- Menggantung Parlimen serta mengenakan perintah darurat akan menggugat sentimen perniagaan dan memburukkan lagi situasi ekonomi.
- Hal ini juga dengan ketara akan menjejaskan kebertanggungjawaban pihak kerajaan, dan menimbulkan persoalan mengenai keabsahan Belanjawan 2021.
- Langkah-langkah alternatif boleh diambil untuk menangani kerisauan mengenai COVID-19.
- Sistem demokrasi berparlimen Malaysia dan kedaulatan undang-undang harus didokong dan dihormati.
Kuala Lumpur, 24 Oktober 2020 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bimbang dengan beberapa laporan akhbar yang mengatakan perintah darurat dijangka akan diumumkan dalam masa beberapa hari akan datang. Perintah darurat yang pernah disaksikan sebelum ini amat membimbangkan jika dilaksanakan pada masa ini di atas beberapa sebab berikut.
Pertama, sentimen perniagaan akan tergugat, memburukkan lagi tinjauan ekonomi negatif disebabkan oleh pelbagai perkara yang berlaku tahun ini. Ekonomi Malaysia telah menguncup buat kali pertama semenjak Krisis Kewangan Dunia kerana COVID-19, paling kritikal menjejaskan perniagaan serta golongan B40. Perintah darurat di seluruh negara akan hanya memburukkan lagi kesukaran yang dihadapi oleh para pemilik perniagaan kecil, meningkatkan pengangguran dan mengancam pertumbuhan ekonomi.
Kedua, penggantungan Parlimen akan mengurangkan kebertanggungjawaban kerajaan dalam membuat keputusan, mengalihkan kuasa yang amat besar kepada Eksekutif dan melemahkan lagi keabsahan kerajaan. Ketika krisis, rakyat Malaysia perlu diberi keyakinan bahawa institusi-institusi yang telah diberi kuasa oleh Perlembagaan dan wakil-wakil rakyat yang dipilih berkhidmat untuk kepentingan terbaik rakyat. Pelucutan rasa percaya antara rakyat dan kerajaan ini akan menghasilkan kesan yang dahsyat ke atas demokrasi di Malaysia secara keseluruhannya.
Ketiga, Belanjawan 2021 yang dijangka akan dibentangkan dan diluluskan tidak akan melalui penelitian berparlimen jika Parlimen digantung. Belanjawan tahunan merupakan satu dokumen penting yang menentukan perbelanjaan awam untuk tahun kewangan yang akan datang dan wakil-wakil rakyat harus diberi peluang untuk meneliti, berbahas dan meluluskannya atas dasar ketelusan, kedaulatan undang-undang, dan kebertanggungjawaban.
Memang benar krisis kesihatan awam semakin teruk dikala jangkitan baharu COVID-19 terus meningkat saban hari dan kemudahan penjagaan kesihatan kita terus dipaksa berfungsi ke kapasiti maksimum. Namun, krisis sebegini tidak memerlukan penggantungan institusi demokrasi. Malaysia sudah mempunyai Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk situasi seperti yang sedang kita hadapi ini.
Tambahan pula, jika perniagaan dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa dan tiada perintah berkurung dilaksanakan, alasan pelaksanaan perintah darurat yang menjadi spekulasi ialah kerana isu politik, akan menghakis kepercayaan masyarakat awam terhadap kerajaan yang memerintah hari ini. Kuasa mutlak yang diberikan kepada Eksekutif merupakan satu cerun yang licin, sesuatu yang amat berbahaya yang boleh membawa kepada penggantungan susulan terhadap kebebasan awam dan amalan urus tadbir yang baik.
Sebaliknya, segala usaha dan sumber boleh disalurkan dengan lebih baik ke arah menguruskan krisis kesihatan awam. Koordinasi kerajaan Persekutuan dan negeri harus ditingkatkan, kerjasama antara agensi dan antara kementerian perlu ditambahbaik, lebih banyak sumber dikhususkan kepada kesihatan awam, dan data digunakan untuk mengenalpasti kawasan berisiko tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh ketika mengulas perkembangan ini berkata, “Pada ketika ini, amat penting untuk kita mendokong demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang, supaya dapat memastikan semak dan imbang yang amat diperlukan dapat dikekalkan. Semoga para pemimpin negara akan menghormati sistem demokrasi berparlimen negara kita dan mencari satu penyelesaian alternatif berbanding menggunapakai Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan rakyat.”
— TAMAT —
Bagi sebarang pertanyaan media: T: +603 2070 8881 E: tricia@ideas.org.my

Global order stands on the brink