Ditulis oleh Ali Salman, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS
Versi asal dalam Bahasa Inggeris diterbitkan pada 3 April 2020
Ekonomi yang sebenar adalah jauh lebih kompleks daripada model dwi-ejen seperti yang diterangkan di dalam buku teks. Ekonomi berkembang dari masa ke masa, sebahagiannya secara spontan, sebahagian secara kreatif dan sebahagian lagi sebagai respon kepada sesuatu polisi. Ejen ekonomi yang secara individu memberi tindak balas kepada insentif akan mencipta, mengembangkan dan menutup perusahaan atas jangkaan mendapat keuntungan atau mengelakkan kerugian. Rangkaian perhubungan kompleks yang menghubungkan kilang dengan vendor, para pembekal, tenaga kerja, pemberi pinjaman, para pelabur, dan pemegang saham tidaklah berkembang dalam masa sehari serta bukan juga hasil dari satu perintah berpusat. Dalam ekonomi sebenar, wang tunai bukanlah segala-galanya, walaupun ia sentiasa satu talian hayat. Talian hayat itu ialah rangkaian transaksi-transaksi yang mewujudkan saling kebergantungan. Jika anda menyingkirkan semua transaksi tersebut, dan menawarkan wang tunai kepada kilang, kilang tidak akan mampu berfungsi dengan hanya wang tunai.
Wang tunai ialah pakej rangsangan. Manakala rangkaian firma perusahaan dan pelanggan pula membentuk transaksi dan urus niaga.
Kerajaan Malaysia telah menawarkan satu pakej rangsangan yang besar kepada industry perniagaan, bernilai lebih daripada USD 60 billion. Ini merupakan wang tunai, sama ada secara serta-merta mahupun dilewatkan pemberiannya. Sebahagian kecilnya ditawarkan dalam bentuk subsidi gaji manakala sebahagian yang lebih besar dalam bentuk pinjaman dan jaminan kredit. Pakej rangsangan ini berikutan daripada perintah sekatan yang dikenakan menghalang operasi perniagaan dilangsungkan kecuali perniagaan yang termasuk dalam senarai perkhidmatan-perkhidmatan penting. Ini merupakan tindakbalas kerajaan terhadap suatu kekacauan semulajadi. Ia juga turut mengganggu aturan spontan yang sebelumnya telah dikembangkan oleh firma-firma perniagaan dan pelanggan mereka.
Saya dimaklumkan bahawa kilang yang menghasilkan produk makanan termasuk dalam senarai perkhidmatan penting. Selain itu, kilang sarung tangan getah turut dimasukkan dalam senarai tersebut. Kedua-duanya bagaimana pun menghadapi kesukaran dan sudah berhenti beroperasi. Kilang-kilang berikut bergantung kepada para vendor mereka untuk bekalan bahan-bahan mentah dan pembungkusan, yang kerajaan telah senaraikan sebagai bukan perkhidmatan penting. Pengilang sarung tangan getah itu bergantung kepada bekalan getah yang termasuk dalam senarai bukan perkhidmatan penting. Kedua-duanya pula bergantung kepada lojistik yang juga termasuk dalam senarai bukan perkhidmatan penting, yang kini sudah pun dilonggarkan syaratnya. Dalam kedua-dua kes ini, urus niaga terpaksa dihentikan.
Kemungkinan besar kedua-dua jenis pengilangan, sama ada perkhidmatan penting atau pun bukan perkhidmatan penting, akan membuat rayuan kepada kerajaan memohon bantuan. Syarikat penerbangan tambang murah terbesar dunia, yang termasuk dalam senarai perkhidmatan penting, sudah memohon bantuan dari kerajaan. Perbezaan antara yang penting dan yang tidak penting akan menjadi tidak lagi relevan.
Jika niat asas pihak kerajaan adalah untuk membantu firma-firma yang terjejas disebabkan pandemik, ia tidak akan berjaya direalisasikan melalui tindakan sekarang. Kerajaan tidak akan mempunyai satu mekanisme yang boleh dipercayai untuk mendapatkan maklumat mengenai mereka. Pakej rangsangan kerajaan ini tidak akan mampu mencapai mereka semua mahu pun sebahagian besar daripada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. Wang tunai itu tidak akan mencukupi untuk memulihkan urus niaga. Kerajaan tidak boleh cuba menyelesaikan krisis ini dengan mengakibatkan krisis yang paling teruk.
Apa yang kerajaan perlu lakukan?
Jawapan ringkas saya ialah ‘kerajaan tidak perlu buat apa-apa’. Atau kerajaan tidak perlu mengambil sebarang tindakan sehinggalah semuanya selesai dan keadaan jelas pihak mana yang perlu di beri bantuan. Gerak hati saya mengatakan bahawa kebanyakan perniagaan akan mampu bertahan dan mengatasi krisis ini. Proses pembentukan perniagaan ini tidaklah semudah mekanisme buka dan tutup suis. Walau bagaimanapun, terlalu banyak tindakan yang tidak wajar oleh pihak kerajaan akan memberi isyarat yang salah. Akses kepada wang tunai (pakej rangsangan) akan turut dipengarungi oleh hubungan etnik dan politik. Kita akan dapat lihat firma-firma besar yang sudah kukuh dan beroperasi berdasarkan rizab simpanan yang banyak, akan memperoleh sebahagian besar manfaat pakej itu secara tidak seimbang. Firma-firma ini amat mengenali pemain utama dalam sektor kerajaan dan pinjaman perniagaan. Perniagaan kecil-kecilan akan rasa berbelah bahagi dan mungkin juga ditenggelami perniagaan yang lebih besar. Justeru, sesuatu pakej rangsangan itu tidak boleh dianggap sudah mencukupi kerana ia akan menimbulkan lebih jangkaan lain.
Sementara itu, kerajaan perlu melaburkan wang dalam sistem kesihatan yang lebih mustahak termasuklah keupayaan melakukan ujian yang mantap, inventori ventilator, pengasingan yang selamat, dan juga pusat kuarantin. Sehinggalah vaksin ini ditemui, tetapi sebelum itu kita haruslah bersedia menghadapi pandemik ini tanpa perlu menghentikan sebarang urus niaga. Pandemik ini sepatutnya tidak dijadikan alasan untuk kita menghadapi kemelesetan ekonomi dan perjuangan mengharungi krisis ini akan membolehkan lebih banyak perniagaan berjaya bertahan. Pembatalan sekatan berupaya memulihkan urus niaga, wang tunai pula sebaliknya.