Pemindahan fiskal yang adil

Pemindahan fiskal yang adil

Ditulis oleh YAM Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Presiden Pengasas, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Dengan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal menjelang dan pelbagai pihak berkepentingan terus mengeluarkan kenyataan mengenai apa yang wajar atau tidak wajar berlaku di negeri masing-masing, isu berkaitan autonomi negeri dalam sistem persekutuan Malaysia yang pelbagai terus menjadi antara topik utama dalam perbahasan dasar awam negara.

Rakan sekerja saya di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah lama mengkaji isu desentralisasi, daripada meneliti pelbagai pilihan yang tersedia kepada kerajaan negeri untuk menjana hasil sendiri hinggalah menyusun penarafan ketelusan belanjawan bagi ke 13 kerajaan negeri.

Penarafan ini khususnya mendapat perhatian meluas daripada media, malah daripada menteri besar dan ketua menteri sendiri. Semua mahu mencatat prestasi baik, namun tiada hubungan jelas berdasarkan parti politik yang memerintah. Hal ini menunjukkan bahawa tadbir urus baik lebih bergantung kepada kualiti kepimpinan individu berbanding disiplin parti semata-mata.

Dalam Kertas Dasar No. 91, Pemindahan Fiskal Persekutuan dan Kapasiti Fiskal di Malaysia: Analisis Penyamarataan Antara Negeri, penulis Nor Nazirah Mohamed, Zheng Sheng Lew dan Nurul Aqila Abdul Hadi menjelaskan bahawa sistem fiskal persekutuan Malaysia memberikan kuasa yang amat luas kepada kerajaan Persekutuan untuk memungut hasil, manakala kuasa kerajaan negeri untuk mengenakan cukai dan membuat pinjaman pula sangat terhad.

Cara kerajaan Persekutuan melaksanakan kuasa tersebut turut menyebabkan kuasa kewangan semakin tertumpu di peringkat Pusat, sekali gus mewujudkan jurang kewangan yang besar antara tanggungjawab perbelanjaan kerajaan negeri dengan kemampuan mereka menjana hasil sendiri.

Pemindahan hasil daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri sepatutnya berfungsi untuk menampung jurang kewangan tersebut iaitu kekurangan dari segi hasil dan perbelanjaan yang dihadapi oleh semua negeri, di samping mengambil kira perbezaan keadaan antara negeri-negeri.

Pemindahan ini sewajarnya mengimbangi batasan undang-undang yang dikenakan terhadap keupayaan negeri menjana hasil, sambil memberikan sokongan tambahan kepada negeri yang mempunyai keupayaan hasil yang lebih rendah serta keperluan pembangunan ekonomi yang lebih besar.

Namun, sama ada pemindahan fiskal ini benar-benar melaksanakan fungsi ‘penyamarataan’ iaitu memperuntukkan lebih banyak dana kepada negeri yang kurang membangun dan mempunyai kapasiti menjana hasil yang lebih rendah, masih belum banyak dikaji.

Sehingga kini, peruntukan antara negeri di Malaysia belum dinilai secara empirikal berdasarkan objektif penyamaan tersebut.

Melalui kertas dasar ini, para penulis menilai secara empirikal agihan pemindahan fiskal per kapita mengikut negeri berdasarkan pelbagai petunjuk kapasiti fiskal dan sumber fiskal, termasuk saiz ekonomi, pendapatan isi rumah dan struktur ekonomi.

