Ditulis oleh Wan Ya Shin, Pengurus Penyelidikan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)
*Artikel ini ditulis sebelum kerajaan memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Terdapat 1.5 bilion orang pelajar daripada lebih 165 buah negara yang tidak dapat meneruskan persekolahan ekoran pandemik COVID-19 seperti yang telah diumumkan oleh UNESCO pada 26 Mac 2020. Malaysia adalah salah satu negara yang telah mengambil langkah menutup sekolah-sekolahnya. Semasa artikel ini ditulis, cuti sekolah di Malaysia telah disambung selama 3 minggu dan berkemungkinan akan dilanjutkan lagi.
Ada pelbagai kemungkinan senario yang akan berlaku selepas 14 April 2020 kelak. Pertama, perniagaan akan kembali normal seperti biasa, dan perniagaan dan sekolah akan dibuka semula. Kedua, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan. Ketiga, perniagaan dan persekolahan akan dibuka semula tetapi jika terdapat lonjakan dari segi bilangan kes jangkitan, PKP akan dilaksanakan semula. Dalam situasi sebegini, apakah yang akan berlaku kepada pendidikan anak-anak kita? Bagaimana dengan pembelajaran mereka?
Buat masa sekarang, para pelajar sekolah rendah dan menengah boleh mengakses pembelajaran atas talian di eduwebtv dan cikgootube. Bermula dari 6 April 2020, Kelas@Rumah akan ditayangkan di televisyen di saluran TV Okey pada pukul 9 pagi dan 1 tengah hari pada setiap hari. Para guru juga mempunyai akses tambahan kepada bahan-bahan latihan dan sokongan melalui platform seperti Portal e-Guru. Ibu bapa dan para pelajar pula boleh mengakses bahan-bahan tersebut melalui eduwebtv dan cikgootube.
Apakah antara cabaran pembelajaran sewaktu krisis ini?
i. Jurang digital
COVID-19 telah menzahirkan satu kelompongan besar dalam jurang digital yang wujud di antara para pelajar. Untuk mendapatkan pembelajaran atas talian melalui platform-platform ini, seseorang pelajar itu perlu mempunyai akses kepada platform tersebut.
Dari segi mengakses platform pembelajaran atas talian, seseorang itu memerlukan sambungan internet dan peranti seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar. Di kawasan bandar, terdapat aduan kanak-kanak terpaksa berkongsi peranti dan mereka tidak dapat menggunakan sepenuhnya pembelajaran atas talian disebabkan sambungan internet yang perlahan atau kekurangan peranti. Walau bagaimanapun, di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti kampung-kampung Orang Asal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sambungan internet pula terhad. Sehinggakan sesetengah kampung ada yang tidak mempunyai akses kepada tenaga elektrik, ataupun penggunaan yang cuma terhad pada waktu malam.
ii. Kurang kesiapsediaan digital
Krisis ini juga telah menunjukkan kekurangan sistem pendidikan kita dari segi kesiapsediaan digital. Kebanyakan negara di dunia yang sedang dalam proses penukaran pembelajaran dalam kelas kepada pembelajaran atas talian menghadapi perkara ini. Sebahagian besar guru ada yang kurang berkemahiran dengan teknologi dan mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan pembelajaran atas talian. Platform-platform atas talian ini dahulu hanya merupakan penambahan kepada pembelajaran dalam kelas. Kini, ia telah menjadi satu-satunya cara untuk mencapai dan mengajar para pelajar.
iii. Akses pelajar miskin kepada makanan di sekolah
Selain dari belajar, sekolah juga merupakan satu tempat untuk membekalkan makanan kepada para pelajar yang berasal daripada keluarga miskin. Semasa penutupan sekolah dan PKP, kanak-kanak ini lebih berisiko untuk kelaparan. Kehidupan keluarga miskin lebih tinggi kemungkinan untuk terjejas sepanjang PKP dan inilah masanya bantuan makanan sampai kepada keluarga-keluarga ini secepat mungkin, jika tidak kanak-kanak tersebut akan kelaparan.
iv. Kesihatan mental para pelajar
Salah satu daripada kesan-kesan yang tidak diingini sewaktu krisis ini ialah kesihatan mental kanak-kanak akan terjejas. Sebagaimana yang telah ditekankan oleh Rebecca Winthrop dalam artikelnya, terdapat keperluan untuk memberi sokongan kepada kanak-kanak dalam memastikan kesejahteraan mereka dan mengurangkan kebimbangan ketika waktu kecemasan. Kanak-kanak dihadkan untuk berada di dalam rumah sepanjang waktu ini, dan ialah merupakan suatu perkara yang normal untuk mereka merasa resah gelisah secara fizikal dan emosi. Justeru, amat penting untuk memastikan terdapat pelbagai strategi dalam membantu mereka menghadapi ‘kebiasaan baharu’ ini supaya mereka mampu meluahkan perasaan berkenaan pengalaman baharu ini.
