Kuala Lumpur, 22 November 2024: Susulan pertuduhan rasuah yang melibatkan Ketua Menteri Sabah berserta beberapa orang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) mengikut pendedahan seorang pemberi maklumat baru-baru ini, terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi yang menyeluruh, bermula dengan pelaksanaan segera Akta Pendanaan Politik, menurut satu gabungan organisasi masyarakat sivil (CSO).
Pendedahan oleh pemberi maklumat tersebut menuduh Ketua Menteri Sabah, melalui Lembaga Pengarah Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd, telah mengarahkan para kontraktor yang memegang lesen prospek untuk melakukan penerokaan di kawasan baharu selepas pelaburan wang dan masa yang besar dilakukan, kononnya atas sebab bantahan oleh kontraktor yang lain. Tambahan lagi, sebuah video yang menunjukkan ADUN membincangkan rasuah dari beberapa ahli perniagaan tertentu telah tersebar.
Insiden ini memperlihatkan masalah sistemik yang mendalam apabila ahli politik dan wakil rakyat sering kali didapati bergantung kepada sumbangan kewangan daripada entiti swasta lalu memudaratkan integriti mereka. Sebuah Akta Pendanaan Politik yang menyeluruh, termasuklah mewajibkan pemantauan bebas terhadap penyata kewangan yang telah diaudit dan menggabungkan peruntukan dana awam akan menjamin ketelusan serta kebertanggungjawaban yang lebih baik, lalu mengurangkan kebergantungan terhadap sumbangan daripada sektor perniagaan.
Kes ini juga menekankan sifat saling terkait dalam reformasi institusi. Antara langkah utama termasuklah mengukuhkan kebebasan SPRM, mempertingkatkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, memperkenalkan ketelusan dalam pemilikan benefisial, menguatkuasakan sebuah undang-undang pengisytiharan harta, serta melaksanakan reformasi terhadap peruntukan pembangunan kawasan (CDF). Persekitaran media yang bebas dan dilindungi juga penting bagi memastikan wartawan bebas melaporkan sebarang salah laku tanpa perlu rasa takut akan diambil tindakan.
Reformasi secara terasing sahaja tidak mencukupi. Proses ini perlu berjalan secara serentak bagi mewujudkan sebuah rangka kerja yang teguh demi demokrasi. Misalnya, Akta Pendanaan Politik tidak akan berkesan sekiranya pemberi maklumat tidak diberi perlindungan atau agensi penguatkuasa seperti SPRM tergugat kedudukannya. Pada masa yang sama, menghalang campur tangan politik di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) adalah sangat mustahak bagi menjaga kepentingan awam dan mengekalkan prinsip ketelusan di peringkat negeri dan pusat. IDEAS juga mendokong akan kepentingan untuk GLC dan GLIC, baik di peringkat negeri mahupun pusat supaya melakukan operasi secara telus dan sejajar dengan matlamat ekonomi dan kebajikan awam di Malaysia.
Kami amat bimbang melihat cubaan menyekat liputan media terhadap kes ini apabila kebebasan media adalah tunjang utama dalam sesebuah demokrasi. Undang-undang melindungi wartawan dan menggalakkan sebuah persekitaran media terbuka adalah penting bagi meletakkan kebertanggungjawaban ke atas mereka yang memegang kuasa. Kami menggesa pihak berkuasa untuk melakukan siasatan menyeluruh dalam semua aspek dan mengemas kini maklumat semasa kepada orang awam bagi menjamin kedaulatan, keadilan dan kesaksamaan undang-undang negara. Keadilan bukan sahaja perlu diperjuangkan tetapi perlu dilihat dilaksanakan demi melindungi kemurnian institusi undang-undang di Malaysia.
— TAMAT —
CSO dan individu yang menyokong kenyataan ini adalah:
- The Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
- National Human Rights Society (HAKAM)
- Rasuah Busters
- BERSIH
- Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA)
- Engage
- Maha Balakrishnan
- Dr Tricia Yeoh
- Andrew Khoo
- Agora Society
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Will KL have an elected mayor?