Kuala Lumpur, 20 Oktober 2022: Susulan pembubaran Parlimen pada minggu lepas oleh Yang di-Pertuan Agong, pentadbiran semasa kini secara rasminya bertindak sebagai kerajaan sementara sehingga satu kerajaan rasmi dibentuk selepas PRU15. Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengingatkan bahawa kerajaan perlu mengetahui kuasa dan tanggungjawab fungsian terhad yang dimiliki pada ketika ini, iaitu ketika keyakinan awam terhadap kesaksamaan kerajaan adalah sangat penting.
Mengulas mengenai kerajaan sementara, Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, berkata, “Panduan yang menggariskan peranan kerajaan sementara di Malaysia adalah tidak jelas. Kita masih tidak mempunyai satu garis panduan berasingan dan bertulis tentang apa yang perlu dipatuhi oleh kerajaan sementara, manakala Australia dan terbaharu Kanada, telah menggariskan tanggungjawab sebuah kerajaan sementara, bertajuk ‘Caretaker Conventions’.”
Konvensyen ini secara umum menggariskan tanggungjawab kerajaan penyandang dalam hal berkaitan tatalaku (1) untuk kerajaan sementara berkenaan dasar, pelantikan, lawatan antarabangsa, tempoh pilihan raya serta kerja pentadbiran, dan (2) untuk penjawat awam dan ruang lingkup penglibatan mereka dalam aktiviti pilihan raya. Mereka juga telah menjadikan dokumen itu tersedia kepada orang ramai.
“Secara ringkasnya, tugas utama sebuah kerajaan sementara adalah untuk mengendalikan hal ehwal pentadbiran sehingga pembentukan sebuah kerajaan baharu. Kerajaan sementara tidak mempunyai keistimewaan atau kuasa untuk meluluskan, menandatangani, melaksanakan sebarang perjanjian, kontrak dan/atau ikrar, sama ada pada peringkat tempatan atau antarabangsa. Kerajaan sementara tidak boleh meluluskan sebarang dasar utama yang akan memberi kesan kepada negara dalam jangka panjang. Hal ini termasuk membuat lantikan politik baharu atau membuat sebarang keputusan perolehan atau belanjawan utama. Tindakan yang diambil oleh kerajaan sementara harus dikawal melalui prinsip kebertanggungjawaban, kedaulatan undang-undang dan keperluan sahaja.”
Sebagai tambahan, semua dokumen, program dan peruntukan sedia ada yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu juga harus dilaksanakan. Jika berlaku darurat, kerajaan sementara harus bersikap berkecuali dan adil dengan cara berunding dengan semua pihak sebelum sesuatu keputusan diambil. Sikap berkecuali terpakai dalam mengelak daripada memihak kepada parti tertentu, sama ada dalam kempen awam atau semasa pilihan raya. Hal ini penting kerana kerajaan sementara secara dasarnya telah melepaskan kuasa politiknya melalui pembubaran awal Parlimen dan hanya dibenarkan memerintah menurut peruntukan undang-undang.
Tambah Dr Yeoh, “Masyarakat awam harus diingatkan amalan yang melanggar undang-undang asas ini. Pada bulan Februari yang lalu, kerajaan negeri sementara di Johor secara unilateral telah membuat pengumuman Dasar Agro Makanan Negeri Johor 1.0. Tiga hari yang lalu, pada 17 Oktober 2022 dalam satu acara bersama para peneroka Felcra Berhad dan pekebun RISDA di Tapah, Perak, Perdana Menteri sementara Dato’ Sri Ismail Sabri mengumumkan persetujuannya untuk menghapuskan anggaran hutang sebanyak RM 238.8 juta sebagai satu ganjaran jika beliau dan barisan kabinetnya berjaya diundi kembali menjadi kerajaan persekutuan oleh pengundi setia selepas pilihan raya. Hal sebegini adalah contoh yang memberikan gambaran buruk kepada kerajaan sementara semasa dan harus diberikan teguran.
“Penting untuk diambil perhatian bahawa Malaysia mempunyai pengalaman dengan peralihan kuasa yang minimum di peringkat persekutuan. Inilah sebabnya peranan kerajaan sementara amat penting dalam memastikan peralihan yang lancar kepada kerajaan baharu akan berlaku. Seterusnya, menerima pakai Caretaker Conventions atau Akta Pengawalseliaan Kerajaan Sementara mungkin membenarkan satu set garis panduan yang lebih jelas, ketat dan telus untuk semua kerajaan sementara masa hadapan. Hal ini untuk memastikan risiko penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang berada di dalam kerajaan sementara dapat diminimumkan, atau mungkin lebih baik, dibendung,” kata Dr Tricia Yeoh.
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Halmie Azrie Abdul Halim, Eksekutif, Demokrasi dan Tadbir Urus
T: +603 2070 8881/8882 | E: halmie@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar, IDEAS Malaysia
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my