Kuala Lumpur, 4 Mac 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengambil maklum Laporan Ketua Audit Negara (LKAN 1/2026) yang terbaharu, yang mendedahkan kebimbangan berterusan berkaitan tadbir urus dan pengurusan kewangan merentasi institusi awam, entiti berkaitan kerajaan serta projek utama negara.
Secara keseluruhan, dapatan laporan menunjukkan kelemahan berulang merentasi kitaran audit yang berturut-turut. Antaranya termasuk jurang dalam pemantauan projek, kelewatan pelaporan kewangan oleh agensi awam, risiko tadbir urus dalam pelbagai anak syarikat serta kelemahan dalam mekanisme kebertanggungjawaban bagi inisiatif yang dibiayai menggunakan dana awam.
Salah satu contoh utama melibatkan projek MyDigital ID di bawah MIMOS Berhad, di mana audit mendapati kira-kira RM28.13 juta telah dibelanjakan tanpa pengesahan awal oleh jawatankuasa pemantauan projek yang ditetapkan. Perbelanjaan tersebut meliputi tempoh antara Disember 2023 hingga Mac 2025, dengan kelulusan diberikan secara retrospektif di luar struktur tadbir urus yang ditetapkan.
Audit turut merekodkan perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan serta penggunaan peruntukan pembangunan bagi tujuan operasi, yang bertentangan dengan garis panduan RMK-12 dan tujuan asal peruntukan tersebut. Dapatan ini menunjukkan kelemahan dalam kawalan dalaman dan pematuhan terhadap keperluan pengurusan kewangan. Pengaturan tadbir urus pada fasa awal projek didapati tidak berfungsi seperti yang dirancang, apabila proses pelaporan dan kelulusan rasmi telah diketepikan.
Laporan tersebut juga menyatakan bahawa 80 daripada 128 penyata kewangan yang diaudit memerlukan perhatian susulan berikutan kebimbangan berkaitan tadbir urus dan pemantauan. Selain itu, 24 daripada 42 anak syarikat di bawah lima agensi Persekutuan mencatatkan kerugian selama tiga tahun berturut-turut antara 2022 hingga 2024, dengan jumlah kerugian terkumpul sebanyak RM466.57 juta pada tahun 2024 sahaja. Walaupun sebahagiannya berpunca daripada pelarasan perakaunan, kerugian berterusan menunjukkan cabaran struktur dan komersial yang lebih mendalam dalam entiti berkaitan awam.
IDEAS mengalu-alukan usaha susulan kerajaan. Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 94.4 peratus isu audit telah diselesaikan, dengan RM316.68 juta berjaya dikumpulkan dan dikutip semula. Hal ini membuktikan bahawa penguatkuasaan berkesan apabila dilaksanakan secara konsisten.
Namun, dapatan berulang menunjukkan bahawa reformasi tidak boleh terhad kepada pembetulan selepas audit semata-mata. Tadbir urus pencegahan adalah amat penting. Entiti yang mengurus dana awam dalam jumlah besar, termasuk anak syarikat dan syarikat bertujuan khas, wajar mematuhi piawaian ketelusan dan pelaporan yang sama seperti agensi kerajaan teras, dengan garis masa yang jelas, kemas kini kemajuan yang boleh diukur serta pengawasan Parlimen yang lebih kukuh.
“Pemulihan kewangan selepas kerugian berlaku memang penting, namun ujian sebenar reformasi ialah sama ada kegagalan tadbir urus dapat dicegah sejak awal. Laporan Ketua Audit Negara seharusnya berfungsi sebagai sistem amaran awal. Tanpa kawalan pencegahan yang lebih kukuh, kebertanggungjawaban yang lebih jelas dan pemantauan berasaskan prestasi, kelemahan yang sama akan terus berulang,” kata Aira Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Global order stands on the brink