Kajian IDEAS Gariskan Pemindahan Fiskal Persekutuan dan Negeri Malaysia Tidak Sejajar dengan Keperluan Penyamarataan

Federal Transfers and Fiscal Capacity in Malaysia: Evidence on Equalisation Across States

Kajian IDEAS Gariskan Pemindahan Fiskal Persekutuan dan Negeri Malaysia Tidak Sejajar dengan Keperluan Penyamarataan

Kuala Lumpur, 30 April 2026: Kajian terbaharu IDEAS bertajuk ‘Pemindahan Fiskal Persekutuan dan Kapasiti Fiskal di Malaysia: Analisis Penyamarataan Antara Negeri’, yang ditulis oleh Nor Nazirah Mohamed,, mendedahkan bahawa sistem pemindahan fiskal antara kerajaan di Malaysia hanya sedikit membantu dalam mengurangkan jurang keupayaan penjanaan hasil dan ketidaksamaan ekonomi antara negeri. Kajian ini turut memberikan bukti lanjut bahawa sistem fiskal Malaysia yang sangat berpusat tidak cukup disasarkan untuk mengagihkan dana mengikut keperluan pembangunan ekonomi.

Walaupun pemindahan fiskal amat penting kepada satu sistem fiskal persekutuan yang berfungsi dengan baik, bukti mengenai sama ada pemindahan fiskal di Malaysia benar-benar menangani perbezaan keupayaan penjanaan hasil antara kerajaan masih terhad. Pemindahan fiskal Persekutuan kepada negeri sepatutnya menangani ketidakseimbangan antara kuasa percukaian dan peminjaman di peringkat Persekutuan dan negeri, dengan agihan mengikut negeri mencerminkan jurang penjanaan hasil dan pembangunan antara negeri. Kajian ini meneliti sama ada pemindahan fiskal melaksanakan fungsi penyamarataan ini, iaitu memberikan agihan yang lebih besar kepada negeri yang mempunyai kapasiti fiskal lebih rendah.

Dapatan kajian terlebih dahulu menunjukkan perbezaan ketara dalam tahap kebergantungan negeri terhadap pemindahan fiskal Persekutuan. Ketidakpadanan struktur antara tanggungjawab perbelanjaan negeri dan kuasa penjanaan hasil yang terhad adalah paling serius di Terengganu, Perlis dan Kelantan, di mana hasil dijana sendiri sebagai bahagian daripada perbelanjaan melebihi 50% (Rajah 1). Sementara itu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Perak menunjukkan kebergantungan tertinggi terhadap pemindahan fiskal sebagai sumber hasil, melebihi 70%, manakala kebergantungan adalah rendah bagi Sabah dan Sarawak (Rajah 2).

Rajah 1: Kebergantungan Struktur terhadap Pemindahan Fiskal bagi Perbelanjaan Mengikut Negeri (Purata 2019–2024)

Figure 1: Structural Reliance on Transfers for Expenditure Across States (Average 2019-2024)

Rajah 2: Kebergantungan terhadap Pemindahan Fiskal sebagai Sumber Hasil Mengikut Negeri (Purata 2019–2024)

Figure 2: Dependence on Transfers as Revenue Source Across States (Average 2019-2024)

Kajian ini juga menunjukkan bahawa walaupun pemindahan fiskal sedikit sebanyak mengurangkan jurang, pengagihan pemindahan fiskal Persekutuan tidak diselaraskan secara sistematik dengan kapasiti fiskal asas. Berdasarkan petunjuk seperti KDNK per kapita, purata pendapatan isi rumah dan struktur ekonomi, negeri seperti Kelantan dan Kedah menerima pemindahan fiskal yang lebih rendah daripada jangkaan berdasarkan kapasiti fiskal mereka yang rendah (Rajah 3). Sebaliknya, Sarawak menerima pemindahan per kapita yang jauh lebih tinggi berbanding apa yang dijangkakan berdasarkan kekuatan ekonominya.

Rajah 3: Pemindahan Fiskal Persekutuan dan KDNK Per Kapita Mengikut Negeri (Purata 2019–2024)

Figure 3: Federal Transfers and GDP Per Capita Across States (Average 2019-2024)

“Landskap pemindahan fiskal berasaskan perbelanjaan di Malaysia yang sebahagian besarnya tidak diselaraskan menghasilkan keputusan yang hampir tiada hubungan dengan keperluan hasil dan ekonomi negeri yang berbeza-beza. Pemindahan fiskal tunggal terbesar — iaitu bagi penyelenggaraan jalan raya negeri — sebenarnya memberi ganjaran kepada negeri yang lebih maju kerana mempunyai rangkaian jalan raya yang lebih luas,” kata Nor Nazirah Mohamed, Pengurus Penyelidikan IDEAS dan penulis utama kajian ini.

Reformasi struktur sistem pemindahan fiskal kekal penting untuk mencapai agihan yang lebih adil dan mampan. Malaysia memerlukan model berasaskan keperluan yang lebih bersepadu dan telus, yang mengambil kira tekanan demografi, tahap pembangunan ekonomi dan keperluan penyampaian perkhidmatan yang khusus mengikut lokasi. Kegagalan berterusan untuk menambah baik pengumpulan data dan memperkukuh penyasaran pemindahan fiskal berasaskan bukti akan memburukkan serta meluaskan jurang ketidaksamaan antara negeri, bertentangan dengan semangat persekutuan.

“Pemindahan fiskal sepatutnya membantu semua negeri menyediakan tahap perkhidmatan awam yang setara, dengan mengambil kira perbezaan asas dalam keupayaan negeri menjana hasil. Pemindahan fiskal mesti membantu meningkatkan aktiviti ekonomi di negeri kurang maju, bukannya memberi ganjaran kepada aktiviti sedia ada di negeri yang lebih besar,” ulas Dr Stewart Nixon, Pengarah Penyelidikan IDEAS.

Untuk maklumat lanjut, sila muat turun laporan penuh di sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
ryannesh@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search