Apakah antara perubahan yang perlu dilakukan?
#1 Tindak balas dasar pendidikan terhadap COVID-19 mestilah berpandangan jauh
Dasar pendidikan dan tindak balas terhadap COVID-19 harus berpandangan jauh, melangkaui PKP. Satu kertas kerja oleh UNICEF telah mempersoalkan konsep bahawa pendidikan pada waktu kecemasan ialah satu langkah sementara untuk kembali kepada kebiasaan. Respon dan langkah jangka pendek diperlukan untuk meneruskan pembelajaran atas talian tetapi perancangan jangka panjang pasca-PKP juga perlu ada. Terdapat keperluan untuk mempertimbangkan dasar-dasar pendidikan andaikata PKP dilanjutkan. Dasar pendidikan harus dipastikan agar kanak-kanak yang mudah terjejas seperti yang berasal dari keluarga miskin, kanak-kanak orang asli, dan kanak-kanak istimewa tidak dipinggirkan dari proses pembelajaran. Selain dari pembelajaran atas talian, satu perancangan pasca-PKP berkenaan bagaimana persekolahan akan diteruskan perlu dibentangkan. Seperti yang ditekankan oleh beberapa pihak, penjarakan sosial tetap perlu dilaksanakan.
#2 Penilaian semula objektif pendidikan dan perubahan ke arah melangkaui peperiksaan
Krisis COVID-19 ini telah menunjukkan kepada kita bahawa pendigitalan dan globalisasi telah mengakar dalam masyarakat. Apakah yang membezakan pelajar-pelajar dengan mesin? Jawapannya ialah keupayaan berfikir secara kritis, kreatif, dan memahami orang lain. Kaedah tradisional pembelajaran secara hafalan dan menjejalkan ilmu maklumat kerana peperiksaan tidak akan mempersiapkan para pelajar kita untuk pekerjaan masa hadapan. Krisis ini merupakan satu peluang kepada kita untuk muhasabah dan membuat perubahan pada sistem pendidikan kita.
#3 Sistem kesihatan awam tidak memuaskan
Pendidikan itu perlu berpaksi pada realiti kehidupan kanak-kanak. Pelbagai langkah yang baik sedang dilaksanakan untuk bertukar kepada pembelajaran atas talian. Walaupun begitu, pengajaran tentang pendidikan kesihatan awam masih kurang memuaskan terutamanya berkenaan COVID-19. Pendidikan mestilah mengenalpasti ‘kebiasaan baharu’ yang sedang dihadapi oleh kanak-kanak. Apakah yang sedang berlaku dan krisis COVID-19 ini berkisar tentang apa? Mengapakah mereka perlu berada di rumah? Apakah yang perlu mereka lakukan untuk mengurangkan risiko dijangkiti?
Apakah yang boleh dilakukan?
Seandainya Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan…
Hal ini bermaksud kanak-kanak perlu berada di rumah dalam jangka masa yang lebih lama. Ia memerlukan pertimbangan tentang bagaimana pembelajaran dari rumah perlu diteruskan. Jika PKP dilanjutkan, berapa lama tahun pengajian perlu dilanjutkan? Dalam kes Ebola, banyak sekolah terpaksa ditutup sekitar 5 hingga 9 bulan, ketika wabak tersebut meletus.
i. Pengedaran peranti dan meningkatkan akses kepada kelas atas talian
Agar jurang digital dapat dikurangkan, banyak negara telah mengambil langkah seperti mengedarkan peranti-peranti supaya akses kepada kelas atas talian ditingkatkan. Di Finland, beberapa negeri di China, dan Amerika Syarikat para pelajar dibenarkan meminjam peranti digital dari pihak sekolah untuk mengakses platform pembelajaran atas talian. Terdapat juga syarikat-syarikat swasta yang menyumbangkan peranti peranti kepada kanak-kanak yang memerlukan.
ii. Meluaskan capaian kepada para pelajar melalui televisyen
Satu lagi cara untuk meluaskan capaian pembelajaran digital ialah melalui televisyen. Penggunaan televisyen untuk menyiarkan pembelajaran perlu diperluaskan lagi. Berdasarkan Kaji Selidik Penggunaan ICT dan Akses Oleh Individu dan Isirumah 2018, isirumah yang mempunyai akses kepada televisyen ialah sebanyak 98.6% dan merupakan yang tertinggi antara peranti lain. Oleh itu, liputan kepada para pelajar melalui televisyen adalah lebih luas berbanding platform atas talian.
