Kuala Lumpur, 9 Disember 2020 – Selari dengan tema Hari Antirasuah Antarabangsa (IACD) pada tahun ini, “Pemulihan Berintegriti”, IDEAS menggesa kerajaan untuk mengambil langkah berani membanteras rasuah dengan mengutamakan pembendungan politik wang dan mengukuhkan amalan tadbir urus yang baik. Dengan melakukan sedemikian, Malaysia akan mula mendapatkan kembali daya saing ekonomi serantaunya dan mencapai pemulihan pasca wabak berpaksikan tadbir urus institusi yang mantap.
Membendung politik wang merupakan satu perkara yang amat penting. Hal yang sangat diperlukan di Malaysia ialah pembaharuan struktural melalui penggubalan dan pelaksanaan undang-undang, terutamanya Akta Pendanaan Politik dan Akta Perolehan Kerajaan.
Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus, Aira Azhari mengulas, “Melalui kerja kami bersama sayap pemuda parti-parti politik pada tahun ini, kami yakin bahawa kekurangan ketelusan dalam pendanaan politik kekal menjadi salah satu sebab utama rasuah di Malaysia. Terdapat terlalu banyak kisah ahli politik menerima sogokan serta memiliki sejumlah wang tunai yang besar, yang berhubung kait dengan peranan ahli politik kita memberi khidmat kepada kawasan yang mereka wakili. Selain itu, amalan perolehan kerajaan juga sangat memerlukan ketelusan dan keterbukaan kepada penelitian awam.untuk memastikan kecekapan pelaksanaan serta nilai terbaik untuk wang pembayar cukai. Pihak kerajaan telah menunjukkan komitmen untuk melakukan pembaharuan dalam dua perkara ini dalam Pelan Antirasuah Nasional, yang kami harap akan dilaksanakan tanpa sebarang penangguhan. Malaysia juga telah meratifikasi Konvensyen Anti-Rasuah Bangas-bangsa Bersatu (UNCAC) dan terikat dengan syarat-syarat didalamnya.”
Tambahan pula, seperti yang ditunjukkan melalui penurunan penarafan Fitch baru-baru ini, amalan tadbir urus yang lemah memberi kesan yang amat besar terhadap ekonomi Malaysia menghalang kelebihan daya saing kita.
“Penurunan penarafan Fitch ini dengan jelas menunjukkan amalan tadbir urus yang baik bukan sahaja penting dalam membendung rasuah bahkan merupakan asas kepada pemulihan ekonomi Malaysia serta daya tarikan terhadap pelabur-pelabur asing. Saya amat berharap Hari Antirasuah Antarabangsa ini akan menjadi satu peringatan kepada kerajaan institusi yang lemah dan amalan tadbir urus yang tidak telus memudaratkan ekonomi dan seterusnya mata pencarian ramai rakyat Malaysia”, kata Aira mengakhiri ulasannya.
— TAMAT —
Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi Aira Azhari, aira@ideas.org.my
Global order stands on the brink