Petaling Jaya, 18 Jun 2026: Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP) hari ini melancarkan Laporan Tahunan dan Kertas Cadangan Dasar sulungnya sempena genap setahun usaha kaukus ini dalam memperkukuh tadbir urus demokrasi dan reformasi institusi di peringkat negeri.
Laporan Tahunan ini mendokumentasikan pelbagai inisiatif KDPP sepanjang tempoh 2025 hingga 2026 dalam mempromosikan dialog rentas parti dan reformasi institusi. Ini termasuk penganjuran siri bengkel demokrasi dan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), parti-parti politik, organisasi masyarakat sivil, mahasiswa dan orang awam di beberapa buah negeri. Libat urus ini menumpukan kepada usaha membina kefahaman bersama dan momentum bagi reformasi yang dapat memperkukuh kebertanggungjawaban demokratik, meningkatkan penelitian legislatif serta menambah baik tadbir urus di peringkat negeri.
Seiring dengan pelancaran Laporan Tahunan, KDPP turut melancarkan Kertas Cadangan Dasar yang menggariskan agenda reformasi berteraskan tiga bidang utama, iaitu reformasi pendanaan politik, reformasi Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) dan pemerkasaan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kertas ini mencadangkan penggubalan undang-undang pendanaan politik, peningkatan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam peruntukan serta pengurusan CDF, dan reformasi bagi memperkukuh fungsi semak dan imbang legislatif melalui penambahbaikan sistem jawatankuasa, penambahan hari persidangan DUN, serta pengiktirafan rasmi Ketua Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri. Sila rujuk Lampiran untuk maklumat lanjut mengenai cadangan dasar KDPP.
“Laporan Tahunan dan Kertas Cadangan Dasar ini merupakan hasil usaha yang telah dilaksanakan oleh KDPP sepanjang setahun lalu. Pada masa hadapan, saya berharap kami dapat menerbitkan lebih banyak kertas kajian dan memperluas keanggotaan KDPP kepada wakil dari Sabah dan Sarawak. KDPP juga mencerminkan satu anjakan paradigma dalam politik Malaysia, iaitu bergerak melangkaui politik kepartian serta polarisasi kaum dan agama, ke arah politik yang lebih rasional dan berteraskan dasar,” kata Pengerusi Bersama KDPP, YB Dr Hafidzah Mustakim.
“Usaha yang dilaksanakan oleh KDPP setakat ini amat penting kerana ia mengangkat dan memperjuangkan reformasi institusi di peringkat negeri, khususnya dalam memperkasakan fungsi semak dan imbang DUN. Pada akhirnya, reformasi seperti memperkukuh sistem jawatankuasa DUN, menginstitusikan jawatan Ketua Pembangkang dan menambah hari persidangan DUN akan memberikan kesan positif yang nyata kepada demokrasi kita,” tambah Pengerusi Bersama KDPP, YB Dato’ Andansura Rabu.
Pelancaran Laporan Tahunan dan Kertas Cadangan Dasar ini menandakan permulaan fasa seterusnya bagi KDPP, yang akan memberi tumpuan kepada kajian mendalam, advokasi dan libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memajukan reformasi demokrasi dan institusi di peringkat negeri, merentasi lebih banyak negeri di Malaysia.
Menjelang pilihan raya negeri yang bakal diadakan di Johor dan Negeri Sembilan, KDPP menyeru semua parti politik dan calon untuk komited memperkukuh DUN serta memajukan agenda reformasi demokrasi dan institusi dalam manifesto masing-masing. KDPP turut menggesa kerajaan negeri memastikan peruntukan CDF yang sama rata diberikan kepada semua ADUN tanpa mengira hubungan politik, sekiranya peruntukan tersebut terus diagih dan digunakan. Layanan yang saksama adalah penting bagi menjamin keadilan, kebertanggungjawaban dan perwakilan yang berkesan dalam memenuhi keperluan pembangunan di peringkat kawasan.
Untuk maklumat lanjut dan memuat turun Laporan Tahunan dan Kertas Cadangan Dasar KDPP, sila imbas kod QR di bawah:

Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my
Raveena Kiran Kaur
Pegawai Media , BERSIH
media@bersih.org
017-2633374
Mengenai KDPP
Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP) merupakan kaukus pelbagai parti dan merentas negeri yang pertama di Malaysia, melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditubuhkan untuk memperjuangkan reformasi institusi dan memperkukuhkan tadbir urus demokrasi di peringkat negeri. Kaukus ini dianggotai oleh ADUN dari lima buah negeri yang berbeza merangkumi pelbagai spektrum politik, bersama wakil-wakil daripada organisasi masyarakat sivil. KDPP dikendalikan bersama oleh Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).


Menelusuri jalan khidmat