Kuala Lumpur, 24 Februari 2021 – Bunuh diri merupakan punca kematian tertinggi dalam kalangan belia di Malaysia, dengan kos ekonomi akibat bunuh diri dianggarkan berjumlah RM 346.2 juta pada tahun 2019, menurut satu laporan baharu, Youth Suicide in Malaysia.
Laporan ini diterbitkan oleh Relate Mental Health Malaysia, dengan kerjasama Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), ditulis secara bersama oleh Dr. Chua Sook Ning dan Vaisnavi Rao.
Walaupun dengan kos ekonomi dan kos emosi yang tinggi, bunuh diri masih lagi dikategorikan sebagai satu perlakuan jenayah di Malaysia di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan. Bukti menunjukkan bahawa penjenayahan bunuh diri mengurangkan tingkah laku mendapatkan bantuan, menghalang pengumpulan data yang tepat, dan menyekat pembangunan serta pelaksanaan strategi-strategi pencegahan bunuh diri yang berkesan.
Pelbagai faktor yang berhubung kait meningkatkan risiko bunuh diri, termasuk umur, jantina, etnik, isu kesihatan mental, dan pengangguran memberikan penekanan bahawa strategi pencegahan diperlukan untuk mengguna pakai satu pendekatan sosial dan kesihatan awam yang menyeluruh.
Wabak COVID-19 dan kesannya kepada lanskap sosio-ekonomi Malaysia sangat mendadak. Sekatan pergerakan, langkah-langkah penjarakan fizikal, keruntuhan ekonomi, peningkatan kes hilang pekerjaan, dan perubahan berkaitan pelajaran bagi kanak-kanak dan belia telah meningkatkan tahap tekanan dalam kalangan rakyat Malaysia, terbukti melalui peningkatan kes bunuh diri sejak Mac 2020. Cabaran terhadap bunuh diri belia juga telah ditekankan oleh Kementerian Kesihatan.
IDEAS dan Relate Malaysia menyeru kepada pemegang-pemegang taruh yang berkenaan supaya dengan segera melaksanakan langkah-langkah praktikal untuk menangani krisis kesihatan awam ini. Beberapa saranan dasar penting telah diberikan di dalam laporan ini termasuk:
- Pihak kerajaan perlu meneruskan Garis Panduan Pencegahan Bunuh Diri sedia ada, manakala perancangan satu garis panduan atau strategi pencegahan bunuh diri khusus kepada belia perlu menjadi satu usaha kerjasama antara pemegang taruh utama termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta organisasi-organisasi bukan kerajaan, diterajui oleh Kementerian Kesihatan.
- Daftar Bunuh Diri Kebangsaan perlu diteruskan dan maklumat mengenai umur, jantina, etnik, negeri, dan kaedah bunuh diri perlu disertakan.
- Satu penilaian keperluan menyeluruh mengenai kebolehdapatan dan jurang-jurang pencegahan bunuh diri serta perkhidmatan rawatan perlu dijalankan.
- Melaksanakan kawal atur untuk mengehadkan capaian kepada pelbagai kaedah bunuh diri, seperti bahan-bahan beracun.
- Menilai kebolehcapaian dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan mental sedia ada untuk para belia, seperti runding cara dalam persekitaran pendidikan.
- Kempen-kempen kesedaran demi melengkapkan individu-individu dengan pelbagai sumber praktikal dan berguna. Penilaian keberkesanan program secara berkala juga perlu dilakukan.
- Garis panduan untuk laporan media perlu diperkukuhkan dan dikuatkuasakan dengan lebih tegas dengan kerjasama rapat bersama media nasional dan serantau serta pakar psikososial (ahli psikologi, pekerja sosial) untuk meningkatkan sokongan dan pelaksanaan garis panduan.
Ketidaktentuan krisis dunia ini masih belum berakhir, strategi pencegahan menyeluruh diperlukan untuk melindungi kesejahteraan golongan belia dalam negara kita dan mengekang peningkatan wabak senyap bunuh diri ini.
Pengasas Relate Malaysia dan ahli psikologi klinikal, Dr. Chua Sook Ning berkata, “Peningkatan trend bunuh diri dalam kalangan belia di Malaysia telah menjadikannya satu keperluan moral untuk para pembuat dasar negara ini untuk mengambil tindakan pantas dan menangani krisis ini.
“Memandangkan Malaysia merupakan satu populasi yang sedang menua, kita harus menyediakan sokongan dan perkhidmatan berkualiti yang dapat memberikan bantuan sewajarnya kepada para belia yang sedang bergelut ini – hal ini termasuk nyah jenayah perbuatan bunuh diri. Undang-undang semasa menghalang rakyat dari mendapatkan bantuan yang diperlukan kerana takut dimalukan dan didakwa melakukan perbuatan jenayah.
“Para pembuat dasar serta komuniti kesihatan mental harus bekerjasama untuk memastikan perubahan yang diperlukan berjaya dilakukan. Sekadar meningkatkan kesedaran tidak mencukupi – kita perlu mengambil tindakan segera jika berharap untuk menterbalikkan trend yang membimbangkan ini.”
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh menambah, “Kami amat berharap pembuat dasar negara ini akan mengiktiraf sikap kesegeraan berkenaan fenomena bunuh diri dalam kalangan belia di Malaysia serta mengambil serius saranan yang kami kemukakan dalam kertas laporan ini, termasuk keperluan untuk nyah jenayah perbuatan bunuh diri. Hal ini menjadi semakin penting disebabkan pengasingan dan tekanan yang berhubung kait dengan COVID-19. Kami juga menantikan IDEAS untuk turut sama menyumbang dalam dasar awam berkenaan kesihatan mental secara amnya dalam masa terdekat.”
Kertas laporan dasar ini boleh dimuat turun di http://www.relate.com.my/youth-suicide-in-malaysia atau pautan ini .
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Amir Ridzuan Jamaludin, Penolong Pengurus, Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 E: amir@ideas.org.my
Vaisnavi Rao, Eksekutif Kanan, Dasar Sosial
T: +60142678700 E: Vaisnavi@ideas.org.my
Mengenai Relate Mental Health Malaysia
Relate Mental Health Malaysia merupakan satu organisasi bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan untuk meningkatkan kesedaran dan tahap celik kesihatan mental; mempromosi pencegahan dan pengantaraan awal melalui penyelidikan, bantuan dan saranan dasar; dan membangunkan pengantaraan yang berkesan, mudah dicapai dan berasaskan bukti. Diasaskan oleh ahli psikologi klinikal dan sarjana pelawat Harvard, Dr. Chua Sook Ning, Relate Malaysia berusaha agar seluruh rakyat Malaysia mempunyai peluang yang saksama untuk menikmati hak asasi manusia yang menepati piawaian tertinggi kesihatan mental. Untuk maklumat lanjut, layari www.relate.com.my.
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Dr Chua Sook Ning, Pengasas, Pengarah Klinikal
T: +65 8319 0635 E: sookning@relate.com.my
Global order stands on the brink