IDEAS: Laporan RCI Tabung Haji Gariskan Keperluan Hentikan Lantikan Politik Badan Berkanun

IDEAS: Laporan RCI Tabung Haji Gariskan Keperluan Hentikan Lantikan Politik Badan Berkanun

Kuala Lumpur, 4 Ogos 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) memandang serius Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) yang diterbitkan setelah sekian lama tertangguh. Kerajaan kini perlu memastikan bahawa dapatan laporan tersebut diterjemahkan kepada reformasi institusi yang bermakna.

Mengambil kira keseriusan dapatan RCI, laporan tersebut sepatutnya diterbitkan lebih awal dan bukannya hanya beberapa hari sebelum Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan. Waktu penerbitan itu telah menyebabkan laporan ini dijadikan bahan kempen politik, sedangkan usaha memperkukuh tadbir urus TH sepatutnya menjadi komitmen berterusan kerajaan yang bebas daripada pertimbangan politik kepartian.

IDEAS amat prihatin terhadap dapatan RCI yang menunjukkan berlakunya campur tangan politik dalam keputusan penting di TH. Ahli Lembaga Pengarah TH yang dilantik daripada kalangan ahli politik bukan sekadar memegang jawatan secara simbolik, malah terlibat secara langsung dalam membuat keputusan yang membawa implikasi besar terhadap tadbir urus kewangan institusi tersebut. Sebagai contoh, RCI merumuskan bahawa TH sepatutnya merekodkan kerugian sebanyak RM1.4 bilion pada tahun 2017, bukannya keuntungan sebanyak RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan. Pada masa yang sama, hibah berjumlah RM2.75 bilion telah diisytiharkan walaupun terdapat kebimbangan yang dibangkitkan semasa proses audit. Dapatan ini menunjukkan risiko yang timbul apabila individu yang dilantik atas pertimbangan politik diberi pengaruh dalam membuat keputusan yang sepatutnya berpandukan pertimbangan profesional, tanggungjawab fidusiari dan kepentingan jangka panjang para pendeposit.

Sebagai badan berkanun yang diamanahkan untuk mengurus simpanan jutaan umat Islam di Malaysia, TH perlu memastikan bahawa segala keputusan berkaitan pelaporan kewangan, pelaburan dan pengagihan hibah dibuat berasaskan tanggungjawab fidusiari, pengurusan kewangan yang berhemat serta kepentingan jangka panjang para pendeposit, bukannya didorong oleh kepentingan politik atau pertimbangan jangka pendek.

Pelbagai isu yang dikenal pasti oleh RCI ini adalah selaras dengan kebimbangan yang telah lama dibangkitkan oleh IDEAS menerusi inisiatif Pantau Kuasa berhubung tadbir urus badan berkanun Persekutuan. Laporan IDEAS bertajuk Siapakah Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Persekutuan Malaysia? mendapati bahawa 78% jawatan pengerusi dalam 135 badan berkanun Persekutuan tidak mempunyai kriteria kelayakan yang ditetapkan secara jelas.

Kuasa budi bicara yang luas dalam pelantikan, ditambah pula dengan ketelusan yang terhad, melemahkan kebebasan institusi serta meningkatkan risiko badan awam terdedah kepada pengaruh politik. Justeru, isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI ini tidak boleh dilihat sebagai kegagalan terpencil, sebaliknya merupakan simptom kepada kelemahan struktur yang lebih menyeluruh dalam kerangka tadbir urus di Malaysia.

“Laporan RCI Tabung Haji mengingatkan kita bahawa keyakinan awam bukan sahaja bergantung kepada prestasi kewangan, tetapi juga kepada tadbir urus yang kukuh dan proses membuat keputusan yang bertanggungjawab. Justeru, dapatan RCI perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh perlindungan badan berkanun daripada campur tangan politik yang tidak wajar. Menerusi inisiatif Pantau Kuasa, IDEAS secara konsisten menggesa reformasi yang mengutamakan pelantikan berasaskan merit, kebebasan institusi dan pemantauan Parlimen yang lebih berkesan. Pengajaran daripada RCI ini mengukuhkan lagi keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi tersebut,” tegas Aira Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.

Kerajaan telah memaklumkan bahawa kira-kira 75% daripada 25 saranan RCI telah pun dilaksanakan. Bagi memperkukuh keyakinan orang ramai, kerajaan kini perlu menerbitkan status pelaksanaan setiap saranan tersebut, mengenal pasti saranan yang masih belum diselesaikan, serta mengemukakan garis masa yang jelas bagi melengkapkan pelaksanaannya. Ketelusan bukan sahaja perlu dizahirkan melalui penerbitan laporan siasatan, malah turut meliputi pelaksanaan saranan yang dikemukakan.

Sehubungan itu, IDEAS menggesa kerajaan untuk:

  1. Menerbitkan status pelaksanaan kesemua 25 saranan RCI, termasuk garis masa bagi menyelesaikan saranan yang masih belum dilaksanakan.
  2. Meminda Akta Tabung Haji 1995 bagi memperkukuh tadbir urus, memperjelas tanggungjawab dan fungsi pemantauan, serta mengecilkan ruang campur tangan politik yang tidak wajar.
  3. Memperkenalkan proses pelantikan yang telus dan berasaskan merit bagi badan berkanun, disokong oleh kriteria kelayakan yang jelas, proses saringan awal calon yang bebas serta lembaga pengarah yang lebih bebas.
  4. Memperkukuh pemantauan Parlimen terhadap badan berkanun bagi meningkatkan kebertanggungjawaban dan menjamin kebebasan institusi.
  5. Memastikan sebarang bukti salah laku yang dikenal pasti oleh RCI disiasat secara bebas dan menurut lunas undang-undang, tanpa mengira keanggotaan parti politik pihak yang terlibat.

Dapatan RCI ini mesti menjadi titik perubahan kita. Usaha memulihkan keyakinan orang ramai terhadap TH memerlukan bukan sahaja pertanggungjawaban terhadap kegagalan lalu, malah komitmen dan ketegasan untuk menegakkan piawaian tertinggi ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik, bebas daripada campur tangan politik serta pertimbangan kepartian.

Tonton dokumentari IDEAS Who’s Who & So and So (2026) untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai pelantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun Persekutuan (FSB) di Malaysia.

Ketahui lebih lanjut mengenai inisiatif Pantau Kuasa oleh IDEAS di pantaukuasa.com

— TAMAT —

Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search