IDEAS: Komitmen Reformasi Harus disusuli dengan Ketelusan, Libat Urus yang Bermakna dan Pelaksanaan Tepat pada Masanya

IDEAS: Komitmen Reformasi Harus disusuli dengan Ketelusan, Libat Urus yang Bermakna dan Pelaksanaan Tepat pada Masanya

Kuala Lumpur, 14 Januari 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan ikrar reformasi yang digariskan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan Tahun Baharu 2026 beliau. Persidangan Parlimen yang akan datang akan menjadi ujian penting sama ada komitmen ini dapat diterjemahkan kepada perubahan institusi yang berkekalan.

Antara ikrar tersebut, cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah amat signifikan. Reformasi ini penting dalam sebuah demokrasi seperti Malaysia, di mana kebebasan dan integriti pendakwaan adalah kritikal untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap tadbir urus. IDEAS menyokong hasrat kerajaan untuk menggubal undang-undang pemisahan peranan ini dan melihat pembentangannya sebagai ukuran utama kredibiliti reformasi.

Reformasi ini turut diketengahkan dalam penerbitan IDEAS pada tahun 2024, Reformasi Institusi: Rangka Tindakan Reformasi, yang menggariskan keutamaan perubahan institusi bagi memperkukuh tadbir urus dan menegakkan kedaulatan undang-undang. Pelan tindakan tersebut, yang dibangunkan bersama organisasi masyarakat sivil dan pemegang taruh Parlimen, menekankan kepentingan pemisahan yang jelas antara fungsi nasihat dan fungsi pendakwaan dalam institusi perundangan utama. IDEAS telah lama memperjuangkan reformasi ini, termasuk melalui kertas kajian dasar yang diterbitkan pada tahun 2016.

“Pemisahan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya sudah lama tertangguh. Penggabungan kedua-dua peranan ini menjadi punca utama ketidakpercayaan orang ramai terhadap institusi dan sistem keadilan. Kami tidak dapat menekankan secukupnya betapa mendesaknya pemisahan kedua-dua peranan ini. Malaysia perlu mengambil langkah penting ini untuk memulihkan kepercayaan awam, menegakkan kedaulatan undang-undang dan melindungi demokrasi kita,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari.

IDEAS juga menegaskan kepentingan kemajuan dalam reformasi institusi lain, khususnya pengenalan rang undang-undang pendanaan politik yang menyeluruh, telus dan kukuh. Kerajaan sebelum ini telah menyatakan bahawa satu kajian persepsi awam di peringkat nasional mengenai pendanaan politik sedang dijalankan, dengan jangkaan diselesaikan menjelang akhir tahun lalu.

IDEAS menggesa kerajaan agar mendedahkan dapatan kajian ini kepada umum bagi membolehkan perbincangan yang terbuka dan bermaklumat mengenai perundangan yang dicadangkan. Meluluskan akta pendanaan politik sebelum pilihan raya umum akan datang akan menghantar isyarat yang jelas tentang komitmen kerajaan untuk menangani rasuah politik dan pengaruh wang dalam politik.

“Persidangan Parlimen yang akan datang akan dipantau rapi oleh IDEAS dan organisasi masyarakat sivil lain yang telah lama mendesak pelaksanaan reformasi ini. Walaupun reformasi ini amat diperlukan, kami juga memberi peringatan agar pembentangan pindaan perlembagaan dan rang undang-undang yang dicadangkan tidak dilakukan secara tergesa-gesa, serta diberikan masa yang mencukupi kepada Ahli Parlimen dan organisasi masyarakat sivil untuk menelitinya. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) juga mesti dibenarkan memainkan peranan mereka bagi memastikan reformasi ini diteliti dengan secukupnya dan dilaksanakan dengan berkesan,” ujar Aira mengakhiri kenyataan.

— TAMAT —

Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search