Kuala Lumpur, 14 Februari 2025: Institut untuk Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyambut baik usaha kerajaan untuk memberi hak kepada golongan pelarian yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR). Hal ini berikutan kenyataan yang diutarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam jawapan bertulis beliau di parlimen semalam.
Keputusan ini adalah langkah penting untuk menggalakkan ekonomi yang lebih inklusif, mengurangkan kebergantungan terhadap buruh tidak formal, serta mempromosikan pendekatan yang lebih berstruktur dan berasaskan hak dalam pengurusan pelarian di Malaysia. Usaha kerajaan dalam memperhalusi dasar ini perlu mengutamakan formulasi yang jelas, telus serta garis panduan yang boleh diikuti. Bagi mengatasi isu kekurangan pekerja, penglibatan golongan pelarian dapat memanfaatkan sektor ekonomi negara serta memastikan perlindungan dan kondisi pekerjaan terjamin.
Kajian IDEAS pada 2019 dalam laporan, Economic Impact of Granting Refugees in Malaysia the Right to Work juga menggariskan manfaat ekonomi yang signifikan apabila golongan pelarian diberikan hak untuk bekerja secara sah dan selain itu, tambahan sebanyak 4,000 pekerjaan dapat diberikan kepada rakyat Malaysia. Unjuran yang dilakukan juga menunjukkan kenaikan kepada sumbangan KDNK sebanyak RM6.5 billion mencecah 2040 apabila golongan pelarian diberikan akses yang sama rata terhadap pendidikan. Dalam pada itu, sumbangan cukai juga mampu melepasi RM250 juta setiap tahun. Sumbangan cukai ini sahaja dijangka melepasi jumlah RM50 juta setiap tahun lantas mampu memperkuatkan aliran keuntungan negara.
Bagi memaksimumkan faedah-faedah ini, laporan kami juga mengesyorkan kerajaan untuk melaksanakan sebuah rangka kerja yang komprehensif bagi memudahkan kemasukan pelarian dalam sektor pekerjaan sekaligus menjamin kedudukan sektor pekerjaan rakyat tempatan.
Antara perkara yang disyorkan adalah seperti berikut:
Dengan pelaksanaan langkah-langkah demikian, Malaysia mampu memenuhi potensi ekonomi untuk golongan pelarian, menjana kemajuan yang mampan dan juga sektor pekerjaan yang lebih inklusif.
IDEAS juga mengalu-alukan kolaborasi bersama UNHCR dan TNG Digital Sdn Bhd yang membenarkan para pelarian untuk mengakses aplikasi Touch n Go e-wallet. Inisiatif ini secara langsung dapat mengatasi salah satu halangan pengurusan kewangan, mempromosikan pemerkasaan ekonomi dan keterangkuman digital di kala Malaysia melalui transisi kepada masyarakat yang bebas tunai.
Aira Azhari, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, menekankan potensi dasar ini dalam mencipta peluang ekonomi baharu sambil menegakkan komitmen kemanusiaan. “Pemberian hak pekerjaan secara sah kepada golongan pelarian adalah satu langkah signifikan untuk memperkasa kedudukan mereka sambil menyumbang kepada ekonomi negara. Sebuah sistem yang dipantau dengan baik boleh menyelesaikan pelbagai kerisauan tentang isu kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat serta mengurangkan kes eksploitasi memberi kesan terburuk kepada golongan pelarian. Seramai 192,240 pelarian yang berada di Malaysia kini wujud dalam kelompongan undang-undang, sekaligus menjejaskan lagi posisi mereka yang sudah rentan. Justeru, memberi hak pekerjaan secara sah adalah langkah yang dialu-alukan bagi memperbaiki situasi ini,” menurut Aira.
IDEAS menyeru pihak kerajaan untuk memastikan cadangan ini dapat diterjemahkan dalam sebuah rangka kerja yang jelas dan boleh dilaksanakan. Untuk menyokong usaha ini, IDEAS sentiasa bersedia untuk berkolaborasi dengan mana-mana pihak berkepentingan utama untuk memudahkan pelaksanaan rangka kerja yang dipersetujui.
Untuk ketahui dengan lebih lanjut, baca laporan kami: Economic Impact of Granting Refugees in Malaysia the Right to Work – https://www.ideas.org.my/publications-item/policy-paper-no-60-economic-impact-of-granting-refugees-in-malaysia-the-right-to-work/
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my