Kuala Lumpur, 22 Julai 2022 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) pada hari ini telah melancarkan Malaysia Open Budget Index (MyOBI) untuk mempromosikan ketelusan belanjawan pada peringkat negeri di Malaysia. MyOBI merupakan satu indeks untuk menentukan tahap ketelusan belanjawan kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia. Penilaian ini dibentuk berdasarkan piawaian yang ditetapkan dalam Tinjauan Belanjawan Terbuka (Open Budget Survey, OBS), satu penilaian antarabangsa berasaskan fakta untuk mengukur ketelusan belanjawan.
“MyOBI merupakan satu inisiatif IDEAS untuk mewujudkan permintaan kebertanggungjawaban yang lebih baik pada peringkat negeri dengan mengukur tahap ketelusan belanjawan yang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan negeri. Ketelusan amat penting terhadap kerajaan negeri kerana mereka menyediakan kemudahan-kemudahan penting, perkhidmatan awam, dan rangsangan kepada pembangunan ekonomi pada peringkat tempatan. Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui cara kerajaan negeri memperuntukkan dan membelanjakan sumber awam. MyOBI memberikan kefahaman tentang kerajaan negeri manakah yang telah melakukan yang terbaik dalam mengamalkan ketelusan. IDEAS tidak melakukan penilaian ini bersendirian; kami telah bekerjasama dengan beberapa organisasi masyarakat sivil dan individu-individu berfikiran sivik untuk menjalankan dan menyemak penilaian tersebut dan kami ingin berterima kasih kepada mereka atas kerja keras mereka sepanjang lapan bulan belakangan ini,” kata Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
MyOBI menilai ketersediaan awam dokumen belanjawan dan kualiti mekanisme penyeliaan proses belanjawan. Untuk mengukur ketersediaan awam, MyOBI menilai penerbitan empat jenis dokumen belanjawan utama dan tahap perincian yang diberikan dalam anggaran pendapatan dan perbelanjaan. Dokumen-dokumen belanjawan harus tersedia secara percuma dalam talian atau disediakan atas permintaan untuk dikira memenuhi penanda aras. Untuk mengukur kualiti penyeliaan, MyOBI menilai penglibatan Dewan Undangan negeri (DUN) termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) dalam menilai dokumen belanjawan.
Dapatan menunjukkan hanya negeri Terengganu yang menerbitkan kesemua empat dokumen belanjawan dan memberikan butiran terperinci dalam anggaran perbelanjaan dan hasil. Lima negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Johor dan Sabah – telah menerbitkan tiga jenis dokumen belanjawan penting, tetapi tidak memberikan tahap perincian yang sama seperti Terengganu dalam anggaran perbelanjaan dan hasil mereka. Baki tujuh negeri lain telah menerbitkan hanya satu atau dua jenis dokumen belanjawan. Negeri-negeri yang menunjukkan prestasi paling lemah dalam ketersediaan awam tidak menyediakan sepenuhnya Cadangan Belanjawan Eksekutif (executive budget proposal, EBP), iaitu satu dokumen belanjawan kritikal yang mengandungi ucapan belanjawan, anggaran perbelanjaan dan hasil, serta rang undang-undang perbekalan. EBP merangkumi sebahagian besar pemberat dalam pemarkahan ketersediaan awam.
Dapatan juga menunjukkan bahawa tahap penyeliaan oleh DUN adalah rendah. DUN dalam sebahagian besar negeri hanya membincangkan belanjawan satu bulan sebelum permulaan tahun belanjawan. Penyeliaan oleh PAC dalam negeri sebahagian besarnya tidak dilaporkan, dengan Selangor satu-satunya negeri yang menerbitkan laporan mesyuarat yang dijalankan oleh PAC secara dalam talian. Tambahan pula, DUN hanya mempunyai jumlah hari bersidang yang amat sedikit, dan hanya tujuh buah negeri yang menerbitkan Penyata Rasmi (Hansard). Negeri-negeri yang menunjukkan prestasi lemah pula tidak mempunyai Hansard, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang, mahupun masa yang mencukupi untuk membincangkan belanjawan sebelum tahun belanjawan bermula.
