Kuala Lumpur, 23 April 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan mutakhir di Negeri Sembilan susulan pengisytiharan yang diketuai oleh seorang bekas Undang yang menyeru agar Yang di-Pertuan Besar, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, turun takhta dan digantikan. Keabsahan pengisytiharan tersebut sendiri telah dipersoalkan oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Seri Hishamudin Yunus, dalam satu artikel yang diterbitkan oleh The Edge awal hari ini, dengan andaian bahawa tiada proses sewajarnya dilaksanakan dalam tuntutan supaya baginda turun takhta. Tambahan pula, beliau menyatakan bahawa pengisytiharan itu turut dibacakan oleh bekas Undang Sungei Ujong, yang penyingkirannya oleh waris beliau sendiri telah diiktiraf sewajarnya oleh Dewan Keadilan dan Undang.
Sistem Raja Berperlembagaan Malaysia berteraskan satu prinsip asas: segala bentuk kuasa, sama ada politik, pentadbiran mahupun adat, mesti beroperasi dalam kerangka undang-undang dan Perlembagaan. Kestabilan, keabsahan dan keyakinan awam tidak bergantung kepada tuntutan kuasa yang saling bersaing, tetapi kepada pematuhan terhadap proses perlembagaan yang telah ditetapkan.
Kami menggesa rakan-rakan masyarakat sivil dan orang ramai supaya menuntut agar keluhuran Perlembagaan sentiasa didukung. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memperuntukkan struktur yang jelas berhubung penurunan takhta dan penggantian Yang di-Pertuan Besar. Sebarang cubaan untuk mengubah kedudukan Raja Pemerintah mesti mematuhi sepenuhnya peruntukan perlembagaan dan proses yang sah di sisi undang-undang. Tertib perlembagaan tidak boleh digantikan dengan perisytiharan secara sepihak atau tafsiran yang dipertikaikan. “Adalah suatu hakikat yang tidak dapat disangkal bahawa Raja-Raja Melayu mesti dibenarkan melaksanakan peranan baginda sekalian tanpa sebarang halangan yang tidak wajar. Campur tangan yang tidak berasas bukan sahaja akan menghalang baginda sekalian daripada menunaikan peranan berperlembagaan, malah boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan,” tulis Malik Imtiaz Sarwar, peguam kanan perlembagaan dan hak asasi manusia.
Kedaulatan undang-undang mesti mengatasi keperibadian individu. Tanpa mengira kedudukan atau tradisi, keputusan yang melibatkan institusi Raja Pemerintah hendaklah ditentukan melalui mekanisme sah yang diiktiraf oleh Perlembagaan, autoriti adat, dan keabsahan kehakiman apabila perlu. Kestabilan Raja Berperlembagaan kita amat penting dalam mengekalkan keyakinan rakyat.
IDEAS senada dengan bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof, yang menyatakan, “Sesebuah perlembagaan dibina atas keseimbangan untuk melindungi dan memelihara bentuk kerajaan yang dipilih, dalam kes negara kita, Demokrasi Berparlimen. Sebarang cubaan untuk mengganggu keseimbangan itu melalui faktor luaran hanya akan membawa kepada akibat yang malang, dan kebanyakannya tidak disengajakan.”
Tindakan yang menimbulkan ketidaktentuan terhadap autoriti perlembagaan berisiko menjejaskan kepercayaan rakyat, bukan sahaja terhadap institusi diraja tetapi juga terhadap tadbir urus secara keseluruhannya. Kami menegaskan semula bahawa penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang, pematuhan kepada proses perlembagaan, serta komitmen terhadap tadbir urus baik dan berintegriti kekal sebagai elemen yang tidak boleh diketepikan bagi pembangunan demokrasi dan daya tahan institusi Malaysia.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my
