Kuala Lumpur, 3 Februari 2023- Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berpendapat bahawa pengukuhan bekalan kemahiran Malaysia akan menjadi kunci untuk menyediakan sektor perkhidmatan dan pembuatan untuk Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). Ini adalah hujah yang dikemukakan dalam kertas laporan dasar IDEAS terbaharu bertajuk “Challenges in Hiring and Talent Upskilling in Malaysia as an Upper Middle Income Country: Paving the Way Forward for a Resilient, Skilled Workforce in the Manufacturing and Services Sectors“. Antara cadangan dasar yang dicadangkan termasuk menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara sektor swasta dan institusi latihan, memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan kemahiran semula para pekerja yang sudah berada dalam tenaga kerja, dan memperkemas program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semasa Malaysia.
Kedua-dua sektor pembuatan dan perkhidmatan mewakili pemacu utama pekerjaan di Malaysia. Sektor perkhidmatan kini mewakili majikan terbesar dalam pasaran buruh Malaysia pada suku ketiga 2022, dengan 81% pekerja formal bekerja dalam sektor perkhidmatan. Majikan kedua terbesar ialah sektor pembuatan, dengan kira-kira 12% daripada pekerja formal berpangkalan di dalam sektor ini. Apabila dipecahkan set kemahiran yang diperlukan merentas ekonomi, didapati bahawa pekerja separa mahir mewakili 62.3% daripada tenaga kerja Malaysia, manakala pekerja mahir mewakili kira-kira satu perempat.
Menurut Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, “Sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana atas, tenaga kerja separa mahir yang cukup besar disokong oleh tenaga kerja mahir yang semakin meningkat dilihat sebagai satu petanda yang bagus. Namun begitu, memandangkan Malaysia dijangka menjadi masyarakat menua dalam dekad yang akan datang, dengan lebih 7% penduduk Malaysia berumur 65 tahun dan ke atas pada tahun 2020, terdapat keperluan mendesak untuk membangunkan tenaga kerja mahir negara sebelum kita memasuki status masyarakat tua, iaitu satu trend yang tidak dapat diterbalikkan semula.”
IDEAS mendapati, satu faktor utama yang menghalang pembangunan berterusan Malaysia adalah kekurangan pekerja mahir. Memandangkan kemahiran pada hari ini kedua-duanya muncul dan menjadi lewah pada kadar yang pantas, keupayaan Malaysia untuk mengenal pasti dan mencipta kemahiran tersebut mestilah berada pada kadar kepantasan yang sama. Selain hanya menumpukan pada kemahiran teknikal, sistem pendidikan Malaysia harus beralih ke arah model yang lebih menyeluruh yang juga memberikan kemahiran insaniah yang diperlukan seperti kemahiran komunikasi, pemasaran, kerja berpasukan, dan kepimpinan.
Dr Juita Mohamad, Pengarah Penyelidikan dan Pengarah Unit Ekonomi dan Perniagaan IDEAS, menggariskan beberapa cabaran yang dihadapi institusi kemahiran dalam memenuhi permintaan kemahiran semasa dan masa depan. “Dari satu sudut, model tadbir urus semasa sistem TVET di Malaysia adalah rumit, dengan pelbagai kementerian kerajaan menyelia TVET dan sistem akreditasinya”, kata Dr Juita. “Terdapat juga kerjasama yang tidak mencukupi antara industri dan institusi kemahiran, yang menghalang institusi kemahiran daripada membangunkan pemahaman yang jelas dan tepat tentang perkara yang diinginkan oleh majikan dalam diri calon pekerja. Akhir sekali, capaian kepada maklumat pasaran buruh, termasuk kemahiran semasa dan masa depan, akan menjadi penting untuk memastikan bekalan kemahiran Malaysia dapat memenuhi permintaan kemahiran.” Kertas laporan IDEAS ini membentangkan beberapa cadangan dasar demi menyahut cabaran tersebut. Antaranya termasuk menambah baik latihan dan peningkatan kemahiran pekerja tempatan, menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara sektor swasta dan institusi latihan, memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan kemahiran semula para pekerja yang sudah berada dalam tenaga kerja, menggalakkan sistem pendidikan untuk memberi lebih tumpuan kepada kemahiran insaniah, dan memperkemas program TVET semasa. Akhir sekali, pendekatan yang lebih berstruktur dalam menyasarkan PKS dengan sokongan juga turut diperlukan.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Juita Mohamad, PhD
Pengarah Penyelidikan;
Pengarah, Unit Ekonomi dan Perniagaan
T: +603 2070 8881/8882 | E: juita@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my

Global order stands on the brink