“Kami berharap penerbitan MyOBI ini akan menggalakkan kerajaan negeri untuk menerbitkan dokumen belanjawan dalam talian dan menggalakkan masyarakat awam untuk menyemak serta membaca dokumen-dokumen tersebut. Kita memerlukan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan masyarakat awam untuk memainkan peranan masing-masing dalam memastikan sumber awam diperuntukkan dan dibelanjakan dengan berkesan dan cekap agar kebertanggungjawaban demokrasi berjaya dilaksanakan. Untuk negeri-negeri yang menunjukkan dapatan yang menggalakkan, kami berharap amalan sebegini akan berterusan dan ditambah baik pada masa hadapan. MyOBI hanya menjejaki ketersediaan awam untuk empat dokumen belanjawan dan memperincikan sebahagian kecil maklumat dalam dokumen tersebut. Menurut amalan terbaik antarabangsa, terdapat empat lagi jenis dokumen belanjawan yang boleh diterbitkan oleh kerajaan negeri untuk memaklumkan masyarakat awam tentang aktiviti belanjawan mereka,” ulas Sri Murniati Yusuf, Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS.
“Satu lagi pembaharuan yang kami harap dapat dilihat hasil daripada penerbitan ini adalah penambahbaikan kapasiti pengawalseliaan oleh DUN. Jumlah hari bersidang perlu ditambah untuk memudahkan pengawalseliaan yang lebih berkesan. PAC perlu mempunyai lebih banyak sesi mesyuarat dan menerbitkan laporan mereka di laman sesawang DUN. Malah, menerbitkan dokumen ini serta dokumen-dokumen berkaitan lain seperti Hansard dan laporan di laman sesawang DUN adalah perkara yang paling mudah dilakukan untuk pembaharuan yang boleh dijalankan oleh pihak kerajaan kerana semua DUN sudah mempunyai laman sesawang masing-masing.”
Disebabkan ini adalah penilaian yang pertama, kami mengalu-alukan maklumat dan maklum balas untuk penambahbaikan. Kami berharap dapat melaksanakan penilaian ini dengan lebih kerap pada masa hadapan untuk mengukuhkan kebertanggungjawaban demokrasi di Malaysia,” kata Sri Murniati.
IDEAS pada hari ini juga telah melancarkan satu lagi inisiatif ketelusan iaitu Pantau Projek (Project Monitor). Pantau Projek menilai kebolehcapaian data dan ketelusan maklumat projek-projek prasarana oleh kerajaan negeri di Malaysia. Untuk penilaian rintis ini, 14 projek di tujuh buah negeri telah dinilai. Melalui Pantau Projek, IDEAS berharap untuk meningkatkan kesedaran awam dalam memantau penggunaan sumber awam, disamping memberikan satu penanda aras kepada kerajaan negeri untuk pendedahan maklumat mengenai projek-projek prasarana. Dapatan Pantau Projek menunjukkan bahawa kerajaan negeri menggunakan media untuk melibatkan masyarakat awam dalam projek-projek utama, tetapi maklumat penting untuk kebertanggungjawaban tidak selalu didedahkan, seperti maklumat tentang kos sebenar pelaksanaan berbanding kos yang dianggarkan, dan proses perolehan untuk projek yang telah dilaksanakan.
MyOBI dan Pantau Projek merupakan inisiatif advokasi sivik oleh IDEAS. Kami bekerjasama dengan organisasi masyarakat sivil dan individu-individu berfikiran sivik untuk menjalankan kajian dan penilaian. IDEAS ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kongsi kajian untuk masa dan sokongan yang diberikan terhadap inisiatif ini. Pemarkahan MyOBI dan Pantau Projek untuk setiap negeri boleh didapati di laman sesawang Pantau Wang Kita yang baru dilancarkan.
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Alissa Rode, Pengurus Unit Kewangan Awam
T: +603 2070 8881/8882 | E: Alissa@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my