KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2024 – Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia, yang disambut pada 9 Ogos, menekankan keperluan mendesak untuk kita menangani cabaran pendidikan yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli di Malaysia. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, kita masih melihat bahawa pelajar Orang Asli terus menghadapi halangan besar dalam mendapatkan pendidikan berkualiti, yang memberi kesan serius terhadap kemajuan akademik dan kesejahteraan mereka secara keseluruhan.
Komuniti Rintis Pendidikan Orang Asli yang diterajui oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan disokong oleh Yayasan Sime Darby (YSD), ingin menarik perhatian umum terhadap isu berikut yang kini dihadapi oleh komuniti Orang Asli di Malaysia:
Kurikulum Pendidikan Terangkum
Kurikulum pendidikan semasa gagal mencerminkan kehidupan dan pengalaman komuniti Orang Asli, yang membawa kepada ketidaksinambungan antara apa yang diajar dengan realiti pelajar ini. Kekurangan representasi ini meminggirkan pelajar Orang Asli dan menghalang penglibatan serta kejayaan akademik mereka. Kurikulum, termasuk kandungan pembelajaran dan penilaian, mesti merangkumi konteks dan budaya unik komuniti Orang Asli, menyokong kemajuan pendidikan mereka sambil menghormati dan mengekalkan identiti budaya mereka.
Tumpuan dan usaha harus diberikan kepada suara Orang Asli dan menghapuskan halangan kepada pembelajaran terangkum. Proses yang kompleks ini memerlukan kerjasama strategik dan penciptaan bersama dalam kalangan pihak berkepentingan. Dengan mengintegrasikan pengalaman Orang Asli, kita dapat mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih terangkum dan menyokong yang menghargai kepelbagaian latar belakang.
Kejelasan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134)
Beberapa seksyen dalam Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) kurang jelas, yang mewujudkan cabaran besar bagi komuniti Orang Asli. Sebagai contoh, ketiadaan definisi yang tepat untuk ‘memudaratkan’ dalam Seksyen 15(1) membuka ruang kepada tafsiran dan penyalahgunaan secara sewenang-wenangnya. Begitu juga, kekaburan Seksyen 14(1) dalam mendefinisikan ‘kebajikan’ dengan cara yang selaras dengan nilai budaya dan komuniti Orang Asli.
Perlu ada pemahaman yang lebih mendalam tentang apa yang dimaksudkan sebagai Orang Asli bagi semua komuniti Orang Asli di Malaysia hari ini, supaya peruntukan dalam Akta ini lebih mencerminkan suara dan keperluan semasa Orang Asli. Kekaburan ini, serta sifat lapuk Akta tersebut, menghalang usaha untuk memastikan bahawa komuniti Orang Asli menerima perlindungan dan sokongan yang sewajarnya. Mengemas kini peruntukan ini adalah penting untuk melindungi hak mereka dan meningkatkan kualiti hidup mereka.
Kekaburan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) dalam Melaksanakan Program dengan Komuniti Orang Asli
Terdapat keperluan mendesak untuk Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang konsisten di peringkat persekutuan dan negeri, terutamanya antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kekurangan kejelasan telah menghalang keberkesanan pelaksanaan program yang bertujuan untuk pemberdayaan pelajar Orang Asli.
Isu Capaian Data
Capaian kepada data yang menyeluruh dan tepat mengenai laluan pendidikan pelajar Orang Asli adalah penting. Hal ini termasuk maklumat tentang laluan selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), pilihan pendidikan menengah atas selepas Tingkatan 3, dan keputusan pencapaian pendidikan. Penghentian penilaian formal seperti UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) telah menjejaskan lagi pemahaman terhadap kemajuan akademik pelajar Orang Asli. Kami berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh bekerjasama secara terbuka dengan rakan kongsi luar untuk meningkatkan penilaian prestasi akademik dan memberikan kejelasan tentang data untuk menilai kedua-dua program semasa dan yang terdahulu. Asas kerjasama ini perlu dibina atas dasar matlamat bersama yang jelas, dengan pengiktirafan terhadap peranan dan kebertanggungjawaban pelbagai pihak berkepentingan.
Lebih Kebertanggungjawaban melalui Pemberdayaan Ibu Bapa
Memberdayakan ibu bapa Orang Asli untuk memberikan maklum balas mengenai dasar dan program pendidikan adalah penting untuk meningkatkan kebertanggungjawaban. Mewujudkan platform untuk suara Orang Asli didengari dalam proses membuat keputusan akan meningkatkan perkaitan dan keberkesanan inisiatif pendidikan. Ibu bapa, sebagai penyampai pengetahuan, memainkan peranan penting dalam menggerakkan pengetahuan Orang Asli. Penglibatan mereka dalam kandungan pembelajaran, berdasarkan pengetahuan asli mereka tentang hutan, kelestarian, dan alam semula jadi, adalah sangat berharga.
Sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2024, adalah penting hak Orang Asli, khususnya dalam pendidikan, dihormati dan dilindungi. Kami menyeru tindakan segera daripada semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan kanak-kanak Orang Asli menerima pendidikan berkualiti selayaknya, selaras dengan konteks dan keperluan budaya mereka.
— TAMAT —
Komuniti Rintis Pendidikan Orang Asli, yang mana IDEAS berperanan sebagai Sekretariat, adalah sebuah gabungan organisasi yang berdedikasi untuk memajukan kesaksamaan pendidikan dan meningkatkan kehidupan komuniti Orang Asli. Rangkaian ini bertujuan membina kerjasama yang mampan untuk memperkukuh pendidikan Orang Asli demi masa depan yang lebih baik bagi anak-anak Orang Asli di Malaysia. Inisiatif Komuniti Rintis Pendidikan Orang Asli ini disokong oleh Yayasan Sime Darby.
Kenyataan media ini disokong oleh:
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my