Publications > Media Statements

IDEAS sokong seruan SPRM ahli politik laporkan sogokan lompat parti

Kuala Lumpur, 16 Mac 2021 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyeru ahli politik untuk melaporkan sogokan lompat parti.

“Kekerapan aktiviti lompat parti, terutamanya pasca-Langkah Sheraton merupakan satu kebimbangan yang serius dan semakin menghakis kepercayaan awam terhadap kerajaan. Kebimbangan SPRM mengenai hal ini dan kemungkinan berlaku perbuatan rasuah amat berasas”, ulas Aira Azhari, Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus IDEAS.

“Namun, perbuatan bertukar-tukar parti itu tidak sepatutnya dihukum. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin rakyat Malaysia kebebasan untuk berpersatuan, merangkumi hak untuk terlibat atau mengambil bahagian dalam parti politik atau sebarang persatuan, dan perkara ini harus dihormati.”

“Amat mustahak untuk mengakui bahawa bukan semua individu yang membuat keputusan untuk menukar parti disebabkan alasan yang salah. Pertentangan pendapat dengan kepimpinan parti merupakan satu proses normal dalam satu sistem demokrasi yang berfungsi.”

“Walaupun begitu, perbuatan memberi rasuah dalam usaha untuk mengumpan ahli politik meninggalkan parti politik mereka perlu dihukum, yang merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 21 Akta SPRM, ‘penyogokan pegawai badan awam’ dan harus disiasat dengan teliti. Jika amalan ini menjadi kebiasaan serta tidak dikenakan hukuman, perkara ini akan menjadi sesuatu yang normal bagi ahli politik untuk beralih pihak demi keuntungan wang peribadi.”

Undang-undang anti lompat parti sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan kerana bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Satu mekanisme alternatif yang diamalkan negara lain, juga dicadangkan oleh BERSIH 2.0, ialah mengadakan pilihan raya semula. Mekanisme ini membenarkan para pengundi kawasan pilihan raya untuk menarik balik mandat mereka dalam satu lagi pilihan raya jika tidak berpuasa hati terhadap wakil rakyat semasa. Satu pilihan raya kecil akan diadakan untuk mengisi kekosongan tersebut, tetapi BERSIH mencadangkan petisyen untuk mengadakan pilihan raya semula tersebut harus terlebih dahulu mengumpulkan tandatangan pengundi berdaftar yang mencukupi.

Aira menyimpulkan, “IDEAS percaya bahawa mengguna pakai mekanisme pilihan raya semula akan memperkasa rakyat Malaysia dalam proses membuat keputusan supaya keputusan dapat dikembalikan kepada para pengundi secara sah.

“Pada masa yang sama, masyarakat sivil akan terus memastikan para ahli politik bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan mereka. Rasuah dan juga sebarang bentuk sogokan kebendaan perlu dibantah pada setiap masa bagi memastikan ahli politik sentiasa diawasi.”

— TAMAT —

Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di  sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Amir Ridzuan Jamaludin, Penolong Pengurus, Perhubungan Luar

T: +603 2070 8881/8882 E: amir@ideas.org.my

Aira Azhari, Pengurus, Unit Demokrasi dan Tadbir Urus

T: +603 2070 8881/8882 E: aira@ideas.org.my

2021-03-16T18:21:06+08:00 16th March 2021|Media Statements|Comments Off on IDEAS sokong seruan SPRM ahli politik laporkan sogokan lompat parti