IDEAS menyeru kepada pendedahan sepenuhnya mengenai kontrak-kontrak rundingan terus

IDEAS menyeru kepada pendedahan sepenuhnya mengenai kontrak-kontrak rundingan terus

Kuala Lumpur, 25 Ogos 2020 – Menteri Kewangan telah mendedahkan semalam bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meluluskan 101 buah projek bernilai sehingga RM6.61 bilion rundingan-rundingan secara terus. Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan pendedahan terbaru ini berdasarkan kepada kebertanggungjawaban awam tetapi juga mendesak pihak kerajaan supaya berlaku telus sepenuhnya dengan mengeluarkan senarai penuh kontrak-kontrak yang telah diberikan.

Penggunaan tender terbuka secara meluas merupakan sebahagian daripada manifesto PH di dalam Buku Harapan dan oleh itu penting untuk parti-parti politik dipertanggungjawabkan ke atas janji-janji mereka. IDEAS percaya bahawa proses perolehan perlu berdaya saing untuk memastikan nilai terbaik kepada pihak kerajaan, dan rundingan secara terus hanya boleh digunapakai di bawah keadaan tertentu apabila semua kaedah berdaya saing lain telah digunakan. Justeru, pendedahan senarai tersebut sangat penting untuk memastikan perolehan-perolehan kerajaan mematuhi peraturan dan garis panduan sedia ada seperti yang telah digariskan di dalam Pekeliling Perbendaharaan.

Buat masa kini, pendedahan mengenai projek-projek rundingan secara terus amat sedikit, terbukti melalui kekurangan penggunaan laman sesawang MyPROCUREMENT. Pekeliling Perbendaharaan memerlukan agensi-agensi kerajaan untuk mencatat dan mengemaskini secara konsisten maklumat mengenai perolehan kerajaan ke dalam sistem GPIS yang telah diintegrasikan bersama dengan laman sesawang. Penilaian kami pada laman web menunjukkan terdapat hanya 314 buah projek yang direkodkan dengan projek terkini merupakan projek pada tahun 2017. Hal ini bermaksud tiada projek yang dikemaskini ketika pemerintahan kerajaan PH. Analisis daripada laporan Ketua Audit Negara dari tahun 2014 hingga 2018 juga menunjukkan kebanyakan projek rundingan secara terus yang telah diaudit tidak dimuat naik pada laman sesawang.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh ketika memberikan komen mengenai laman sesawang tersebut berkata, “Pendedahan yang terhad pada laman sesawang itu tidak membenarkan pemeriksaan yang mendalam oleh masyarakat awam serta menunjukkan kekurangan ketelusan. Rundingan secara terus merupakan satu kaedah perolehan yang sah tetapi lebih terdedah untuk disalahguna. Disebabkan hal ini, pendedahan maklumat akan mengurangkan risiko tersebut. Laman sesawang MyPROCUREMENT boleh dinaiktaraf tetapi kerajaan sekarang perlu menggunakan platform ini untuk mendedahkan projek-projek rundingan terus. Pendedahan sebegini akan memastikan persaingan yang adil dan penuh kebertanggungjawaban.”

— TAMAT —

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Sri Murniati di unie@ideas.org.my.

Share this post

Related Post

Search