Pada waktu ini, Kelas@Rumah disiarkan dalam 2 slot berdurasi 1 jam setiap hari di Okey TV. Penyiaran ini boleh diperluaskan lagi supaya lebih banyak kelas dapat disediakan kepada kanak-kanak pelbagai umur dan sepanjang hari.
*Sumber: Jabatan Perangkaan, Malaysia
Seandainya sekolah dibuka semula…
Jika persekolahan disambung semula, pihak Kementerian Pelajaran perlu mempertimbangkan langkah-langkah untuk memastikan keselamatan dan penjarakan sosial di sekolah. Walaupun tidak ada arahan tegas mengenai berapa lama kita perlu mengamalkan penjarakan sosial, masih ada keperluan untuk melaksanakannya selepas PKP tamat.
Kebersihan dan sanitasi ialah isu yang amat penting yang perlu dipastikan apabila persekolahan dibuka semula. Peruntukan untuk sabun dan bahan pencuci yang mencukupi, di samping tandas dan sinki yang bersih, penting untuk memastikan para pelajar dilindungi daripada jangkitan di sekolah.
ii. Pelan pemantauan dan pencegahan
Satu pelan pemantauan dan pencegahan haruslah dirancang, diselaras, dan dilaksanakan untuk memastikan pihak pentadbiran dan para guru di semua sekolah cakna akan garis panduan bagaimana untuk mencegah dan bertindak ke atas kes jangkitan di sekolah. Langkah-langkah seperti mengambil suhu badan dan memastikan semua pelajar mencuci tangan dengan kerap amatlah diperlukan.
Selain itu, satu pelan kecemasan atau krisis perlu direncana untuk memastikan sistem pendidikan dapat disesuaikan dan memberi respon kepada krisis dan kecemasan pada masa hadapan. Persediaan untuk pendigitalan perlu dilancarkan segera untuk memastikan platform itu mampu menyediakan pembelajaran atas talian yang berkesan dan tersusun kepada semua pelajar jika gelombang baharu pandemik melanda.
iii. Meluaskan liputan akses digital termasuk semua kanak-kanak di Malaysia
Berdasarkan carta di atas, ia menunjukkan bahawa walaupun pembelajaran disiarkan di kaca televisyen, yang dipunyai oleh sebilangan besar isi rumah, masih ada kanak-kanak yang akan ketinggalan jika sekolah ditutup. 1.4% isi rumah tidak mempunyai akses kepada televisyen. 13% isi rumah tidak mempunyai akses kepada internet.
Berdasarkan kepada Kaji Selidik Pendapatan Isi Rumah 2016, terdapat 0.3% isi rumah di luar bandar yang tidak mempunyai akses kepada tenaga elektrik. Kanak-kanak yang tinggal di dalam rumah yang tidak mempunyai elektrik tidak akan mampu mengakses platform pembelajaran atas talian serta tidak akan dapat menonton pembelajaran yang disiarkan di televisyen. Oleh itu, lebih banyak pembangunan dan langkah-langkah jangka panjang perlu dilakukan agar pelbagai komuniti dapat dipastikan mendapat akses kepada segala keperluan seperti tenaga elektrik, air dan kebersihan, internet dan jalan raya.
Pandemik COVID-19 ini amat mengejutkan kita. Ia merupakan satu “kebiasaan baharu” kepada kita semua, termasuklah kanak-kanak. Sistem pendidikan kita perlukan perubahan seiring dengan “kebiasaan baharu” ini. Kita tidak perlu merenung kembali adakah kita tidak bersedia menghadapi pandemik ini, sebaliknya kita perlu mencari tindakan dan penyelesaian yang kreatif yang diperlukan untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan “kebiasaan baharu” ini dan masa hadapan. Walaupun kita tidak ada penyelesaian dan dasar yang sempurna, kita harus mencuba sehabis baik. Kita wajib melindungi pendidikan dan masa hadapan anak-anak kita sewaktu krisis COVID-19 ini.
Artikel ini ditulis pada 8 April 2020.
Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan; kakitangan kesihatan, pemandu ambulan, tukang cuci hospital, polis dan semua yang berjuang melawan COVID-19. Andalah wira kami semua.