Empat dapatan utama kajian ini adalah seperti berikut:

  1. Pemindahan fiskal antara kerajaan di Malaysia didapati tidak banyak membantu mengurangkan jurang keupayaan menjana hasil dan jurang ekonomi antara negeri. Lebih membimbangkan, sistem fiskal Malaysia yang sangat berpusat didapati tidak cukup disasarkan bagi mengagihkan dana mengikut keperluan pembangunan ekonomi negeri-negeri.<.li>
  2. Ketidakpadanan struktur antara tanggungjawab perbelanjaan negeri dengan keupayaan terhad untuk menjana hasil adalah paling ketara di Terengganu, Perlis dan Kelantan, di mana hasil sendiri sebagai peratusan daripada perbelanjaan adalah kurang daripada 50 peratus. Pada masa sama, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Perak merupakan negeri yang paling bergantung kepada pemindahan fiskal, dengan lebih 70 peratus daripada hasil negeri datang daripada pemindahan tersebut.
  3. Pengagihan pemindahan fiskal Persekutuan tidak diselaraskan secara sistematik dengan kapasiti fiskal sebenar negeri. Sebagai contoh, Kelantan dan Kedah menerima pemindahan fiskal lebih rendah daripada jangkaan berdasarkan kapasiti fiskal mereka yang rendah, manakala Sarawak menerima pemindahan per kapita yang jauh lebih tinggi daripada apa yang sepatutnya berbanding kekuatan ekonominya.
  4. Malaysia memerlukan satu model pemindahan fiskal yang lebih menyeluruh, telus dan berasaskan keperluan dengan mengambil kira tekanan demografi, tahap pembangunan ekonomi serta keperluan penyampaian perkhidmatan yang khusus mengikut lokasi. Sekiranya usaha menambah baik pengumpulan data dan memperkukuh sasaran pemindahan fiskal berasaskan bukti terus diabaikan, jurang antara negeri akan terus berkekalan dan semakin melebar, sekali gus bertentangan dengan semangat sebuah negara persekutuan.

Pertimbangan politik

Secara keseluruhannya, hasil kajian ini mengukuhkan apa yang telah lama dipercayai oleh ramai rakyat Malaysia iaitu kerajaan Persekutuan cenderung memberikan layanan yang memihak kepada sesetengah negeri dengan cara tidak konsisten dan tidak adil.

Dalam sesetengah keadaan, pemindahan fiskal didorong oleh pertimbangan politik pilihan raya. Sebagai contoh, apabila PRN semakin hampir, projek-projek pembangunan berskala besar tiba-tiba diumumkan. Saya sendiri pernah melihat keadaan di mana seorang menteri mahu memastikan kawasannya mendapat lebih banyak manfaat sehingga sanggup mengalihkan projek yang telah diluluskan oleh pendahulunya.

Bagaimanapun, tidak semua keadaan bersifat sedemikian. Ada kalanya pakar benar-benar percaya bahawa pemindahan fiskal tambahan kepada sesebuah negeri mampu memberikan manfaat jangka panjang yang mampan kepada negara secara keseluruhan, khususnya jika negeri tersebut mempunyai faktor geografi yang unik.

Mungkin pertimbangan seperti inilah yang turut mempengaruhi pemikiran di sebalik penggubalan undang-undang yang menubuhkan PETRONAS. Namun, seperti yang dapat kita lihat, perkara itu sama sekali tidak menghalang timbulnya kritikan serta cadangan alternatif mengenai cara hasil petroleum patut diagihkan.

Selain itu, rasa bangga terhadap negeri sendiri sememangnya akan mendorong pemimpin memberikan perhatian dan layanan istimewa kepada negeri asal mereka. Malah, inilah antara keunikan sistem persekutuan Malaysia yang akhirnya membolehkan rakyat menghargai budaya dan makanan dari negeri-negeri lain, bukan sekadar negeri sendiri.

Namun, apa yang perlu kita waspada ialah apabila semangat kenegerian mengatasi segala pertimbangan lain sehingga menyebabkan negeri-negeri lain terus ketinggalan, menjejaskan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, malah akhirnya membuka ruang kepada keretakan terhadap keseluruhan sistem persekutuan itu sendiri.

This article was featured in the Sinar Harian, 11 July 2026

Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian IDEAS Malaysia.

Share this post

Related Post

Search