Kuala Lumpur, 29 April 2022 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan kenyataan bersama oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Hajiji Noor, pada 14 April 2022 berkenaan kenaikan geran khas Persekutuan untuk Sabah dan persetujuan antara kedua-dua pihak untuk menilai semula peruntukan perlembagaan mengenai geran khas tersebut (Perkara 112D). Namun, IDEAS menyeru agar kerajaan Persekutuan mendedahkan kepada masyarakat awam alasan meningkatkan geran khas kepada Sabah itu dari RM 26.7 juta kepada RM 125.6 juta.
Perlembagaan Persekutuan pada mulanya memperuntukkan geran khas ini ’dua perlima daripada amaun yang hasil bersih yang didapati oleh Persekutuan dari Sabah itu melebihi hasil bersih yang akan didapati sedemikian oleh Persekutuan dalam tahun 1963’ (Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan). Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah diberi kuasa untuk bersama-sama menilai semula geran khas di bawah Perkara 112D, termasuk melakukan perubahan, penghapusan atau penggantian dengan suatu geran lain.
“Walaupun kenyataan tersebut menyatakan peningkatan sebanyak 4.7 kali ganda dari RM 26.7 juta kepada RM 125.6 juta, kenyataan itu tidak memaklumkan masyarakat awam alasan peningkatan tersebut diberikan. Jika kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengubah formula yang telah dijadualkan untuk geran ini, masyarakat awam berhak untuk mengetahui alasan peningkatan sebagai sebahagian daripada hasil dan kos negeri,” kata Alissa Rode, Pengurus Unit Kewangan Awam di IDEAS.
“Walaupun kami mengambil maklum bahawa kenaikan penyerahhakan hasil ini sesuatu yang terlambat, namun disebabkan keperluan pembangunan Sabah yang meruncing, ketelusan adalah amat penting supaya ia dapat memastikan kerajaan mematuhi prinsip penyerahhakan hasil dari kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri. Lebih lebih lagi apabila penyerahhakan ini dilakukan mengikut keputusan budi bicara. Perlembagaan Persekutuan contohnya, mempunyai peruntukan dan peraturan mengenai pemberian ikut (individu perseorangan) kepala dan jenis penyerahhakan lain. Terdapat juga peraturan untuk bayaran royalti. Kementerian Kewangan perlu memberikan maklumat yang mencukupi untuk membuktikan kepada masyarakat awam bahawa semua peruntukan ini dipatuhi”, ulas Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
“Kekurangan penjelasan yang berterusan dalam penyerahhakan hasil persekutuan kepada negeri adalah sangat membimbangkan, terutamanya apabila peningkatan atau menahan penyerahhakan kelihatan berbetulan dengan kemungkinan pilihan raya umum. Mengamalkan budi bicara dalam penyerahhakan dan perbelanjaan pembangunan negeri menyebabkan peruntukan belanjawan digunakan sebagai alat tawar menawar sebelum pilihan raya. Justeru, kita perlu berhati-hati terutamanya jika pola sebegini diulangi untuk negeri lain menjelang mana-mana pilihan raya umum atau negeri”, kata Yeoh.
Oleh itu, IDEAS ingin mengambil peluang ini untuk menyeru kepada penambahbaikan keseluruhan ketelusan penyerahhakan hasil kepada kerajaan negeri. Kami menyarankan agar pada masa hadapan, kerajaan persekutuan harus mendedahkan perincian penyerahhakan hasil ini dalam cadangan belanjawan eksekutif. Pendedahan ini perlu menyatakan dengan jelas sifat penyerahhakan, sama ada pemberian ikut (individu perseorangan) kepala, geran khas, bayaran royalti atau pemberian-pemberian lain, ketika kerajaan membentangkan belanjawan kepada Parlimen. Pada masa ini, hanya penyerahhakan hasil sebenar oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri pada tahun lepas dan jumlah keseluruhan penyerahhakan hasil tahun belanjawan semasa yang didedahkan di dalam belanjawan persekutuan. Maka, kami dengan tegas mendesak kerajaan untuk mempertingkatkan amalan ini agar masyarakat awam dapat mengetahui anggaran peruntukan kepada negeri mereka pada masa yang tepat.
Dalam jangka masa panjang, seperti yang dinyatakan dalam satu kertas cadangan dasar kami, IDEAS juga menyarankan agar satu Suruhanjaya Geran yang bebas dan tidak berpolitik ditubuhkan untuk mentadbir penyerahhakan hasil antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam suasana yang lebih berasaskan peraturan serta lebih telus. Hal ini akan membenarkan satu formula tetap penyerahhakan hasil untuk setiap kategori pemberian, lantas menghilangkan faktor budi bicara eksekutif penyerahhakan hasil fiskal atas ke bawah, sama ada untuk ‘perbelanjaan pembangunan’ atau ‘projek khas’. Satu formula penyamaan seperti yang dilaksanakan di Australia akan mengambil kira populasi, kemiskinan, pembangunan kawasan, kos, pembangunan manusia serta indeks hasil per kapita kasar.
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Zokhri Idris, Ph.D, Pengarah Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: zokhri@ideas.org.my

Global order stands on the brink