Garis panduan mesti dipatuhi walaupun parti dalam kerajaan mungkin berubah. Kerajaan harus komited kepada satu set peraturan yang memastikan proses terbuka dan telus dipatuhi sambil mengambil kira budi bicara menteri dan pertimbangan politik lain. Hal ini adalah keseimbangan yang mesti dicapai untuk memastikan aset dan institusi terpenting negara diterajui oleh mereka yang mengutamakan kepentingan orang ramai,” kata Dr Yeoh.
Untuk menjejaki lantikan politik dalam Badan Berkanun Persekutuan (FSB) sepanjang empat pentadbiran terakhir negara, sila layari laman sesawang Pantau Kuasa IDEAS. IDEAS akan meneruskan pemantauan pelantikan jawatan dalam FSB dan GLC terpilih dalam kerajaan semasa dan mempelawa orang ramai untuk melayari laman ini secara kerap (https://www.pantaukuasa.com/).
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Salsabila Abdul Manan, Eksekutif Penyelidikan,
Unit Demokrasi dan Tadbir Urus
T: +603 2070 8881/8882 | E: salsabila@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my