Kuala Lumpur, 24 November 2022: Dengan kebuntuan politik yang berterusan, kebimbangan mengenai pembentangan semula Belanjawan 2023 dengan cepat menjadi tumpuan. Keputusan PRU15 yang tidak muktamad telah melengahkan pembentukan kerajaan persekutuan baharu. Sebaik-baiknya, pembentangan semula, perbahasan dan akhirnya kelulusan Belanjawan 2023 yang ditangguhkan di kedua-dua Dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) hanya boleh dilakukan melalui kerajaan baharu. Kebimbangan semakin memuncak apabila Perdana Menteri Sementara Ismail Sabri mengumumkan bahawa beliau akan memanggil sidang khas Parlimen untuk membentangkan belanjawan gaji penjawat awam sekiranya kerajaan tidak dibentuk menjelang akhir tahun.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengulangi bahawa kerajaan sementara mempunyai kuasa yang terhad. Kerajaan sementara ini perlu menjalankan peranan pentadbiran dan tanggungjawab fungsian. Namun, jika situasi semasa tidak dapat diselesaikan dan wujud keperluan kritikal untuk membentangkan belanjawan gaji penjawat awam, maka satu set syarat yang jelas perlu diwujudkan untuk mengelakkan belanjawan yang dicadangkan mempunyai implikasi kewangan yang boleh mengikat kerajaan baharu. Syarat sedemikian boleh termasuk sebagai contoh, kerajaan sementara tidak boleh mencadangkan kenaikan gaji dan penjawat awam.
Sekiranya Parlimen sebelum ini meluluskan Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada bulan Oktober, kerajaan sementara akan dibenarkan menggunakan kumpulan wang disatukan daripada belanjawan di bawah Perkara 102(a) Perlembagaan Persekutuan. Disebabkan tiada belanjawan rasmi untuk diturunkan, pembubaran awal Parlimen memberikan satu situasi sukar kepada kerajaan sementara yang tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan wang daripada kumpulan wang disatukan.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr Tricia Yeoh berkata, “Hal ini merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh pentadbiran sebelum ini dan kerajaan sementara semasa untuk membubarkan Parlimen secara mengejut tiga hari setelah membentangkan Belanjawan 2023, menimbulkan risiko kepada perbelanjaan fiskal kerajaan pada tahun 2023, terutamanya kebimbangan semasa mengenai gaji penjawat awam.”
Krisis politik serta perlembagaan yang sedang dihadapi oleh Malaysia kini mengingatkan kita kepada situasi Mac 2020 yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua. Belanjawan yang memberi kesan secara langsung kepada rakyat, perlu menjadi keutamaan dan perlu diluluskan sebelum pembubaran Parlimen, demi melindungi rakyat daripada ketidakpastian pilihan raya umum yang diadakan pada hujung tahun.
Satu peruntukan yang jelas mengenai tanggungjawab kerajaan sementara perlu diwujudkan untuk mengelakkan krisis sebegini yang disebabkan oleh kebuntuan politik pasca pilihan raya. Perlu ada prosedur yang jelas untuk pengaktifan Perkara 102(b) yang nampaknya membenarkan ‘vote on credit’ atau “vote on account’ untuk situasi yang mendesak. ‘Vote on credit’ memanjangkan perbekalan untuk tahun tersebut, manakala ‘vote on account’ membenarkan perbelanjaan terhad atau bersyarat untuk beberapa bulan awal tahun tersebut.
Dr Yeoh menambah, “Mengenai subjek tertentu belanjawan, Malaysia boleh merujuk kepada Manual Kabinet UK atau Manual Kabinet New Zealand, di mana peruntukan kerajaan sementara menyediakan panduan mengenai keputusan tentang perbelanjaan. Hal ini boleh mengelakkan kebingungan serupa yang sedang dihadapi oleh kerajaan sementara semasa, iaitu terdapat belanjawan yang tidak diluluskan dan terdapat kekurangan garis panduan khusus kepada kerajaan sementara untuk menggunakan belanjawan dalam parameter pentadbiran mereka.”
IDEAS memberi amaran tegas bahawa kelewatan berterusan dalam pembentukan kerajaan akan hanya memberi kesan negatif bukan sahaja kepada kestabilan politik negara malah seterusnya kepada pemulihan ekonomi juga. Sebuah kerajaan persekutuan baharu yang terdiri daripada Perdana Menteri dan kabinetnya, terutama portfolio Kementerian Kewangan harus mengangkat sumpah untuk memudahkan proses mengadakan sidang Parlimen agar dapat menangani isu gaji penjawat awam sebelum 31 Disember 2022 dan akhirnya memulakan pembentangan semula Belanjawan 2023.
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Halmie Azrie Abdul Halim, Eksekutif, Demokrasi dan Tadbir Urus
T: +603 2070 8881/8882 | E: halmie@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar, IDEAS Malaysia
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my