IDEAS: Semak semula kaedah-kaedah rundingan langsung dan perkenal rundingan berdaya saing

IDEAS: Semak semula kaedah-kaedah rundingan langsung dan perkenal rundingan berdaya saing

  • Dasar semasa tidak mencukupi untuk menangani isu-isu yang sedang berlaku dalam kontrak-kontrak rundingan langsung, termasuk rasuah dan salah urus yang kronik.
  • Analisis Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2014-2018  menunjukkan terdapat pelbagai contoh kejadian salah guna kuasa yang tidak diambil sebarang tindakan.
  • Untuk keperluan mendesak yang wajar (tidak berkaitan dengan sebarang bencana/krisis), rundingan langsung perlu digantikan dengan rundingan berdaya saing, menuruti amalan terbaik antarabangsa.
  • Akta Perolehan Kerajaan yang akan datang memberi satu peluang kepada kerajaan untuk menambahbaik nilai untuk wang, kebertanggungjawaban, dan ketelusan dalam proses rundingan langsung. IDEAS menyeru kepada pemasukan “rundingan berdaya saing” dan “sistem mengkaji semula” dalam akta yang akan dibentangkan, serta mengukuhkan pekeliling semasa.

Kuala Lumpur, 18 November 2020 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah menerbitkan satu kertas dasar, “Improving Direct Negotiation Rules in Malaysia: Learning From Current Practices and International Laws” yang ditulis secara bersama oleh Sri Murniati dan Danial Ariff.

Perolehan awam melalui rundingan langsung dilihat secara negatif oleh masyarakat awam disebabkan oleh kecenderungan kepada salah guna kuasa dan kronisme. Pendedahan oleh Menteri Kewangan mengenai 101 kontrak rundingan langsung pada Ogos lalu telah menyebabkan rundingan langsung sekali lagi menjadi tumpuan.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Tricia Yeoh berkata, “Kertas ini merupakan sebahagian dari inisiatif IDEAS untuk menyumbang kepada perancangan kerajaan untuk memperkenal satu perundangan perolehan  menjelang tahun 2023, seperti yang dimandatkan oleh Pelan Antirasuah Nasional 2020. Kertas ini menilai had peraturan semasa mengenai rundingan langsung, bagaimana peraturan tersebut diamalkan, dan memberikan cadangan untuk pembaharuan. Untuk menunjukkan bagaimana peraturan semasa diamalkan, kertas ini telah melakukan analisis terhadap kontrak-kontrak rundingan langsung yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2014-2018.”

Kertas ini memberi hujah yang peraturan rundingan langsung semasa (Pekeliling P.K 7.15 & P.K 7.16) mempunyai langkah-langkah untuk memastikan kontrak rundingan langsung dilaksanakan dengan sedikit kebertanggungjawaban, mencapai nilai untuk wang, dan memupuk persaingan yang adil. Namun, peraturan tersebut tidak mempunyai langkah-langkah ketelusan yang mencukupi dan mengandungi langkah-langkah yang mungkin memberi impak negatif terhadap kebertanggungjawaban dan nilai untuk wang. Tambahan pula, analisis terhadap projek-projek rundingan langsung dalam Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2014-2018 menunjukkan peraturan-peraturan ini tidak dilaksanakan dengan baik. Kertas ini mengenalpasti pelbagai pelanggaran peraturan dalam proses kelulusan, kelayakan kontraktor, dan proses rundingan.

Kertas ini mencadangkan semakan terhadap dasar semasa dan penggunaan “rundingan berdaya saing” sebagai satu alternatif kepada model rundingan langsung semasa. Pembaharuan ini perlu disertakan bersama satu sistem kajian semula dalam perundangan perolehan yang akan datang. Tambahan pula, IDEAS menyeru kepada satu pengasingan yang jelas antara kuasa dan tanggungjawab birokrat dan ahli politik dalam amalan perolehan. Hal ini juga mengulangi seruan kami sebelum ini untuk mendedahkan maklumat mengenai rundingan langsung sebelum dan selepas proses perolehan.

Tambah Yeoh, “Rundingan langsung merupakan satu kaedah perolehan yang diperlukan untuk menangani keperluan penyampaian perkhidmatan yang dipercepatkan. Walaupun begitu, jurang yang terdapat dalam peraturan sedia ada telah menghasilkan kelompongan yang dapat dieksploitasi oleh individu-individu yang mempunyai kuasa untuk kepentingan mereka. Cadangan-cadangan yang diutarakan oleh kertas ini dapat meminimumkan kelompongan tersebut dan mengukuhkan potensi kaedah perolehan ini supaya dapat menyampaikan nilai untuk wang para pembayar cukai.”

— TAMAT —

Laporan boleh dimuat turun di pautan ini ()

Kami akan membincangkan laporan ini  di webinar kami bertajuk “Direct Negotiation: Should we abandon the practice?” pada 27 November 2020, jam 10:00 pagi. Untuk mendaftar sila klik pautan ini (https://us02web.zoom.us/webinar/register/WN_2QnRbvFFSwmCu3PaCm1NWw)

Share this post

Related Post

Search