Kuala Lumpur, 10 Februari 2023 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Malaysia, dengan sokongan Novartis Corp (M) Sdn Bhd, telah melancarkan satu laporan dasar bertajuk “Breast Cancer Care in Malaysia: Access to Early Detection, Diagnosis and Optimal Treatment” pada 10 Februari 2023. “Pelan Tindakan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser (NSP-CCP) 2021-2025 mempunyai matlamat untuk mengurangkan kanser payudara pada masa diagnosis sebanyak 25%,” kata YB Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. Menerusi laporan ini, IDEAS menyeru agar keutamaan diberikan kepada meningkatkan kelangsungan hidup untuk kanser payudara dengan meningkatkan peruntukan sumber dan belanjawan untuk menangani kekurangan doktor dan kemudahan serta dengan mempromosikan perkongsian awam-swasta.
Kanser payudara adalah salah satu kanser yang paling lazim di Malaysia. “Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 3, untuk mengurangkan sebanyak satu pertiga daripada kematian pramatang bagi penyakit tidak berjangkit melalui pencegahan dan rawatan menjelang tahun 2030, usaha kesihatan awam telah ditumpukan untuk meningkatkan pengesanan awal kanser payudara sebagai amalan dalam NSP-CCP 2021-2025,” tambah YB Lukanisman. “Walaupun begitu, mendapatkan rawatan pada peringkat akhir dan kadar kelangsungan hidup yang agak lemah bagi kanser payudara kekal sebagai isu kesihatan awam yang penting.” Malaysia ketinggalan di belakang kebanyakan negara maju dari segi kelangsungan hidup kanser payudara, mencatatkan kadar kelangsungan hidup relatif 5 tahun sebanyak 67% jika dibandingkan dengan negara maju lain yang berkisar antara 80% hingga 90%. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat jurang yang ketara dalam pengurusan kanser payudara di Malaysia. Dalam laporan ini, penulis menilai jurang dalam penjagaan kanser payudara di seluruh laluan penjagaan pesakit, daripada akses kepada pengesanan awal, diagnosis tepat pada masanya dan rawatan optimum.
Dari segi pengesanan awal, laporan dasar ini menekankan bahawa usaha kesihatan awam untuk mempromosikan pemeriksaan kesihatan payudara di seluruh negara tidak menghasilkan pengesanan awal kanser payudara yang lebih baik. Sehingga kini, jumlah pesakit yang mendapatkan pemeriksaan mamogram masih rendah, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung seperti Terengganu dan Kelantan berikutan kekurangan kemudahan dan infrastruktur mamogram, yang seterusnya menyebabkan perbelanjaan luar yang lebih tinggi untuk mengakses perkhidmatan saringan. “Selain itu, terdapat juga keperluan untuk menangani halangan budaya untuk pemeriksaan mamografi, untuk meningkatkan pemantauan dan penilaian program saringan serta meningkatkan kesedaran kanser payudara untuk menggalakkan pengesanan awal secara berkesan di seluruh negara,” kata Dr Juita Mohamad, Pengarah Penyelidikan IDEAS Malaysia.
Penting untuk ditekankan bahawa saringan tidak berakhir pada pengecaman awal keabnormalan mamografi, diagnostik susulan segera adalah penting. Walau bagaimanapun, diagnostik susulan sering terhalang oleh proses rujukan yang terputus dari kemudahan swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) ke kemudahan kesihatan awam, yang membawa kepada penangguhan diagnosis. Kurangnya kesedaran tentang gejala ketulan dan bukan ketulan dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan primer dan pesakit juga boleh menyumbang kepada kelewatan diagnostik susulan. Hal ini menyerlahkan keperluan untuk menyelaraskan proses rujukan antara sistem penjagaan kesihatan awam dan swasta serta melaksanakan pendidikan kesihatan payudara yang komprehensif untuk pekerja penjagaan kesihatan primer.
Laporan ini juga menekankan bahawa akses kepada pilihan amalan terbaik untuk pembedahan kanser payudara dihadkan oleh kekurangan kepakaran pakar bedah dan ketersediaan rawatan radioterapi yang terhad dalam kemudahan kesihatan awam di seluruh negara. Kelewatan dalam rawatan pembedahan juga mungkin disebabkan oleh pesakit memilih rawatan alternatif akibat pengaruh budaya. Tambahan pula, kekurangan pakar onkologi dalam kemudahan kesihatan awam juga menghalang akses kepada radioterapi dan kemoterapi. Di samping itu, laporan ini menggariskan potensi Skim Akses Pesakit (PASc) untuk menangani halangan kewangan kepada terapi biologi bersasar kerana kos pemerolehannya yang tinggi.
Meningkatkan kelangsungan hidup kanser payudara serta penyakit tidak berjangkit secara keseluruhan harus menjadi keutamaan kesihatan awam kita. Langkah ke hadapan adalah dengan menggunakan pendekatan holistik untuk mengurangkan kelewatan sepanjang laluan rawatan pesakit, dan hal ini boleh dilakukan melalui perkongsian awam-swasta. “Kita perlu bermula dengan menubuhkan Jawatankuasa Kanser Payudara Kebangsaan untuk menangani jurang ini secara sistematik dan untuk memupuk kerjasama dalam kalangan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sektor swasta dan NGO,” kata Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Malaysia. “Kita juga memerlukan pangkalan data kolaboratif yang memetakan sumber sedia ada yang disediakan oleh pihak berkepentingan ini di seluruh laluan rawatan pesakit serta laluan untuk mengakses perkhidmatan ini.”
Kertas Laporan Dasar IDEAS No. 76, “Breast Cancer Care in Malaysia: Access to Early Detection, Diagnosis and Optimal Treatment” boleh dimuat turun di laman sesawang IDEAS melalui pautan, https://www.ideas.org.my/publications-item/policy-paper-no-76-breast-cancer-care-in-malaysia-access-to-early-detection-diagnosis-and-optimal-treatment/
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Kirjane Ngu, Eksekutif Kanan Penyelidikan, Unit Dasar Sosial
T: +603 2070 8881/8882 | E: kirjane@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my

Global order stands on the brink